Isi Kandungan
HARGAI 'TEMU JANJI' DENGAN ALLAH
JIKA
diberi peluang menghadap raja atau individu berpengaruh untuk
menyatakan segala hajat dan aduan, pastinya masa singkat itu akan
dimanfaatkan sepenuhnya bagi memohon 1,001 permintaan.
Begitulah kata Imam Masjid al-Noor, Granville, Australia, Syeikh Omar El-Banna, bagi
menggambarkan realiti kehidupan manusia termasuk umat Islam jika diberi
peluang mendapatkan sesuatu kelebihan dalam bentuk fizikal.
Namun,
pendakwah antarabangsa itu berkata, malangnya perkara itu membuatkan
manusia terlupa hakikatnya bukan makhluk yang menyempurnakan segala
hajat sebaliknya terdapat kuasa lebih besar mengizinkan sesuatu perkara
itu sama ada tercapai atau tidak iaitu Allah SWT.
“Bayangkan jika kita dipanggil dan sedang
berada di hadapan Perdana Menteri untuk mengadu kesusahan, adakah kita
akan sibuk melakukan perkara lain seperti melihat persekitaran atau leka
dengan apa yang berlaku di sekeliling?
“Pastinya
tidak. Tetapi kita sebolehnya akan memberi sepenuh tumpuan sepanjang
berhadapan pemimpin tersebut tanpa menghiraukan perkara lain. Ini
kerana, kita bimbang akan disenarai hitam dan mungkin tidak akan
dipanggil lagi.
“Mengapa? Kerana kita
adalah orang yang bodoh, diberi kesempatan tetapi tidak memanfaatkannya,
malah sibuk dengan urusan lain,” katanya dalam satu ceramah umum yang
diadakan.
Sebaliknya Omar berkata, cuba fikirkan kembali bagaimana ketika kita menghadap Allah dalam solat lima waktu.
“Saya
percaya lebih 90 peratus umat Islam sering berkhayal ketika solat. Kita
sering memikirkan pelbagai urusan dalam solat walaupun kurang dari lima
minit melaksanakannya. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kita
fikirkan.
“Namun, Dia masih mengurniakan
kepada kita rezeki melimpah ruah, isteri, suami dan anak-anak sehingga
menyibukkan kita dengan nikmat tersebut. Allah tidak pernah
menyenaraihitamkan kita, sebaliknya sentiasa membuka peluang agar
sentiasa berdoa memohon dan bertaubat kepada-Nya,” ujarnya.
Memiliki
Ijazah Kejuruteraan di Universiti Amerika di Cairo, Mesir, Omar turut
memegang ijazah dalam Fakulti Syariah di Universiti al-Azhar, Mesir.
Selain aktif menyebarkan dakwah menerusi saluran media, beliau juga
telah menjelajah pelbagai negara selama lebih 15 tahun menyampaikan
ajaran Islam.
Justeru, tambah beliau,
umat Islam perlu cuba memperbaiki hubungan dan komunikasi ketika
berhadapan Allah dengan berusaha mencari khusyuk ketika menunaikan
solat.
Sebagaimana firman Allah
bermaksud: “Sesungguhnya berjaya (beruntunglah) orang-orang yang
beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya”. (al-Mukminun : 1-2)
“Untuk
mencapai khusyuk kita perlu tahu di hadapan siapa kita berdiri, dengan
siapa kita berbicara, apa yang kita ucapkan. Semua perasaan ini perlu
datang daripada dalam diri kita, semakin banyak rasa ini hadir, maka
semakin baik solat kita.
“Tetapi jika
lemah perasaan ini, maka semakin lemah juga kualiti solat kita. Ramai
dalam kalangan kita yang berkhayal ketika solat, malah tidak terfikir
pun apa yang sepatutnya kita fikirkan sebaliknya memikirkan perkara yang
tidak perlu difikirkan.
“Mengapa ini
berlaku, kerana tiada keinginan untuk memberi sepenuh tumpuan, tiada
konsentrasi dan tidak tahu bagaimana ingin mencari kekhusyukkan ini,”
jelasnya.
Omar berkata, kesempatan
bertemu dengan Allah dalam solat perlu dihayati sepenuhnya kerana tiada
batasan antara orang yang melaksanakan ibadah tersebut dengan raja
segala raja itu.
“Sedarlah, Allah tidak
memerlukan kita, sebaliknya kita yang memerlukan-Nya. Dia tidak perlu
kepada ibadah kita, tidak perlu khusyuk dan Allah tidak menunggu ibadah
kita. Kerajaan dan kekuasaan Allah tidak pernah berkurangan atau
bertambah sedikit pun dengan zikir atau ibadah yang kita lakukan.
“Sebaliknya
kita memerlukan Allah dalam setiap ketika. Sepatutnya kita berbangga
kerana Allah memberi kita kesempatan untuk berkomunikasi dengan-Nya. Ini
mengapa ulama berkata, sesiapa yang ingin berbicara dengan Allah, maka
bersolatlah,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment