ARKIB : 14/02/2010
BAGI penduduk negara ini nama bekas mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bukanlah satu nama asing. Beliau sentiasa memberikan buah pemikiran dan pandangan yang ilmiah dan berbeza namun pada masa yang sama mengajak umat Islam berfikir tentang apa yang diperkatakan. Beliau yang menulis pandangannya di dalam akhbar Mingguan Malaysia sejak 11 Mac 2007 melalui kolum tetapnya "Pena Mufti" telah menarik perhatian segenap lapisan masyarakat daripada peringkat atasan hinggalah rakyat biasa.
Perkara ini berlaku kerana apa yang dipersembahkan di dalam penulisannya berjaya membawa dimensi baru yang lebih meluas dan pelbagai. Keberanian dan perubahan segar yang dibawanya seringkali disajikan melalui kaedah penghujahan yang kemas dan mantap.
Aspek inilah yang telah disajikan kepada pembaca untuk dinilai, dibincangkan dan dihujah secara lebih mendalam oleh para pembaca. Mungkin sesetengah topik dan perbincangan yang dihasilkannya mencetuskan kontroversi tetapi tiada sesiapa yang boleh menolak bahawa terdapat kebernasan dalam hujah yang ditimbulkan.
Walaupun terdapat pro dan kontra dalam sesetengah perkara namun akhirnya hujah yang ditampilkan telah menjadi perbincangan umum yang menarik untuk diperkatakan secara terbuka.
Sedikit mengenai biodata Dr. Asri, beliau yang berasal dari Bukit Mertajam, Seberang Perai Pulau Pinang dilahirkan pada 1971. Beliau yang turut dikenali sebagai Dr. Maza mendapat pendidikan peringkat Sarjana Muda di Universiti Jordan dalam bidang Bahasa Arab dan Syariah.
Dr. Asri kemudiannya menyambung pelajaran peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan pengkhususan dalam pengajian Islam.
Seterusnya beliau lanjutkan pengajian untuk ijazah doktor dengan pengkhususan dalam bidang Hadis di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Beliau memegang jawatan pensyarah Bahagian Pengajian Islam di Pusat Ilmu Kemanusiaan USM sebelum kerajaan negeri Perlis meminjamnya untuk dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006. Beliau memegang jawatan itu sehingga 30 November 2008. Kini beliau kembali mengajar di USM.
Beliau juga telah menulis puluhan buku dan ratusan rencana serta membentangkan kertas kerja dalam pelbagai seminar di dalam dan peringkat antarabangsa.
Malah terdapat bukunya yang telah diterbitkan di Lebanon di dalam bahasa Arab. Selain itu Dr. Asri juga mempunyai kebolehan untuk menulis puisi.
Sejak pelantikan beliau sebagai mufti banyak idea dan pendapat yang dilontarnya telah menimbulkan kontroversi namun pada masa yang sama juga ia turut menimbulkan gelombang pemikiran pembaharuan untuk didalami oleh rakyat Malaysia.
Dengan tamatnya kontrak sebagai Mufti Perlis tidak bermaksud idea dan pemikirannya terhenti setakat itu sahaja. Penulisan beliau yang disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia terus mekar menunjangi pemikiran pembaharuan malah sering menjadi perbincangan hangat di kalangan masyarakat.
Malah ramai pembaca yang telah mengumpul sendiri rencana-rencana yang disiarkan di Mingguan Malaysia untuk rujukan dan simpanan. Atas permintaan yang begitu tinggi ini maka sebahagian rencana tersebut telah dibukukan di bawah siri Islam dan Masyarakat terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Buku berkenaan yang diberi judul Mengemudi Bahtera Perubahan Minda memungkinkan para pembaca yang mengikuti penulisannya sebelum ini membuat penilaian yang lebih mendalam tentang perkara yang pernah dibincangkan sebelum ini.
Himpunan rencana ini meliputi pelbagai topik dan isu menarik mengenai pembangunan minda, pegangan masyarakat, politik dan pentadbiran serta pelbagai lagi. Malah perkara mengenai hiburan, kesenian dan ekonomi turut dibincangkan dalam koleksi penulisan beliau.
Kecenderungan rencana-rencana yang dikumpul dalam buku ini dilihat mampu mengubat kelemahan cara berfikir, kejumudan, keterbabasan sikap dan mentaliti serta penyelewengan dalam pelbagai aspek kehidupan. Dalam erti kata lain penulisan beliau ini secara sinis cuba memujuk dengan tegas dan puitis di samping menyampaikan mesej melalui pemikiran yang bernas dan kritis.
Buku ini juga diharap dapat memperluaskan bahan bacaan yang berlandaskan Islam dalam segenap bidang kehidupan selain bertujuan membentuk masyarakat Islam yang dapat menghayati serta memahami ajaran Islam dengan sebaik-baiknya dalam melalui kehidupan seharian mereka.
Buku ini boleh didapati pada harga RM35.00 senaskah namun diskaun sebanyak 20 peratus akan diberikan jika pembelian dilakukan secara talian. Bakal pembeli boleh melayari www.mybooks.com.my untuk mendapatkan buku berkenan pada harga diskaun.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4chIyyXA1
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment