Pelaburan Coca-Cola sebanyak RM500 juta di Negeri Sembilan dan pelaburan China membangunkan Terminal Bersepadu Perikanan Kedah (KIFT) bernilai RM3 bilion secara usahasama dengan kerajaan negeri Kedah, satu lagi pengiktirafan dunia luar.

Awang lebih teruja apabila Malaysia dipilih negara pada kedudukan pertama terbaik untuk melabur bagi 2017; ketiga terbaik untuk memulakan perniagaan dan kelapan terbaik bagi perbelanjaan kerajaan paling efisien.
Laporan perunding Amerika Syarikat, BAV Consulting, satu lagi tamparan kepada kelompok pensabotaj ekonomi negara.

Kestabilan ekonomi, dasar yang realistik dan mesra pelabur adalah antara asas keyakinan sebagaimana pelaburan RM144 bilion oleh China dan terbaru, Arab Saudi lebih RM41 bilion. Kalau tidak mahu berterima kasih dan menghargai kejayaan kerajaan menarik pelaburan besar tidak mengapa tetapi janganlah asyik menabur najis di pinggan rezeki rakyat.

Namun Awang terkilan dengan kegiatan sabotaj ekonomi seperti difitnah berulang kali bahawa negara termasuk beberapa institusi kewangan utama bankrap. Kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak bahawa Malaysia hampir kehilangan pelaburan RM31 bilion angkara sabotaj ekonomi, antara banyak bukti.

Amat menyedihkan apabila Malaysia paling ketara menyaksikan pemimpin pembangkang agresif memburuk-burukkan negara dan mengundang campur tangan asing. Tidak patriotik dan budaya politik paling hodoh. Jika tidak kerana sabotaj ekonomi, lebih banyak pelaburan akan masuk dan ratusan ribu peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Ini adalah soal keselamatan ekonomi yang berkait rapat dengan kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Persoalannya apakah golongan pensabotaj ini dibiarkan sahaja tanpa sebarang tindakan sedangkan mudaratnya kepada negara amat besar. Hakikatnya pengkhianat ekonomi sama bahaya dengan musuh negara. Apa tunggu lagi, ini masa bertindak?
'RAJA BOMOH'
Walaupun ramai menganggap aksi 'Raja Bomoh' Ibrahim Mat Zin dalam isu ketegangan dengan Korea Utara sebagai bahan jenaka, Awang berpendapat ia sudah melampau.
Ritual di pantai kononnya bagi 'memagar' Malaysia daripada ancaman serangan negara komunis itu yang tular di seluruh dunia baru-baru ini, menghina dan memfitnah Islam. Ini bukan kali pertama Ibrahim membodohkan negaranya.
 Sebab itu Awang setuju dengan langkah pihak berkuasa agama mengesan beliau untuk diambil tindakan.  Cukup, cukuplah kerja gila itu.

TIDAK KERUAN
PERTAMA kali dalam sejarah Penasihat DAP, Lim Kit Siang menampilkan tindak-tanduk yang begitu tidak keruan. Sejak awal tahun ini pemimpin de facto Pakatan Harapan itu seolah-olah bukan Kit Siang, yang biasa kita kenali. Telahan Awang mudah. Beliau terdesak untuk memenangi hati orang Melayu dan mahu segera keluar dari imej serta persepsi tebal sebagai pemimpin paling rasis.

Slogan "Ini kalilah" bagi DAP merampas kuasa pada PRU-14 iaitu strategi agung dengan kaedah politik menghasut kaum Cina, sudah hampir ke penghujungnya. Kit Siang amat mengharapkan kemuncak tetapi banyak petunjuk menceritakan sebaliknya.

Dengan terputusnya sokongan Pas, kerjasama dengan Dr. Mahathir Mohamad yang ditolak oleh akar umbi DAP, isu rasuah anaknya Lim Guan Eng dan tindakan keluar parti beramai- ramai di Melaka - menghantui Kit Siang.

Ditambah dengan isu peranannya dalam tragedi kaum 13 Mei 1969 yang diperkatakan semula dan lebih terpukul dengan isu Dinasti Lim yang berkuasa selama 51 tahun - cerminan kediktatoran.

Walaupun cuba menafikannya tetapi itulah realiti menyebabkan Kit Siang sangat tertekan dengan isu tersebut sebagaimana beliau naik minyak di Dewan Rakyat, baru-baru ini. Awang sekadar senyum melihat reaksi keterlaluannya apabila diusik Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa.

“Dalam sejarah politik dunia, kita lihat Tun Dr. Mahathir Mohamad, 23 tahun mentadbir, Saddam Hussain (30 tahun), Robert Mugabe (37 tahun); pe­mimpin Korea Utara, Kim il-Sung (46 tahun) dan Gelang Patah (Kit Siang) capai 50 tahun dengan hanya retorik politik, saya ucap tahniah kepada beliau,” kata Annuar. Itu belum mengambil kira anak sendiri diatur menjadi Setiausaha Agung dan Ketua Menteri Pulau Pinang dengan mesej seolah-olah pemimpin DAP lain tidak layak ke persada kuasa.

Awang menyertai Annuar mahu mengucapkan 'tahniah' kepada Kit Siang atas pencapaiannya itu yang pasti membanggakan Dinasti Lim tetapi bukan kalangan ahli DAP yang menyimpan rasa malu.

 Itulah indahnya demokrasi dalam DAP, kepentingan Dinasti Lim didahulukan dan istilah demokratik pada nama parti hanya retorik. Cuma nasihat Awang kepada beliau usahlah terdesak mahu membersihkan imej yang telah tercemar teruk. Ia umpama kekotoran dahsyat yang tidak mungkin dapat ditanggalkan walaupun menggunakan bertan-tan serbuk pencuci. Begitu juga usaha untuk terus menarik sokongan Melayu, yang mungkin berjaya ke atas segelintir Melayu liberal dan yang lemah jati diri.

Namun hakikatnya majoriti orang Islam dan Melayu tetap menolak DAP. Sudah berdekad-dekad Kit Siang dilihat sebagai anti Islam dan anti Melayu yang Dr. Mahathir dan Presiden Pas, Hadi Awang turut labelkannya disebabkan pendekatan politik ekstrem.

Lagipun ramai sudah faham muslihat aras tinggi Kit Siang yang sangat berbahaya dan tidak boleh dipercayai. Pengakuan ramai bekas pemimpin DAP terutama Melayu yang menyesal diperalatkan dan terhina, antara sekian banyak bukti.
KEANGKUHAN
Selalunya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilihat suka membuli media antaranya dengan tindakan menyaman.

Kelmarin, beliau pula dikejutkan apabila disaman oleh seorang wartawan dari Guang Ming Daily, Ong Beng Siang atas dakwaan telah difitnah oleh Guan Eng.

Pada Awang, tindakan saman itu cerminan betapa meluatnya sebahagian wartawan termasuk media Cina terhadap keangkuhan beliau.

Rekod DAP berkaitan kebebasan bersuara makin teruk sejak beliau menjadi Setiausaha Agung dan Ketua Menteri. Kelemahan dan penyakit utama beliau adalah sukar menerima kritikan selain terpalit isu integriti yang serius. Jika tidak silap, Guan Eng menjadi pemimpin paling banyak menekan dan menyaman media dalam sejarah tanah air.

Sikap permusuhan Guan Eng dengan media menjadi bahan persenda terhadap nilai demokrasi parti itu. Segala janji DAP bagi mendokong kebebasan media pada setiap kali manifesto pilihan raya, hanya pembohongan. Itu antara ciri-ciri diktator, yang jika memerintah negara, lebih dahsyat penangannya.

IKTIBAR TRAGEDI

Aksi seorang wanita yang dipengaruhi dadah memandu laju melawan arus di Pulau Pinang telah meragut nyawa seorang lelaki, Selasa lalu.

Awang turut sedih dengan tragedi tersebut, yang telah mengundang kemarahan orang ramai. Apa yang berlaku itu suatu jenayah dan berharap wanita berkenaan dikenakan hukuman paling berat sebagai iktibar kepada semua.

Kegagalan berbuat demikian akan memberikan mesej yang salah kepada masyarakat. Tidak kurang menjadi perhatian adalah kejadian sekumpulan penunggang motosikal dirempuh sebuah van semasa hujan di sebuah jejambat di Singapura pada 11 Mac lalu. Dua rakyat Malaysia maut dalam insiden itu dan pemandu van yang merempuh, telah dihadapkan ke mahkamah dua hari kemudian.

Dalam pada itu, Awang dan ramai lagi tertanya-tanya perkembangan siasatan kes rempuhan seorang pemandu wanita ke atas sekumpulan penunggang basikal di Johor Bahru pada 19 Februari. Tragedi tersebut yang meragut lapan nyawa remaja telah menggemparkan rakyat Malaysia. Persoalannya mengapa begitu lama masa diambil untuk siasatan? Apakah pemandu itu akan didakwa di mahkamah setidak-tidaknya atas kecuaian?

 Awang harap kelewatan ini tidak mencetuskan misteri dalam tragedi.
MAT DAN PEJUANG...
Awang mengucapkan tahniah kepada Muhammad Kareef Daniel Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mat Dan iaitu pemuda dari Britain yang bertemu jodoh dengan gadis tempatan, baru- baru ini.

Semoga rumah tangga Mat Dan, 28 (nama asal Danial Tyler) bersama isterinya bahagia hingga ke jannah.

Siapa Mat Dan? Beliau telah berada di negara ini sejak tujuh tahun dengan kebanyakan masa dihabiskan di Terengganu. Yang menariknya Mat Dan menguasai bahasa Melayu terutama dialek Terengganu dalam tempoh tidak sampai dua tahun. Lebih daripada itu beliau belajar dan mencintai budaya Melayu sehingga boleh menyanyikan lagu-lagu tradisional Terengganu.

Kini Mat menjadi selebriti budaya dan diminati ramai anak muda negara ini. Awang sendiri suka menonton program travelognya di Astro. Bayangkan seorang pemuda Mat Salleh yang asalnya kosong pengetahuan tentang budaya dan bahasa Melayu kini menjadi pejuang mempromosi budaya kita.

Ketika ramai warganegara Malaysia meminggirkan malah gagal menguasai Bahasa Kebangsaan walaupun puluhan tahun hidup di negara ini, Mat Dan adalah teladan terbaik.

Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Apa guna menjadi warganegara jika Bahasa Kebangsaan sendiri tidak dihormati dan didaulatkan.

Malulah dengan Mat Salleh ini!