Berita paling menggemparkan di tanah air minggu ini sudah tentunya melibatkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Annuar Musa yang juga Pengerusi Pelaburan Mara Berhad (PMB).
Annuar menjadi perhatian besar Selasa lalu selepas beliau dinasihatkan oleh Majlis Mara agar bercuti sementara daripada menjalankan tugas kedua-dua jawatan tersebut. Pada hari yang sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan membuka kertas siasatan terhadap beliau.
Reaksi berbaur-baur termasuk gesaan makin kuat agar pemimpin politik tidak dilantik menerajui syarikat berkaitan kerajaan dan agensi di bawah kerajaan. Walau apa pun tafsirannya, yang nyata masyarakat melihat positif tindakan itu kerana mencerminkan budaya integriti yang diterap oleh Mara. Begitu juga dengan siasatan yang dijalankan oleh SPRM membuktikan suruhanjaya itu tidak mengenal sesiapa dan pemimpin seperti Annuar juga tidak terlepas.
Isu penajaan oleh PMB dan UniKL ke atas pasukan bola sepak Kelantan yang Annuar pernah menjadi Presiden, antara tumpuan siasatan audit dalaman Mara mahupun SPRM. Perihal penajaan itu dibangkitkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membawa kepada pertikaman lidah dengan Annuar.
Ketika isu Annuar disiasat panas diperkatakan terdapat suara-suara sumbang yang mahu menangguk di air keruh dengan mengaitkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri.
Ia adalah keputusan profesional atas nama tadbir urus dan integriti yang diambil oleh Majlis Mara, bukannya menteri. Kematangan Ismail dan Annuar menangani percikan isu itu dengan baik mengatasi sentimen liar yang disebarkan.
Apa nasib Annuar selepas ini? Bebaskah beliau daripada sebarang dakwaan salah guna kuasa atau tersabitkah? Awang tidak mahu ulas panjang pasal isu tersebut, biarlah siasatan yang menentukan.
Selagi Annuar belum dibuktikan bersalah, semua pihak harus memberi peluang keadilan kepada beliau. Awang melihat proses siasatan terhadap Annuar adalah cara terbaik untuk beliau membersihkan diri daripada isu tersebut.
Dalam hal ini, Awang angkat topi kepada beliau kerana bersikap budiman dan tenang.
Malah Annuar terus ke pejabat SPRM sekembalinya dari luar negara bagi menawarkan kerjasama sambil menegaskan beliau mengambil tanggungjawab penuh. Awang senyum apabila Annuar menyatakan beliau bukan seperti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (yang enggan bercuti dan menyalahkan orang lain apabila disiasat dan kemudian didakwa di mahkamah atas kes rasuah). Memang tepat, Guan Eng ghairah bercakap tentang integriti tetapi bagai ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang najis.
Bagaimana pula kedudukan Annuar dalam UMNO? Setakat ini, jawatan beliau sebagai Ketua Penerangan tidak terjejas, yang mencerminkan kepercayaan kepada Annuar, meskipun beliau akan berdepan dengan cabaran persepsi di khalayak umum selepas ini. Namun UMNO harus bersedia hadapi sebarang kemungkinan termasuk beliau melepaskan jawatan parti dengan menjadikan integriti sebagai faktornya atau merajuk untuk terus bersara atas nama harga diri.
Jika itu berlaku, UMNO sebagai parti berpengalaman akan menguruskannya sehabis baik. Namun jauh di sudut hati , Awang percaya Annuar bukan jenis yang mudah kecewa. Khidmat beliau sebagai Ketua Penerangan UMNO masih diperlukan, lebih-lebih lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-14). Dugaan orang politik memang selalunya berat, yang Annuar tentu lebih faham tetapi jalan keluar tetap ada.

JAMAL, ISU JUDI...
 
Penahanan ke atas seorang pemimpin NGO, Jamal Yunus serta sembilan pengikutnya berkaitan serbuan mereka ke premis judi haram, menarik perhatian Awang. Difahamkan polis menahan beliau dan kumpulannya atas beberapa dakwaan samun selepas
pemilik premis mendakwa terdapat barang hilang.
Awang tidak berniat mahu mencampuri urusan polis yang melakukan siasatan. Jika salah tetap salah walau sekecil mana pun tahap dakwaannya.
Namun Awang ingin berkongsi sentimen orang ramai terhadap isu tersebut. Ada yang bertanya apakah kerana Jamal lantang mendedahkan gejala premis judi haram atau slot mesin haram (yang berselindung di pusat hiburan keluarga berlesen) maka dia mudah dijadikan sasaran?
Awang harap tidak. Lagi ramai yang bertanya mengapa Jamal yang ditahan reman sedangkan tauketauke premis judi haram bagai tidak tersentuh.
Mungkin lebih mudah menangkap Jamal berbanding taikun judi.
Itulah antara sentimen kuat rakyat yang kecewa kerana aktiviti judi haram terus berleluasa terutama di Selangor.
Awang tiada jawapan tetapi sentiasa mahu percaya polis tetap komited.
Mesej yang cuba disampaikan adalah isu serbuan Jamal ke atas premis judi haram adalah picisan sedangkan isu pokok belum ditangani dengan berkesan.
Pernah dijanjikan tahun lalu oleh PBT dan polis bahawa aktiviti premis judi haram akan dihapuskan tetapi sehingga kini ia tidak berkesan.
Ramai yang mengaitkannya dengan isu integriti dan kelemahan pihak berkuasa. Sebab itulah Awang boleh faham mengapa beberapa NGO terutama Jaringan Melayu Malaysia (JMM) pimpinan Azwandin Hamzah terpaksa meneruskan perjuangan menentang gejala tersebut, biarpun berdepan risiko dan tidak disenangi pihak berkuasa. Silapnya di mana? Apakah kartel judi lebih berkuasa di negara ini dan pihak yang mahu membersihkan daripada kemungkaran serta menghindarkan rakyat daripada
mudarat, menjadi korban? Sekali lagi Awang tiada jawapan, cuma yang pasti penahanan Jamal ada hikmahnya untuk kita renungkan.

HARAPAN BAHARU

Ketika rakyat Malaysia hampir terlupa dengan kisah Pulau Batu Puteh selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan ia milik Singapura pada 2008, ada perkembangan baharu yang sedikit melegakan.
Kerajaan Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ selepas lapan tahun ia berlalu. Awang teruja dengan langkah tersebut sebagaimana diumumkan oleh Peguam Negara, Mohamad Apandi Ali kelmarin.
Menurut beliau, permohonan itu difailkan di ICJ di The Hague, Belanda selepas penemuan beberapa fakta penting yang sebelum ini tidak diketahui oleh mahkamah.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh atas faktor administratif kerana republik itu mengendalikan Rumah Api Horsburgh di situ.
Dalam keputusan ICJ itu juga, Middle Rocks adalah milik Malaysia manakala South Ledge pula tertakluk kepada wilayah perairan di mana ia terletak kelak.
Pulau Batu Puteh terletak cuma 7.7 batu nautika dari Pantai Tanjung Penyusuh di Johor, yang selama ini memang diketahui turun temurun milik Malaysia (sebelum itu Tanah Melayu).
Beberapa penganalisis sejarah termasuk Profesor Ramlah Adam dan Profesor Teo Kok Seong menyifatkan peluang Malaysia kali ini cerah dengan bukti baharu melalui semakan itu.
Kedua-duanya merumuskan strategi pasukan guaman kita kurang berkesan kerana tiada hujah kuat bagi membuktikan kehadiran Malaysia ketika tewas di ICJ pada 2008.
Awang percaya permohonan semakan Malaysia tidak akan menjejaskan hubungan Malaysia- Singapura yang telah membuktikan kematangan dengan menangani pertikaian secara harmoni.
Walaupun Awang tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi, ia tetap dilihat harapan baharu.
Ini kesempatan terbaik bagi mendapatkan semula hak wilayah kita melalui proses perundangan. Buatlah persiapan terbaik dan bangkit daripada kegagalan. Ingatlah, ini soal kedaulatan.

APA SUDAH JADI?
Dalam diam-diam makin banyak produk yang berada di pasaran negara ini tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan pada label atau info (produk).
Malah sudah berbelas-belas produk penjagaan diri termasuk syampu, pencuci muka dan pelbagai krim menggunakan bahasa Thailand. Dengan kata lain, produk jenama antarabangsa itu diimport dari negara jiran tanpa dibungkus semula sebagaimana standard yang sepatutnya diamalkan.
Awang rimas apabila melihat produk-produk berkenaan berada bebas di pasar raya dan farmasi tanpa sebarang seliaan dan pengawasan.
Apa sudah jadi dengan pihak berkuasa kita ? Ketika negara serantau termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam mendaulatkan Bahasa Kebangsaan, Malaysia seperti mahu berundur.
Inilah masa untuk membetulkan keadaan. Langkah tegas menangani isu tersebut mesti diambil seperti yang disuarakan banyak persatuan pengguna dan NGO ekoran pendedahan Utusan Malaysia, baru- baru ini. Maka Awang teringatkan titah Sultan
Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bahawa pencerobohan besar terhadap asas kenegaraan dan jati diri bermula dengan pencerobohan kecil.
Ini termasuklah Bahasa Kebangsaaan yang sedang digugat dan dilemahkan. Siapa harusbertanggungjawab?