Isi Kandungan
Jihad nikah, hamba seks Daesh
ANTARA
musuh terbesar manusia adalah ketaksuban yang menghalang melihat
kebenaran, sekali gus menjadikan kita semakin ekstrem dan radikal.
Elemen ini berbahaya kepada organisasi agama, politik, ekonomi dan
sosial.
Ketaksuban juga menyebabkan masih
ramai rakyat Malaysia menjadi penyokong Daesh. Antara kerosakan kepada
Islam yang dibawa Daesh adalah ‘jihad nikah’.
Pelbagai laporan dan kajian menunjukkan Daesh mewujudkan jihad nikah antara wanita serta militan Daesh.
Bacalah kisah-kisah dari Mosul, Iraq di
mana militan Daesh ‘merayau-rayau’ mencari wanita untuk dikahwini,
mengetuk pintu rumah mencari wanita yang belum berkahwin.
Banyak kisah wanita tidak berkahwin
diberikan tempoh 24 jam untuk mencari suami dan disuruh berkahwin atau
dicarikan suami daripada bakal militan untuk dikahwini.
Realitinya, ramai yang dipaksa berkahwin
dengan militan Daesh, berkahwin selama beberapa hari, kemudian
diceraikan selepas mereka melampiaskan nafsu.
Kewujudan ulama Salafi Wahabi dari negara
tertentu yang mengeluarkan ‘fatwa’ menjemput wanita negara lain untuk
menawarkan diri mereka kepada militan Daesh dalam Program Jihad Nikah,
memburukkan lagi suasana.
Wanita-wanita yang terpedaya ini datang
dari Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara Arab,
kemudiannya mengandung, bersalin dan dibiarkan tanpa pembelaan.
WANITA SEBAGAI HAMBA SEKS
Selain jihad nikah, Daesh menghalalkan dan
mewujudkan semula penghambaan pada zaman moden ini. Daesh menjadikan
hubungan seks dengan perempuan yang diperhamba sebagai hak mereka.
Banyak wanita dan anak gadis yang ditawan dipaksa berkahwin dengan
militan Daesh atau menjadi hamba seks.
Antara yang menjadi mangsa penghambaan
Daesh adalah kaum Yazidi, Kristian dan Sunni Kurdish. Puak Sunni Kurdish
walaupun Muslim dianggap murtad kerana menentang Daesh. Laporan
menunjukkan Daesh menubuhkan ‘Jabatan Harta Rampasan Perang’ untuk
menguruskan para hamba.
Selepas menyerang dan menawan musuh, Daesh
membahagikan tahanan wanita mengikut agama dan umur. Satu perlima wanita
dan kanak-kanak wanita ini diserahkan kepada pemerintah pusat Daesh
sebagai ‘harta rampasan perang’.
Bakinya dibahagikan dalam kalangan militan
sebagai ‘hadiah peperangan’, dijadikan hamba seks atau diberi percuma
kepada orang lain. Seterusnya, Daesh mewujudkan pasar hamba di Mosul,
mendokumentasikan wanita dan kanak-kanak wanita yang didagangkan dan
diperhamba.
ISLAM MENGHARAMKAN PENGHAMBAAN
Pelbagai bukti menunjukkan Daesh cuba
mentafsirkan ajaran Islam mengikut selera mereka. Terdapat fatwa Daesh
menghuraikan peraturan mengadakan hubungan seks dengan hamba wanita.
Bacalah majalah terbitan Daesh, Dabiq,
keluaran keempat untuk memahami usaha Daesh memberikan justifikasi agama
yang menghalalkan penghambaan.
Bacalah pelbagai kisah sedih wanita dan
anak gadis yang dirogol berulang kali dalam masa sehari serta dilayan
seperti binatang oleh Daesh atas nama agama demi memenuhi nafsu serakah
mereka. Sebagaimana kata Profesor Abdel Fattah Alawari
dari Universiti al-Azhar, penghambaan manusia adalah status quo semasa
kedatangan Islam di mana tamadun Yahudi, Kristian, Greek, Rom dan Parsi
mengamalkannya dan mengambil tawanan wanita musuh sebagai hamba seks.
Islam kemudiannya menyeru hamba-hamba
dibebaskan secara berperingkat-peringkat dan menghapuskannya, bukannya
terus diperhamba. Daesh sengaja menyalahtafsirkan ayat-ayat al-Quran
yang asalnya bertujuan menamatkan penghambaan, bukan menggalakkannya.
Realitinya, apabila Daesh memperhamba
Yazidi, mereka mencabuli kontrak sosial antara golongan Muslim dan kaum
Yazidi yang sudah begitu lama terjalin.
Daesh zalim apabila menganggap memperhamba
kaum Yazidi dan musuh mereka sebagai hak mereka sedangkan ulama semasa
Islam bersetuju bahawa penghambaan merupakan satu jenayah besar
kemanusiaan dan mencabuli undang-undang Islam.
Sejarah Islam menunjukkan Khalifah Islam
sebelum ini (era Ayyubi dan Uthmaniah) menganggap Yazidi sebagai Ahli
Kitab dan memberikan hak untuk tinggal dalam negara Islam melepasi 1,000
tahun. Ini membolehkan kaum minoriti bukan Islam seperti Yazidi terus
hidup dan mengekalkan identiti mereka sehingga kini di Iraq, khususnya.
Undang-undang Islam memberikan hak kepada minoriti bukan Islam keselamatan untuk tinggal dalam negara Islam.
Dalam konteks zaman sekarang, larangan
penghambaan ke atas tawanan bukan Islam adalah mutlak, tiada
pengecualian kerana negara Islam telah bersetuju dengan Konvensyen
Penghambaan 1926 yang mengharamkan penghambaan sama sekali.
Ini menyebabkan tindakan memperhamba sama
ada Muslim atau bukan Muslim, jual beli hamba seperti diamalkan oleh
Daesh adalah dilarang sama sekali. Malah, Khalifah Uthmaniah
menghapuskan penghambaan di Afrika pada 1847 dan pada 1882 menghapuskan
semua jenis penghambaan di seluruh empayar Uthmaniah, jauh lebih awal
berbanding Konvensyen Penghambaan 1926.
Pemerintah Islam dari negara Islam juga
menandatangani Konvensyen Geneva 1949 yang mengikat semua negara dan
individu Muslim daripada menjadikan tawanan perang sebagai hamba.
Kezaliman dan kekejaman Daesh dalam menghalalkan penghambaan begitu menusuk jiwa.
Bacalah dan hayatilah pelbagai kisah duka
wanita dan anak gadis tidak bersalah yang diperkosa dengan kejam dan
diperlakukan dengan zalim. Kebinatangan sebeginikah yang masih disokong
oleh sebahagian rakyat Malaysia, termasuk sebilangan penceramah agama?
Bukti menunjukkan
militan Daesh
bertukar-tukar hamba seks. Komander Daesh memiliki keistimewaan
menggunakan hamba wanita untuk tujuan seks. Malah, bukti menunjukkan
janda militan Daesh akan dikahwinkan dengan militan Daesh lain untuk
tempoh tertentu sebelum dikahwinkan lagi dengan militan lain
selepas
itu (tanpa
cukup idah).
Penganalisis
menganggarkan seramai
5,000 –
7,000 wanita terlibat dalam jual beli hamba di wilayah Daesh. Wanita
dan kanak-kanak malang ini dijual bermula dari harga serendah AS$15
(RM66.75) sehingga AS$1,000 (RM4,450) bergantung kepada status sebagai
anak dara atau tidak, warna mata, kecantikan
wajah dan umur.
No comments:
Post a Comment