Isi Kandungan
MENJAGA KEAKRABAN HUBUNGAN
KEHIDUPAN
manusia tidak boleh lari daripada berhubung antara satu sama lain.
Perhubungan itu boleh dalam pelbagai bentuk. Tidak kira sama ada antara
individu dengan individu atau antara sebuah masyarakat dengan
masyarakat yang lain. Perhubungan yang lebih besar adalah antara sebuah
negara dengan negara lain. Dalam hal ini setiap perhubungan ini cukup
bermakna bagi mana-mana pihak jika dihargai oleh setiap individu mahupun
masyarakat dalam sesebuah negara.
Perhubungan ini akan berada pada tahap
yang tertinggi apabila sesuatu pihak amat mempercayai antara satu sama
lain. Misalnya, perhubungan antara suami dan isteri. Pada tahap yang
lebih tinggi, perhubungan antara sebuah kerajaan dengan sebuah kerajaan
yang lain. Jika pada asalnya, sesuatu perhubungan itu tidak begitu
akrab, namun akan menjadi lebih akrab apabila masing-masing berusaha
untuk menjaga perhubungan itu sehingga mencapai satu tahap yang
tertinggi.
Sebab itulah negara kita mudah
berurusan dengan negara-negara lain kerana dasar Malaysia yang sentiasa
berusaha untuk bersahabat dengan mana-mana negara di dunia ini. Tidak
kira sama ada negara tersebut adalah negara kurang maju, sedang
membangun mahupun sudah maju ke hadapan berbanding Malaysia, semuanya
akan dilayan dengan baik. Menjaga perhubungan ini mendatangkan pelbagai
manfaat. Misalnya, pelaburan langsung asing (FDI) akan banyak masuk ke
dalam negara, manakala urusan eksport dan import bakal ditingkatkan
pada nilai yang lebih tinggi.
Kita lihat kebelakangan ini FDI sedang dan bakal
memasuki negara dalam pelbagai bentuk. Ada dalam bentuk kerjasama dan
tidak kurang juga pelaburan yang boleh membuka peluang-peluang pekerjaan
yang baharu kepada rakyat Malaysia. Minggu lalu, terserlah betapa
perhubungan akrab Malaysia dengan negara Arab Saudi bakal merealisasikan
pelbagai bentuk manfaat yang bukan setakat menguntungkan Malaysia
sebagai sebuah negara berdaulat tetapi juga rakyat Malaysia itu sendiri.
Hasil pelaburan sebanyak RM31 bilion di Pengerang sahaja boleh
mendatangkan keuntungan ekonomi buat negara. Sudah tentulah bukan
setakat peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan tetapi juga pelaburan
ini bakal menggerakkan ekonomi Malaysia melalui perkongsian kepakaran
dan sumber pendapatan negara boleh ditingkatkan yang akhirnya rakyat
Malaysia akan menikmatinya.
Hal inilah yang
berlaku semasa era 1990-an yang tatkala itu FDI negara telah membuka
peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia. Daripada hanya sebuah
negara berasaskan pertanian, ekonomi Malaysia telah beralih kepada
sebuah negara yang berasaskan perindustrian. Pelabur-pelabur berani
untuk melabur ke dalam negara atas faktor keupayaan negara untuk
menyediakan pelbagai bentuk insentif kepada mereka. Kesannya cukup
ketara apabila Malaysia telah mencatatkan kadar pertumbuhan yang cukup
memberangsangkan dalam beberapa tahun sebelum krisis kewangan Asia
1997/98.
Semasa krisis kewangan Asia, ramai
pelabur menarik pelaburan mereka ekoran berasakan ekonomi negara kita
berada pada tahap yang kurang meyakinkan. Dalam hal ini, situasi
menang-menang perlu dititikberatkan. Apabila pelabur berasakan tidak
dapat menjana keuntungan semasa krisis kewangan, maka sudah tentu mereka
beralih ke pasaran lain. Adakah ketika itu kita boleh katakan negara
kita telah gagal? Sudah tentu tidak. Tiada negara mampu kekal pada tahap
ekonomi yang baik. Hatta, negara maju sekalipun dilanda krisis ekonomi
atau kewangan.
Jadi, atas hubungan akrab
dengan pelbagai negara lain, Malaysia bangun untuk keluar dari krisis
kewangan Asia. Begitu juga dalam konteks individu, jika seseorang itu
sedang mengalami masalah kewangan, adakah wajar kita katakan bahawa dia
telah gagal? Tidak! Ini kerana apa yang sedang dialaminya boleh memberi
kebaikan untuk masa hadapannya, misalnya bangkit semula untuk lebih
kuat. Kebangkitan ini akan lebih cepat dilakukan apabila ramai yang
sanggup membantu. Hanya dengan perhubungan akrab dengan keluarga dan
juga rakan-rakan, maka bantuan mudah disalurkan. Inilah yang dikatakan
perhubungan akrab itu cukup penting sehingga boleh mendatangkan pelbagai
manfaat.
Namun demikian, perhubungan ini
boleh sahaja berada pada tahap yang kurang baik atau lebih teruk lagi
jika mana-mana pihak tidak berusaha untuk menjaga perhubungan tersebut.
Misalnya, sengaja membuat pihak lain terasa dengan mengeluarkan
kata-kata yang mengguris perasaan individu mahupun mengguris perasaan
rakyat sesebuah negara. Setiap perhubungan itu pastinya ada sempadan
yang tidak boleh dilangkau sehingga boleh memudaratkan sesuatu
perhubungan. Lebih-lebih lagi melibatkan perhubungan antara sebuah
negara dengan negara yang lain. Setiap negara memiliki kedaulatan
masing-masing yang negara lain perlu menghormati, menghargai dan
menjaganya. Jika tidak dihormati, maka boleh mengeruhkan perhubungan
antara sebuah negara dengan negara lain. Sebab itulah perlu sentiasa
menjaga keakraban hubungan agar tidak mendatangkan kemudaratan terhadap
perhubungan tersebut.
Dalam konteks individu,
persahabatan dan persaudaraan perlu sentiasa dijaga. Ini termasuklah
hubungan antara kaum agar semua pihak menghormati sensitiviti kaum-kaum
lain. Manakala dalam konteks umat Islam, silaturahim perlu sentiasa
dijaga. Sebab itulah, agama Islam melarang sama sekali umatnya terlibat
dengan fitnah, mengumpat, mencaci dan mencela pihak lain. Ini kerana
boleh menyebabkan pergaduhan yang berpanjangan.
Adakah kehidupan sesebuah masyarakat itu akan kekal aman jika asyik
bergaduh sesama sendiri? Tepuk dada tanya selera. Pepatah Melayu ada
menyebut kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana. Satu
lagi pepatah Melayu iaitu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata
buruk padahnya, mengajar kita agar berfikir sebelum bercakap.
Hanya
orang bijak sahaja akan sentiasa berfikir sebelum berbicara agar tidak
menyebabkan mana-mana pihak terasa dan terguris hatinya. Semuanya ini
untuk menjaga keakraban hubungan sesama manusia yang akhirnya membawa
kebaikan dan manfaat untuk membentuk kehidupan yang aman dan harmoni.
DR. ROHAMI SHAFIE
ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian
Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/menjaga-keakraban-hubungan-1.453309#ixzz4ai99jDeH
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment