[VIDEO] Dia lelaki yang baik – Nora
Nora Ariffin ditenteramkan oleh anggota keluarganya semasa jenazah Allahyarham Johan Nawawi di bawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di Kuala Lumpur, semalam. Bernama
PETALING JAYA, 24 Mac – Tiada ungkapan yang dapat menggambarkan rasa hormat, kasih dan sayang penyanyi Nora Ariffin terhadap keperibadian suaminya, Johan Nawawi yang meninggal dunia awal pagi ini selain daripada menyifatkan Allahyarham sebagai lelaki terbaik.
Menurut Nora, Johan merupakan anugerah terindah daripada Allah buatnya sepanjang 25 tahun mereka hidup bersama sebagai suami isteri.
Justeru, pemergian Johan, jelas Nora, walaupun berat untuk diterima, namun dia reda dengan aturan Allah.
“Mati hidup balik pun, saya takkan jumpa lelaki sepertinya. Dia lelaki yang baik pernah saya kenali. Cuma, saya sangka saya yang akan pergi dahulu, tetapi Tuhan lebih sayangkan dia. Saya reda,” ujar Nora kepada wartawan di sini hari ini.
Johan, 52, seorang komposer dan penulis lirik tersohor meninggal dunia akibat sakit jantung pada pukul 6.20 pagi tadi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, Selangor.
Jenazah Allahyarham dibawa di Masjid Ar-Rahman, Kampung Tunku untuk disolat sebelum dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Video oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
Pemergian Johan, kata Nora, membawa seluruh kasih sayang yang mereka semai dalam rumah tangga yang turut mengurniakan empat cahaya mata iaitu Mohd. Syakir Iman, 24; Mohd. Syakir Alif, 18; Putri Nor Dahlia, 13 dan Putri Nor Fathehah, 5 tahun.
Dalam nada sebak, Nora berkongsi cerita mengenai kegembiraan suaminya yang tidak sabar-sabar untuk meraikan ulang tahun perkahwinan mereka pada 9 April ini dengan pelbagai perancangan diatur.
“Arwah begitu teruja untuk menyambut ulang tahun ke-25 perkahwinan kami. Ikutkan, kami merancang untuk memakai serba cantik (sempena ulang tahun perkahwinan). Dia nak pakai tuksedo dan saya pula gaun. Kami juga merancang ingin membuat showcase (persembahan) sempena ulang tahun itu,” kata Nora penuh hiba.
Sebagai isteri, Nora bagaimanapun, bersyukur kerana dapat berbakti pada suaminya sehingga ke akhir hayatnya memandangkan sebelum itu, Johan mengalami demam.
Video oleh MUHAMAD AZRUL MOHD. RADI
“Saya mahu bawanya ke hospital tapi dia tidak mahu. Waktu itu dia mahu berada dekat dengan saya dan apabila dia makan pun, saya yang suapkan.
“Sehinggalah dia nampak sudah semakin teruk dan saya bawa juga dia ke hospital pada pukul 11.30 malam tadi,” katanya.
Video oleh MUHAMAD AZRUL MOHD. RADI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-dia-lelaki-yang-baik-8211-nora-1.461525#ixzz4cgu2bccA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment