Isi Kandungan
Salah faham tentang derma organ
“SAYA
bukan tak mahu berikrar sebagai penderma organ. Memang ramai pesakit
memerlukan organ baharu, cuma saya risau apa akan jadi jika penerima
organ saya nanti bukan orang Islam atau penjenayah yang semakin rancak
melakukan dosa selepas sihat dengan organ saya? Tambahan pula saya
pernah dengar nabi melarang menyeksa tubuh mayat. ”
Dialog tersebut selalu menjadi
‘konkrit penghalang’ dalam bicara berkaitan derma organ. Stigma itu
memiliki kesan berantai. Akibatnya, senarai pesakit kronik semakin
panjang, manakala angka pengikrar derma organ tidak menunjukkan
peningkatan memberangsangkan.
Sabtu, 18 Februari lalu, saya dijemput
sebagai panelis forum dalam program Organ For Life anjuran University of
Malaya Medical Society, Pusat Transplan Nasional dan beberapa badan
lain di Fakulti Perubatan Universiti Malaya. Forum ini bertujuan
merungkai pandangan berbagai agama tentang hukum menderma organ.
Saya bersama tiga tokoh agama lain iaitu
Kristian, Hindu dan Buddha. Dalam forum tersebut saya merungkai beberapa
stigma negatif berkaitan derma organ, iaitu:
STIGMA NEGATIF DERMA ORGAN
1 Penderma menanggung dosa penerima organ yang melakukan dosa?
Prinsip mudah apabila berbicara tentang
dosa atau pahala, Allah menegaskan bahawa seorang manusia tidak akan
menanggung dosa orang lain: Firman Allah: ”Dan (ketahuilah), seseorang
pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain,” (al-An’am
[6:164], al-Isra’[17:15] dan Fatir[35:18]).
Seseorang itu hanya menanggung dosa jika ia
berpunca daripada ajakannya. Ia ditegaskan Allah dalam Surah
al-‘Ankabut [29:12-13]).
Dalam Islam, derma atau sedekah bersifat
‘buta agama atau bangsa’. Allah menurunkan ayat 272 Surah al-Baqarah
menegur sebahagian sahabat Nabi SAW yang berat hati untuk bersedekah
kepada kaum kerabat mereka yang masih kufur (Tafsir Ibn Kathir). Dalam
sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan pahala sedekah tetap dijanjikan
Allah tanpa mengira siapa yang menerima sedekah. Ayuh kita ikuti kisah
yang diceritakan Rasulullah SAW ini:
“Seorang lelaki (daripada Bani Israil)
berkata, malam ini aku akan bersedekah. Dia kemudiannya keluar
bersedekah dan tanpa disedarinya telah bersedekah kepada seorang
penzina. Pagi esoknya, orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu telah
diberikan kepada seorang penzina. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah,
segala puji bagi-Mu. (Tanpa kusedari) Aku telah bersedekah kepada
seorang penzina. Lelaki tersebut berkata lagi: malam ini aku akan
bersedekah lagi.
Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa
disedarinya telah bersedekah kepada seorang kaya. Pagi esoknya, orang
ramai bercerita bahawa sedekahnya itu diberikan kepada seorang kaya.
Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji bagi-Mu. (Tanpa
kusedari) Aku telah bersedekah kepada seorang kaya. Lelaki tersebut
berkata lagi: malam ini aku akan bersedekah lagi.’
Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa
disedarinya dia telah bersedekah kepada seorang pencuri. Pagi esoknya,
orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu telah diberikan kepada
seorang pencuri. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji
bagi-Mu. (Tanpa kusedari) aku telah bersedekah kepada seorang penzina,
seorang kaya dan seorang pencuri. Kemudiannya, seseorang datang
kepadanya (dalam mimpinya) dan berkata, semua sedekah yang engkau
berikan sudah diterima (Allah), berkenaan si penzina, sedekahmu itu
mungkin bakal menghalangnya daripada terus berzina, berkenaan si kaya,
sedekahmu itu mungkin bakal menyedarkannya serta mendorongnya agar
membelanjakan hartanya pada jalan Allah, berkenaan si pencuri, sedekahmu
itu mungkin bakal menghalangnya daripada terus mencuri,” - Riwayat
Bukhari dan Muslim.
Dalam Islam kita tidak menanggung dosa
orang lain, tetapi tetap menikmati pahala yang berpunca daripada diri
kita (secara berterusan) walaupun selepas meninggal dunia. Inilah
keistimewaan Islam! Prinsip ini menjadikan hidup kita dipenuhi pelangi
kebajikan. Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila manusia meninggal dunia,
terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (yang
sentiasa berjalan pahalanya), ilmu yang diambil manfaat daripadanya atau
anak soleh yang sentiasa mendoakannya,” - Riwayat Muslim.
Bayangkan berapa banyak pahala bakal
diperoleh jika penerima organ beribadat kepada Allah atau berbakti
kepada agama dan masyarakat. Ia akan terus berpanjangan selagi penerima
organ hidup dalam kebaikan.
2 Mayat terseksa jika pendermaan organ dilakukan
Secara tepatnya Rasulullah SAW melarang
mematahkan tulang mayat: “Mematahkan tulang mayat sama seperti
mematahkannya ketika dia masih hidup,” - Sunan Abu Daud dan Ibnu Majah.
Ini menunjukkan betapa Islam menghormati
manusia walaupun selepas mati. Namun, perlu diketahui bahawa proses
mengambil organ daripada tubuh penderma yang meninggal dunia tidak
dilakukan secara kasar seperti ‘melapah lembu’. Ia dibuat secara teliti
sebagaimana dijelaskan Pusat Transplan Negara. Tambahan pula pengambilan
organ untuk menolong pesakit kronik termasuk dalam usaha menyelamatkan
nyawa.
Dalam Islam, menjaga nyawa adalah antara
prinsip utama agama. Buktinya, sebarang pembunuhan akan dikenakan
hukuman keras seperti qisas atau bunuh balas. Oleh itu, penderma organ
sebenarnya memberikan anugerah kehidupan dan kegembiraan kepada orang
lain merangkumi ahli keluarga pesakit, masyarakat dan negara.
Firman Allah: “Dan sesiapa yang menjaga
keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga
keselamatan hidup manusia semuanya,” (al-Ma’idah [5:32]).
Pada akhir forum, saya berpesan:
“Sudah sampai masanya skop derma dan
sedekah diperluas. Ia tidak sepatutnya dibataskan kepada wang ringgit
atau barangan sahaja. Derma organ adalah kemuncak sedekah yang
digalakkan Islam kerana melibatkan anugerah nyawa kurniaan Allah.
Walaupun hanya sebahagian organ didermakan kepada yang memerlukan, ia
secara tidak langsung memberi sekelumit nyawa untuk sebuah penghidupan.
Nyawa adalah aset paling dihargai manusia kerana kehilangannya akan
ditangisi. Lebih-lebih lagi al-Quran menyatakan sedekah atau derma
terbaik adalah benda yang paling kita sayangi. Apa lagi paling disayangi
melainkan tubuh badan atau organ kita?
Firman Allah: “Kamu tidak sekali-kali akan
dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum
kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu
apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya,” (Ali
‘Imran[3:92]).
Marilah kita semua berikrar untuk menjadi
penderma organ semoga organ pinjaman Allah ini menjadi bank pahala yang
akan kita gunakan di negeri akhirat kelak.
PENULIS adalah bekas pesakit kronik buah pinggang dan menerima buah pinggang yang didermakan ibu saudaranya pada tahun 2010
No comments:
Post a Comment