Isi Kandungan
Wajib bela derita etnik Rohingya
TANGGAL
10 Februari lalu, suasana solat Jumaat atas kapal Nautical Aliya penuh
kesyahduan dan pasti kekal dalam setiap ingatan para jemaah yang terdiri
daripada sukarelawan misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla for
Myanmar.
Pada waktu itu, kapal berkenaan
yang membawa muatan 2,300 tan barangan bantuan kemanusiaan untuk saudara
seagama etnik Rohingya sedang dalam pelayaran menuju ke Chittagong,
Bangladesh setelah menyelesaikan misi fasa pertamanya di Yangon,
Myanmar.
Walaupun bergelar musafir di tengah lautan, para sukarelawan lelaki tetap teguh menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
Para jemaah tertunduk diam, tekun menghayati khutbah Jumaat dibacakan oleh khatib, Dr. Riduan Mohamad Nor
yang merupakan Pengarah Penerangan Muslim Care Malaysia apabila
menyentuh mengenai mengapa misi itu perlu diteruskan bagi berkongsi suka
duka bersama etnik Rohingya.
Beliau membacakan Surah al-Hujurat: 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya kaum Mukmin itu adalah bersaudara.”
Katanya, berdasarkan ayat berkenaan, misi
Food Flotilla for Myanmar digerakkan kerana umat Islam itu saling
bersaudara walaupun jarak antara sesebuah benua itu jauh.
Riduan menjelaskan, Food Flotila For
Myanmar itu merupakan satu misi mulia yang mampu membuka mata dunia
Islam mengenai kewajipan membantu saudara seagama yang ditindas, sekali
gus selaras dengan tuntutan agama Islam.
“Rasulullah SAW mengajar kita agar sentiasa
cakna (prihatin) atas penderitaan umat Islam yang lain. Misi ini mampu
mencetuskan gelombang kesedaran kepada umat Islam lain yang sedang lena
diulit kekayaaan sedangkan saudara mereka sedang ditindas,” katanya
ketika membacakan khutbah Jumaat berkenaan.
Mengulas lanjut selepas selesai solat
Jumaat itu, beliau berkata, sikap dunia Islam yang sedang terlena
sedangkan umat Islam di Syria, Palestin dan Arakan sedang ditindas amat
bertentangan dengan ajaran Islam dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
“Orang Mukmin saling bersaudara, cubit paha
kanan, paha kiri terasa. Misi ini mengajar kita bagaimana untuk kita
santuni saudara kita yang ditindas. Adakah kerana warna kulit etnik
Rohingya yang gelap membuatkan mereka dilupakan?,” katanya.
Tambah Riduan, umat Islam di Malaysia kini
mempunyai kemampuan dari segi harta untuk membantu etnik Rohingya yang
ditindas sejak sekian lama.
“Kita perlu hayati kata-kata ulama tersohor, Sayid Qutb, sempadan orang beriman bukan sempadan geografi tetapi sempadan akidah.
“Membebaskan etnik Rohingya daripada kekejaman merupakan tanggungjawab umat Islam secara keseluruhannya,” tegas beliau.
Bagi Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia ( Mapim), Mohd. Azmi Abd Hamid,
etnik Rohingya merupakan saudara segama yang layak dibantu dan
disebabkan itu misi Food Flotilla for Myanmar digerakkan dengan kekuatan
lebih 200 sukarelawan daripada 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
termasuk dari luar negara.
“Konsep persaudaraan dalam Islam itu amat
luas pengertiannya dan sikap ambil peduli terhadap etnik Rohingya amat
tinggi nilainya.
“Persaudaraan Islam yang berintikan hubungan kerohanian menolak tepi keterbatasan geografi antara kita,” katanya.
Malah ujar beliau, misi Food Flotilla for
Myanmar itu menolak segala kepentingan peribadi, melepasi sempadan
politik dan kita semua bersatu atas nama Islam.
“Kita tidak boleh lalai dan alpa di sebalik kesenangan yang diperoleh, umat Islam jangan terlena.
“Ingatlah Islam juga menekankan mengenai
kepentingan untuk menjaga hubungan sesama manusia dan kepentingan untuk
menjaga hubungan dengan Allah,” katanya.
No comments:
Post a Comment