Isi Kandungan
Misi amal bersama Orang Asli
Ada
pepatah mengatakan, “Banyak hal yang dapat anda lakukan untuk membantu
orang lain baik keluarga, teman atau orang lain di sekitar tempat anda
melakukan kegiatan anda. Hal kecil yang anda lakukan kepada mereka akan
sangat bererti sekali bagi mereka”.
Bagi 24 pelajar dari Politeknik
Tuanku Bahiyah, Kulim, Kedah, aktiviti membantu masyarakat Orang Asli di
pedalaman Sungai Siput, Perak, bukan sahaja meninggalkan khidmat bakti
kepada masyarakat Orang Asli tetap membawa pengalaman yang sangat
berharga untuk diri mereka sendiri.
Program
Amal Masih Ada Yang Sayang di Kampung Pisang, Jalong Tinggi, Sungai
Siput (U), Perak baru-baru ini, ternyata memberikan pengalaman yang
menarik kepada 24 pelajar dan 10 pensyarah pengiring.
Pengarah programnya, Shafarizan Saedan
berkata, program yang dianjurkan pelajar institut pengajian tinggi,
Politeknik Tuanku Bahiyah itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada
mereka tentang kehidupan masyarakat Orang Asli tetapi menggunakan
kemahiran kemahiran yang dipelajari di politeknik.
“Pelajar
yang terlibat ini dari jurusan Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan
Mekanikal, kehadiran mereka sememangnya dialu bagi membantu dalam
memberi idea-idea baharu untuk membaiki kemudahan asas yang semakin uzur
di kampung ini.
“Antaranya ialah
membaiki pagar surau yang roboh, membaiki dan menambah paip air serta
membaiki tandas surau, membaiki peralatan pengendalian dawai di balai
Sewang dan juga rumah penduduk,” katanya.
Selain
itu, mereka juga menggunakan kemahiran yang dipelajari untuk membaik
pulih lantai balai Sewang, dan membuat perabot seperti meja dan kerusi
untuk penduduk.
Menurut Shafarizan,
program tiga hari dua malam itu dianjurkan oleh Kembara At-Taqwa bagi
menyantuni warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) dengan
aktiviti seperti merawat, mengunjungi warga emas serta beramah mesra.
“Pelajar
ini juga dikehendaki mendekati warga emas serta melayan mereka seperti
ibu bapa sendiri dengan menyuap makanan kepada warga emas agar mereka
merasai disayangi,”katanya.
Selain itu,
pelajar wanita pula membawa kanak-kanak lelaki dan perempuan ke sungai
yang berdekatan untuk membasuh rambut dengan ubat kutu dan diikuti
dengan syampu rambut berubat.
“Terima
kasih kepada penyumbang yang menjayakan program ini seperti Ed Scuba
dari Kuala Lumpur, Malaysian4Wheeler, Adabi Malaysia dan orang
perseorangan yang telah bermurah hati untuk menaja beberapa barangan
termasuk 50 kampit beras.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Tuanku Bahiyah, Kamal Irfan Hasbullah,berkata,
tujuan asal program ini ialah untuk memberi pendedahan pelajar
kejuruteraan untuk mempraktikkan apa yang mereka pelajari di politeknik.
“Dengan cara ini, selain program khidmat sosial masyarakat, mereka juga berdepan dengan situasi bekerja yang sebenar.
“Sebelum
ini, pihak politeknik juga pernah membuat kerja khidmat sosial yang
lain seperti membina rumah untuk mangsa banjir di Pantai Timur beberapa
tahun yang lalu,” katanya.
Menurut
Kamal, aktiviti khidmat sosial masyarakat di Perak itu diselitkan dengan
aktiviti menyantuni warga emas, kanak-kanak dan OKU dalam masyarakat
Orang Asli.
“Pelajar juga mengadakan lawatan dari rumah ke rumah sambil menyampaikan sumbangan yang disumbangkan oleh orang ramai,” katanya.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh, Pengarah Politeknik Tuanku Bahiyah, Kulim, Kedah, Mej. (K) Mohd. Noor Shahudin.
No comments:
Post a Comment