Isi Kandungan
Kepentingan nasional tetap keutamaan Petronas
MUKADIMAH
PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelaburan berjumlah AS$7 bilion (RM31 bilion) oleh syarikat minyak Saudi Aramco di dalam Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) milik Petronas di Pengerang, Johor minggu lalu, mengundang pelbagai reaksi dan persepsi daripada kalangan pemain industri mahupun masyarakat umum. Kebanyakan pihak mengalu-alukan pengumuman tersebut dan melihat pemeteraian perjanjian pembelian ekuiti di antara dua syarikat minyak gergasi itu sebagai sesuatu yang amat signifikan dalam pembangunan projek tersebut dan secara tidak langsung, pembangunan di negeri Johor serta negara. Ia juga melambangkan tahap keyakinan syarikat minyak Arab Saudi terhadap masa depan industri minyak negara yang diterajui Petronas. Wartawan Mingguan Malaysia, JOHARDY IBRAHIM berpeluang mewawancara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, DATUK WAN ZULKIFLEE WAN ARIFFIN bagi mendapatkan pandangan dan penjelasan beliau mengenai pelaburan Saudi Aramco, impak perjanjian tersebut kepada Petronas dan Malaysia, selain pendekatan syarikat minyak nasional itu tentang pembangunan sosio-ekonomi tempatan.
PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelaburan berjumlah AS$7 bilion (RM31 bilion) oleh syarikat minyak Saudi Aramco di dalam Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) milik Petronas di Pengerang, Johor minggu lalu, mengundang pelbagai reaksi dan persepsi daripada kalangan pemain industri mahupun masyarakat umum. Kebanyakan pihak mengalu-alukan pengumuman tersebut dan melihat pemeteraian perjanjian pembelian ekuiti di antara dua syarikat minyak gergasi itu sebagai sesuatu yang amat signifikan dalam pembangunan projek tersebut dan secara tidak langsung, pembangunan di negeri Johor serta negara. Ia juga melambangkan tahap keyakinan syarikat minyak Arab Saudi terhadap masa depan industri minyak negara yang diterajui Petronas. Wartawan Mingguan Malaysia, JOHARDY IBRAHIM berpeluang mewawancara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, DATUK WAN ZULKIFLEE WAN ARIFFIN bagi mendapatkan pandangan dan penjelasan beliau mengenai pelaburan Saudi Aramco, impak perjanjian tersebut kepada Petronas dan Malaysia, selain pendekatan syarikat minyak nasional itu tentang pembangunan sosio-ekonomi tempatan.
Mingguan Malaysia: Tahniah
diucapkan kepada Petronas di atas perjanjian bersejarah yang dimeterai
dengan Saudi Aramco baru-baru ini, Datuk. Banyak telah diperkatakan
tentang pelaburan ini. Boleh Datuk huraikan dengan lebih lanjut?
Wan Zulkiflee : Terima
kasih. Alhamdulillah, setelah sekian lama di meja perundingan, kami
telah berjaya mencapai kata persetujuan yang bakal memberi manfaat
kepada kedua-dua pihak Petronas dan Saudi Aramco, dan juga kepada
kedua-dua negara.
Dengan pelaburan kira-kira AS$7 bilion (RM31
bilion) ini, Saudi Aramco bakal menjadi rakan kongsi strategik Petronas
bagi projek RAPID. Kedua-dua organisasi akan memiliki ekuiti yang sama
di dalam aset RAPID iaitu loji penapisan minyak dan pemisahan stim.
Seperti sedia maklum, Projek RAPID adalah
sebahagian daripada pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang atau PIC,
yang diterajui Petronas. Nilai keseluruhan pelaburan PIC dianggarkan
berjumlah AS$27 bilion. Pembangunan PIC sudah mencapai tahap 60 peratus,
dan loji penapisan minyak dijangka beroperasi pada tahun 2019,
Insyallah.
Kami dan juga Saudi Aramco berpandangan
perjanjian perkongsian ini satu langkah strategik di antara dua syarikat
minyak kebangsaan paling berjaya di dunia, menggabungkan sumber
kepakaran masing-masing untuk menjayakan satu projek hiliran paling
besar dalam satu lokasi di Malaysia, di mana projek ini kelak bakal
merealisasikan aspirasi perkembangan perniagaan hiliran kedua-dua pihak.
Saudi Aramco juga bakal membekalkan sehingga
70 peratus keperluan minyak mentah loji penapisan minyak RAPID, sekali
gus memastikan pembekalan stok suapan yang berterusan ke dalam operasi
fasiliti tersebut.
Petronas pula akan membekalkan keperluan
penting lain seperti gas asli, tenaga eletrik, keperluan utiliti dan
juga perkhidmatan sokongan yang lain.
Mengapa Petronas perlu mendapatkan
pelaburan daripada Saudi Aramco? Bukankah Petronas selama ini mempunyai
kedudukan kewangan yang kukuh?
Wan Zulkiflee : Sebelum ini,
saya selalu menekankan bahawa Petronas bersedia untuk melaksanakan
sendiri RAPID tanpa pembabitan rakan kongsi. Amalan kewangan berhemah
Petronas sentiasa memastikan setiap projek yang akan dilaksanakan
mempunyai bajet yang mampu dibiayai atau ditanggung sendiri oleh
Petronas.
Kita tidak boleh merancang sesuatu projek, kemudian menunggu pelaburan pihak luar sebelum projek tersebut boleh dijalankan.
Tapi, perlu diingat projek mega seperti RAPID
sudah tentu menarik minat ramai bakal pelabur. Petronas membuat
penilaian ke atas cadangan-cadangan yang diterima, dan akan membuat
pertimbangan sekiranya cadangan tersebut menepati syarat-syarat yang
telah ditentukan Petronas.
Saya juga pernah menekankan dari segi
kewangan, Petronas berada di dalam kedudukan yang selesa. Kami mempunyai
rizab tunai sekitar RM130 bilion.
Tidak lama lagi saya akan membuat pengumuman
mengenai prestasi kewangan Petronas bagi tahun 2016, di mana perincian
mengenai prestasi kita juga akan dihuraikan dengan lebih lanjut.
Ada pihak yang mengatakan
projek-projek mega seperti RAPID lebih menguntungkan syarikat-syarikat
besar dan asing. Apa langkah yang diambil Petronas untuk memastikan
penglibatan pengusaha-pengusaha tempatan?
Wan Zulkiflee : Sejak
ditubuhkan lebih empat dekad lalu, Petronas diberi amanah untuk
membangunkan sumber hidro karbon negara demi kepentingan rakyat. Seiring
dengan usaha kami memastikan sumber minyak dan gas negara dimanfaatkan
secara optimum, kami juga mempunyai komitmen membantu menaikkan taraf
sosioekonomi rakyat Malaysia.
Selain daripada dividen yang disalurkan
kepada kerajaan untuk pembangunan negara, Petronas juga mempunyai
peruntukan yang signifikan untuk pelbagai pelaburan sosial berteraskan
pendidikan, alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Sejak 1975, sebanyak RM3 bilion telah
disalurkan kepada program tajaan pendidikan Petronas yang telah berjaya
melahirkan tenaga pekerja yang cemerlang. Pembangunan modal insan sangat
penting bagi Petronas. Saya rasa Petronas adalah satu-satunya
organisasi yang tidak mengubah dasar ataupun jumlah agihan biasiswa,
tidak kira sama ada paras harga minyak tinggi atau pun rendah.
Kami juga mempunyai program pembangunan
vendor yang boleh dianggap paling berjaya di Malaysia. Sejak program ini
bermula pada tahun 1994 kami telah berjaya membimbing 100 syarikat
sebagai vendor tempatan. Sejumlah mereka telah berjaya mengembangkan
perniagaan masing-masing di dalam dan di luar negara, selain dari
tersenarai di Bursa Malaysia.
Petronas juga sentiasa berusaha memastikan
syarikat dan pengusaha tempatan mendapat manfaat yang sewajarnya
daripada aktiviti dan projek yang dijalankan. Kami mempunyai dasar di
mana sebahagian besar keperluan projek mesti mempunyai nisbah kandungan
tempatan yang telah ditetapkan.
Di sini saya perlu tekankan bahawa industri
minyak dan gas memerlukan kepakaran khusus dan memiliki piawaian tinggi.
Atas sebab itu kami menetapkan standard yang sama kepada semua
kontraktor, tidak kira syarikat tempatan atau luar negara. Namun begitu,
Petronas sentiasa memastikan syarikat-syarikat tempatan mendapat
pelbagai peluang untuk turut membida bagi kontrak-kontrak yang
ditawarkan.
Di Pengerang, setakat akhir tahun 2016,
pelbagai kontrak bernilai AS$807 juta (RM3.6 billion) telah diberikan
kepada 194 kontraktor dari Johor. Selain itu, ramai lagi pengusaha
tempatan diberi peluang menyertai pelbagai aktiviti perniagaan. Sebagai
contoh, baru-baru ini kami melantik Koperasi Pengerang Jaya Johor Bhd.
(KOPEJA) bagi menguruskan stesen minyak komersial di tapak PIC. Ahli
koperasi ini terdiri daripada penduduk kampung setempat. Projek RAPID
juga setakat ini telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 20,500
rakyat Malaysia, di mana lebih 25 peratus jumlah pekerja berasal dari
Johor.
Selain itu, Petronas juga aktif sejak tahun
2012 menjalankan pelbagai aktiviti pelaburan sosial dan pembangunan
komuniti, bagi membolehkan lebih ramai masyarakat tempatan menikmati
manfaat pembangunan di kawasan Pengerang.
Bagaimana pula dengan keputusan Petronas mengurangkan tenaga kerja baru-baru ini?
Wan Zulkiflee : Seperti umum
sedia maklum, harga minyak mentah yang menjunam sejak pertengahan tahun
2014 telah memberi impak yang sungguh mencabar kepada industri minyak
seluruh dunia. Semua syarikat minyak antarabangsa dan nasional milik
kerajaan mengambil langkah-langkah tertentu untuk menangani impak ini.
Sejak pertengahan tahun 2014, hampir 400,000
pekerja minyak dan gas hilang mata pencarian; hampir 70 projek besar
bernilai hampir AS$400 bilion telah dibatalkan atau ditangguhkan, dan
baru-baru ini ada berita yang mengatakan industri minyak secara
keseluruhan mengurangkan perbelanjaan sebanyak AS$1 trilion sejak harga
minyak jatuh. Di peringkat global, pelaburan dalam pembangunan minyak
dan gas dari tahun 2015 hingga 2020 akan berkurang sebanyak 22 peratus,
atau AS$740 bilion dibandingkan sebelum harga minyak merudum pada tahun
2014.
Seperti diumumkan tahun lalu, Petronas
mengambil keputusan menyusun semula struktur organisasi dan operasi
syarikat sebagai salah satu langkah tersusun menangani impak harga
minyak mentah rendah yang berterusan.
Malangnya, proses ini juga membabitkan
pengurangan tenaga kerja Petronas.Perlu saya jelaskan bahawa Petronas
telah sedaya-upaya berusaha memastikan impak yang minimum kepada para
pekerja tempatan. Setakat ini, kurang dari dua peratus pekerja tempatan
ditamatkan perkhidmatan, berbanding kira-kira separuh daripada pekerja
ekspatriat. Keputusan pengurangan jumlah pekerja ini bukanlah sesuatu
yang senang dibuat. Malah ia keputusan yang paling akhir, atau last
resort.
Tapi jika kita buat perbandingan dengan
syarikat-syarikat minyak lain, berpuluh ribu pekerja terpaksa mereka
hentikan. Di dalam dan di luar negara, banyak juga syarikat lain yang
terpaksa mengurangkan tenaga kerja mereka. Petronas telah menangani
saat-saat getir krisis ini sebaik mungkin.
Keputusan memberhentikan perkhidmatan – sama
ada tidak menyambung kontrak atau membuat tawaran pakej pemutusan
perkhidmatan secara sukarela – telah dibuat dengan mengambil kira
pelbagai aspek, termasuk keperluan operasi, kos, prestasi pekerja dan
tanggungjawab ke atas warga tempatan.
Apakah hala tuju Petronas selepas ini? Boleh Datuk ceritakan perjalanan Petronas dalam jangka masa terdekat?
Wan Zulkiflee : Pelbagai
analisis telah diutarakan tentang krisis harga minyak yang sedang
berlaku ini, namun pada pendapat kami, keadaan harga minyak yang rendah
ini akan berterusan untuk beberapa tahun lagi.
Alhamdulillah, dengan dasar pentadbiran
perniagaan yang berhemah, Petronas berada di dalam keadaan kewangan yang
kukuh. Kita telah bertindak dengan cepat dan betul ketika krisis ini
bermula pada tahun 2014 dan mengambil langkah bijak memulakan
transformasi organisasi untuk meningkatkan kecekapan, produktiviti,
budaya kerja dan kualiti, selain mengurangkan kos dan pembaziran.
Penambahbaikan proses transformasi bukan
sahaja diterapkan di dalam organisasi ini, tetapi juga digalakkan dalam
kalangan industri minyak dan gas negara menerusi inisiatif Cost
Reduction Alliance (CORAL 2.0). Sehingga kini, program-program ini telah
berjaya mencatat penjimatan kos sebanyak RM5 bilion.
Semua langkah transformasi yang kami ambil,
terutama dalam jangka masa 2015 hingga 2020, mempunyai matlamat jelas
untuk dicapai secara kolektif oleh Kumpulan Petronas, bertujuan
menyokong kelangsungan dan kemampanan perniagaan di masa hadapan.
Dalam pada masa itu, kami juga terus menyusun
semula aktiviti-aktiviti perniagaan Petronas di seluruh dunia, di
samping terus komited kepada projek-projek yang berpotensi memberi
pulangan dan nilai kepada Petronas.
Saya dan barisan kepimpinan Petronas juga
akan terus berusaha dalam segala aspek, termasuk strategi, perancangan
dan pelaksanaan untuk lebih memperkasakan lagi industri perkhidmatan dan
peralatan minyak dan gas negara, supaya syarikat-syarikat tempatan
dapat mempertingkatkan keupayaan dan daya saing untuk terus kekal
menyumbang kepada pembangunan industri ini di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment