Isi Kandungan
TN50 Membina Peradaban Millennium
Pelan Transformasi Nasional 2050 atau TN50 sedang mengambil tempat dalam khalayak. Peluang yang diberikan oleh kerajaan kepada setiap lapisan masyarakat untuk menyumbang citra minda dalam pembinaan gagasan TN50 hendaklah digunakan sebaik mungkin.
Seperti inspirasi YAB Perdana Menteri dan barisan pemimpin negara, Malaysia ini milik kita dan kita jualah yang bertanggungjawab mencorakkan masa depan kita. Dengan itu, kerajaan telah memberikan sampel terbaik sebagai model kerjasama rakyat dan kerajaan di zaman millennium bagi mencipta peradaban millennium.
Institusi-institusi pemikir dan pemikir-pemikir negara hendaklah bersama-sama dengan kerajaan dalam membentuk gagasan TN50. Para pemikir, dalam kapasiti masing-masing, perlu menerajui aspek-aspek kepakaran masing-masing dengan menjalankan kajian atau mengemukakan hasil kajian yang telah dilakukan bagi menyumbang kepada negara, buah fikiran bijaksana untuk pembangunan gagasan TN50. Cadangan-cadangan yang dikemukakan hendaklah bersifat bebas dan bertanggungjawab.
TN50 ini amat penting untuk negara kerana pada tahun 2050 nanti Malaysia akan berusia 93 tahun, 7 tahun sebelum mencapai usia 100 tahun. Secara langsung TN50 merupakan persiapan untuk Malaysia mencapai usia satu abad. Dari sudut pembinaan negara 100 tahun kemerdekaan merupakan penanda aras kepada sebuah tamadun. Maka TN50 bukan sahaja penting kerana ia membentuk gagasan atau aspirasi negara pada tahun 2050, tetapi ia adalah juga satu penanda aras kepada Malaysia dalam mencapai sebuah ketamadunan yang unggul di usia satu abad.
Sememangnya ia adalah satu cabaran besar kepada kerajaan. Sekiranya kerajaan tersasar dalam mencatur hala tuju negara, kita tidak mampu menghadapi cabaran dunia millennium dan natijahnya, sukar untuk mencapai tamadun bagi sebuah negara idaman.
Oleh itu, sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita hendaklah menyahut panggilan kepimpinan negara dalam merangka TN50. Ada yang berpendapat bahawa TN50 perlu diterajui oleh sebuah badan yang tidak berkepentingan. Namun, ada baiknya dalam fasa permulaan atau persediaan, (2017 hingga 2019) ini tidak perlu wujud pihak-pihak tertentu memonopoli kerangka awal TN50. Seluruh lapisan rakyat hendaklah mengambil peranan dan menyampaikan hasrat mereka dengan matang.
Bagi pihak agensi kerajaan pula, dialog-dialog yang dilangsungkan perlulah telus, bebas dan menyeluruh. Pembuka tirai dialog yang dilangsungkan YAB Perdana Menteri pada 19 Januari. Pada 20 Februari, pula YAB Timbalan Perdana Menteri mengemudi Dialog TN50 Agensi Agama Islam. Kedua-dua dialog ini telah membuka ruang kepada kefahaman warga Malaysia kepada inspirasi kerajaan.
Cabaran
Khalayak sudah boleh membaca corak atau gaya pembinaan gagasan TN50 ini. Antara lain, persoalan dan penekanan telah diberikan kepada aspek pendidikan, ekonomi, budaya, identiti negara, perpaduan, alam sekitar, urbanisasi, teknologi, peranan agama dan institusi agama. Aspep-aspek ini merupakan aspek penting bagi sebuah peradaban.
Dalam mencapai usia peradaban manusia bercirikan atau didasari pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran, terutamanya pemikiran dalam pendidikan, sosial, budaya dan politik. Nilai paling tinggi dalam sebuah peradaban itu ialah pencapaian terbaik dalam semua aspek pemikiran, moral, keadaan sosial yang stabil, keperluan kebendaan yang dipenuhi dengan kehidupan berkualiti, identiti negara yang mapan dengan identiti unggul tentang bahasa dan tulisan, organisasi politik dan pentadbiran yang teratur dan cekap, memanfaatkan teknologi dan rekacipta, dan dari segi kerohaniannya pula mempunyai kerahmatan agama.
Cabaran negara dalam mencapai peradaban pada zaman millennium amat besar. Sebagai peradaban millennium, bukan mudah untuk merangka dan membayangkan keadaan masyarakat pada masa akan datang kerana dunia berputar deras, pembangunan teknologi yang pesat, ideologi pula begitu bebas dan transformasi budaya juga pantas; manakala pola kehidupan dan aktiviti ekonomi sudah tentu secara langsung akan bertukar dan pola-pola baharu akan terhasil.
Membina teknologi dan identiti watan beserta norma dan nilai agama secara bersama amat kritikal dalam membentuk sebuah negara yang mempunyai peradaban dengan ciri-ciri tersendiri kepada Malaysia. Kita tidak boleh bernostalgia dengan ciri-ciri peradaban lama. Di samping mengambil kira keadaan dalaman negara untuk memacu ke arah TN50, pelbagai aspek yang yang dihadapi dunia perlu diambil kira.
Sebagai sebuah negara dalam masyarakat dunia yang menjadi semakin kecil dan tanpa sempadan, sudah tentu Malaysia juga akan terkesan dengan apa yang dialami masyarakat dunia.
Masalah-masalah yang sedang dan mungkin akan berterusan dihadapi dunia seperti kebuluran, keadaan cuaca seperti kemarau, hujan dan taufan, atau segala macam bencana akibat daripada perubahan iklim, dan juga bencana yang dibuat oleh manusia sendiri, seperti perang hendaklah difikirkan dengan serius.
Oleh itu, gagasan atau matlamat dunia juga perlu dijadikan sempadan dan tauladan dalam pembentukan kerangka TN50. Ini bagi membolehkan Malaysia menghadapi dunia dengan tersusun dan teratur serta terkehadapan.
Malaysia perlu memenuhi impian untuk bukan sahaja menjaga negara, tetapi juga memimpin dunia. Perkiraan-perkiraan masalah yang sedang dan mungkin akan dihadapi dunia pada tahun 2030, telah di nyatakan dalam Sustainable Development Goals atau Matlamat Pembangunan Mampan.
Beberapa sasaran sementara yang dibincangkan di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi tahun 2030 antara lain, termasuklah, hidup dan kehidupan yang berkembang maju dengan pembasmian kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan melalui akses kepada pendidikan, pekerjaan dan maklumat, kemudahan kesihatan dan perumahan yang lebih baik serta mengurangkan ketidaksamaan sambil bergerak ke arah penggunaan dan pengeluaran mampan.
Kedua, keselamatan makanan yang mampan dengan menamatkan kebuluran dan mencapai keselamatan makanan jangka panjang - termasuk pemakanan yang lebih baik - melalui sistem-sistem pengeluaran, pengedaran dan penggunaan yang mampan. Ketiga, keselamatan air yang mampan dengan mencapai akses sejagat kepada air bersih dan sanitasi asas, dan memastikan peruntukan yang cekap melalui sumber pengurusan air yang bersepadu.
Keempat, tenaga bersih yang sejagat dengan meningkatkan akses sejagat kepada tenaga bersih yang mengurangkan pencemaran tempatan, mengurangkan kesan ke atas kesihatan dan mengurangkan pemanasan global.
Kelima, kesihatan dan ekosistem yang produktif dengan mengekalkan biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem melalui pengurusan, penilaian, pengukuran, pemuliharaan dan pemulihan yang lebih baik dan keenam, tadbir urus bagi masyarakat mampan dengan mengubah tadbir urus dan institusi di semua peringkat untuk menangani lima matlamat pembangunan mampan. Dengan mendokong jiwa dan ruh Negaraku Malaysia, warga Malaysia mampu melakukannya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/tn50-membina-peradaban-millennium-1.452218#ixzz4aQj1Dz00
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment