Semalam pemilihan sempena Kongres FAM ke- 51 mencatat sejarah dengan menyaksikan 100 peratus muka baharu pada barisan exco badan induk bola sepak nasional itu.

Awang mengucapkan tahniah Tunku Ismail selaku pemilik JDT kerana hasratnya kali ini untuk menerajui FAM tercapai selepas tewas pada pemilihan penggal lalu.

Tahniah juga Presiden Persatuan Bola Selak Selangor (FAS) Subahan Kamal yang terpilih sebagai Timbalan Presiden dan seluruh barisan exco lain. Kini era TMJ bermula dengan harapan rakyat Malaysia khususnya peminat bola sepak tanah air tinggi menggunung mahukan kebangkitan bola sepak negara. Selepas pemilihan semalam, TMJ memulakan langkah dengan melantik bekas ketua jurulatih JDT, Mario Gomez sebagai jurulatih skuad kebangsaan menggantikan Ong Kim Swee, yang diberi tugas membimbing Skuad Bawah 23.

Awang percaya lebih banyak perubahan akan dilakukan malah mungkin kejutan demi kejutan. Rakyat Malaysia tentu teruja mahu melihat perkembangan selepas ini agar janji-janji TMJ dikotakan.

Apakah hasilnya nanti boleh dilihat seawal Sukan SEA di Kuala Lumpur, Ogos ini, dengan kejayaan untuk merangkul pingat emas menutup temasya sukan itu? Dengan keyakinan dan kesungguhan yang dibuktikan oleh TMJ sehingga membawa kejayaan kepada JDT, Awang yakin FAM akan lebih menyinar. Namun cabaran yang menanti begitu besar dan kompleks termasuk dalam mencungkil generasi pemain berkualiti sehebat Ghani Minhat, Syed Ahmad, Ali Bakar, Namat Abdullah, Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh, V. Arumugam, James Wong dan Hassan Sani.

Kini beban itu terpikul di bahu dan minda Tunku Ismail. Realiti bercakap, mengkritik dan memberi pandangan dari luar tidak sama dengan cabaran menggerakkan FAM.

TMJ juga perlu bersedia lebih lasak dan terbuka kerana jawatan Presiden FAM mudah terdedah kepada kritikan dan tohmahan. Kini semua mahu melihat TMJ, Subahan dan exconya berjaya demi kepentingan dan maruah negara. Berdoalah dan beri sokongan kepada pasukan baharu ini.

Malaysia pernah menjadi gergasi Asia dari dekad 1950-an hingga awal 1980-an sebelum merudum berpanjangan. Mampukah Tunku Ismail memberi impak kebangkitan? Bola kini di kaki TMJ maka jaringkanlah gol, usah menghampakan.

JAWABLAH KIT SIANG

Kebelakangan ini Penasihat DAP, Lim Kit Siang sibuk memukul canang yang beliau sebenarnya bukan anti-Islam dan anti-Melayu.

Kit Siang sedar kemungkinan tsunami Melayu akan melanda PRU14 tidak boleh ditolak, lebih-lebih lagi dengan terputusnya sokongan Pas. Beliau tidak mahu menjadi punca utama kegagalan Pakatan Harapan.

Sebab itu, Awang lihat beliau melenting dengan usaha Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa bagi menganjurkan peraduan penulisan, video pendek dan grafik dengan topik Kit Siang rasis, anti-Islam, anti-Melayu dan diktator.

Hadiah berjumlah RM50,000 ditawarkan, yang mula mendapat perhatian. Walaupun Kit Siang terdesak memulihkan imejnya sebagai rasis, anti-Islam dan anti-Melayu (dari kaca mata kaum bukan Cina khususnya), ia sudah terlambat. Seperti Awang nyatakan minggu lalu, ia umpama kekotoran terlalu tebal yang tidak mungkin dapat dibersihkan.

Yang lebih menarik diperkatakan sekarang di laman sosial adalah kenapa Ahli Parlimen Gelang Patah itu jarang ada di kawasannya untuk berbakti kepada rakyat. Lagi panas adalah bagaimana Kit Siang boleh bertahan begitu lama iaitu 51 tahun di persada kuasa dengan dakwaan muslihat dan manipulasi termasuk pada pemilihan DAP 2012.

Beliau punya hak untuk menjawab dan jawablah sebelum lebih banyak misteri terbongkar.


KEBANGGAAN...

Awang mengucapkan tahniah kepada seluruh warga polis sempena sambutan Hari Polis Ke-210 semalam.

Pengorbanan dan jasa polis tetap abadi di sebalik apa pun cabaran, tafsiran serta kompleksiti masa kini.

Sama ada mereka yang sedang berkhidmat, telah bersara apatah lagi yang terkorban, sumbangan warga polis di negara ini sejak sebelum merdeka lagi tidak mampu dibalas.

Semoga pengiktirafan dan penghargaan semua pihak kepada polis bukan sekadar bermusim seperti pada sambutan Hari Polis.

Keamanan dan kestabilan yang dicapai pada hari ini adalah atas peranan polis. Sebab itu Awang terkilan dan adakalanya marah kepada golongan yang suka menafikan sumbangan bahkan menghina polis.

Pada kesempatan ini, Awang bersyukur dengan kecemerlangan polis membendung ancaman pengganas khususnya Daesh, yang tidak boleh diambil mudah. Begitu juga dalam menangani kes pembunuhan berprofil tinggi melibatkan abang pemimpin Korea Utara, Jong-nam.

Kedua-dua pencapaian itu adalah antara lautan kisah kejayaan polis yang tidak terkira dan ternilai kepada keamanan tanah air. Walaupun terdapat segelintir yang membuat onar, kepada warga polis, anda adalah kebanggaan negara. Awang tabik. 

MESEJ BUAT UEC

Penegasan Menteri Pendidikan Tinggi, Idris Jusoh bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu
(UEC) tidak boleh digunakan sebagai kelayakan masuk ke universiti awam, menarik perhatian.

Ini bermakna pendirian kerajaan tidak berubah. Sijil UEC hanya diiktiraf untuk kemasukan ke universiti swasta. Asasnya adalah kurikulum sijil UEC masih tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti yang dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996.

Awang hargai ketegasan Idris yang meletakkan kepentingan negara dan dasar pendidikan yang sepatutnya seragam, mengatasi percaturan politik. Ia melegakan banyak pihak dan dengan sendirinya menjawab tekanan baharu mahukan kerajaan tunduk dalam isu UEC menjelang pilihan raya umum.

Penyelesaiannya mudah. Sijil UEC itu sendiri perlu berubah mematuhi syarat dasar pendidikan kita, bukan negara perlu mengikut acuan UEC. Belajarlah daripada negara-negara lain yang tidak berkompromi soal kesatuan dalam sistem pendidikan nasional. Awang selalu sebutkan ungkapan ini dan mahu terus ulanginya - 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.' Sukar sangatkah mahu mendaulatkan dasar pendidikan negara ini?

CUKUPLAH...

Telah kerap kali Awang menulis dalam ruangan ini tentang perlunya rakyat Malaysia pada seawal usia mahir berenang.

Sebagai sebuah negara maritim yang di kelilingi lautan dan banyak aliran sungai, kemahiran berenang adalah amat penting selain dianggap riadah serta sukan terbaik untuk kesihatan.

Lebih menghantui Awang adalah kes mati lemas yang banyak menimpa rakyat negara ini terutama kanak-kanak dan remaja. Terbaru, tujuh kanak-kanak maut di Sungai Selangor dekat Bukit Beruntung. Saban masa ada sahaja insiden seumpama itu yang terus melonjakkan statistik kematian iaitu 700 orang setiap tahun.

Selain menuntut kesedaran ibu bapa untuk menghantar anak menjalani kelas renang, Awang melihat sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah besar. Antaranya menerapkan kebolehan berenang dalam ko-kurikulum di sekolah dan universiti.

Juga memastikan setiap daerah terutama di kawasan pedalaman mempunyai kolam renang bagi aktiviti kelas renang untuk awam dan pelajar. Cukuplah kita menghitung kematian dan mahu menyerahkan sahajakah kita?

IKEA DAN BAHASA

Ketika makin banyak pihak mengabaikan Bahasa Kebangsaan pada promosi dan iklan komersial, pusat membeli-belah terkemuka IKEA membuktikan sebaliknya.

Awang tertarik istilah seperti Barangan Rumah menghiasi bangunan IKEA Ceras, Kuala Lumpur berbanding banyak gedung membeli-belah lain ghairah menggunakan bahasa Inggeris.

Tahniah kepada pengurusan syarikat jenama popular antarabangsa itu yang meletakkan keyakinan kepada Bahasa Kebangsaan.

Siapa kata bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan tiada nilai komersil?

Kalau IKEA komited mendaulatkan bahasa kita mengapa tidak syarikat tempatan yang dimiliki oleh warga negara Malaysia, Awang paparkan hal ini sebagai mesej kepada semua agar lebih bercermin diri.