Isi Kandungan
Cabaran jihad Dzulkifli di SPRM
PENULIS
masih ingat ketika bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Dzulkifli Ahmad sewaktu beliau masih
menjadi Pengarah Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET).
Ketika itu beliau menyatakan kepada
penulis, apa yang beliau lakukan adalah jihad bagi memerangi
penyelewengan, salah guna kuasa dan ketirisan. Justeru apa juga
cabaran dan dugaan akan beliau tempuh dengan tabah.
Ternyata selepas diberi amanah mengetuai SPRM, semangat, komitmen dan
keazaman Dzulkifli tidak pernah berubah. Malah biarpun baru enam bulan
menerajui agensi tersebut, beliau berjaya mengubah persepsi daripada
kontroversi kepada digeruni.
Namun begitu Dzulkifli memahami perjalanan
masih panjang, impian beliau dan SPRM ialah membanteras rasuah
habis-habisan yang dianggap kini sudah berada di tahap kronik.
Sudah pastilah dalam usaha tersebut, SPRM memerlukan sokongan rakyat.
Seperti mana impian Dzulkifli, beliau mahu menjadikan SPRM sebuah agensi
yang digeruni tetapi dalam masa yang sama mesra rakyat.
Sememangnya itulah pendekatan terbaik kerana dalam keadaan apa sekali
pun rasuah perlu diperangi habis-habisan. Tindakan drastik dan kejutan
demi kejutan yang dilakukan oleh SPRM sejak kebelakangan ini melalui
penangkapan dan penahanan penjawat awam termasuklah anggota agensi
penguat kuasa dan ahli politik bagaikan memberi harapan baharu kepada
rakyat yang bencikan rasuah.
Selama ini
mereka tidak melihat tindakan sebegitu tegas dilakukan oleh SPRM.
Keadaan itulah yang sedikit-sebanyak ‘menyumbang’ kepada merebaknya
gejala rasuah sehingga disifatkan umpama ‘barah di tahap empat’.
Kalau mahu diharapkan ketua jabatan atau ketua agensi penguat kuasa
melakukan tindakan habis-habisan bagi memastikan pegawai atau anggota
mereka bebas daripada rasuah atau salah guna kuasa - ibarat mimpi di
siang hari. Apa yang kerap kali kita dengar hanyalah sekadar ingatan dan
amaran, sedangkan tindakan entah ke mana.
Oleh itu ketegasan SPRM amat diperlukan bagi memastikan perbuatan
menjamah wang haram dan hidup mewah melalui salah guna kuasa dapat
dihapuskan sama sekali.
Jika mengkaji satu
demi satu tangkapan yang dilakukan oleh SPRM sejak kebelakangan ini,
kita akan berasa gerun melihat bagaimana rasuah bagaikan virus yang kini
meresapi hampir semua jabatan, kementerian dan agensi.
Daripada kawalan sempadan negara hinggalah ke pejabat agama, semuanya
tidak terlepas daripada terkena virus rasuah. Semuanya berpunca akibat
sikap tamak dan tidak pernah bersyukur dengan apa yang Allah berikan
serta melihat kuasa dan kedudukan adalah peluang untuk mengumpulkan
kekayaan peribadi.
Mereka terlupa balasan
Allah di akhirat, mereka menjamah wang haram sebanyak mungkin dan berasa
bahagia kerana dapat menikmati segala kesenangan melalui satu sumber
pendapatan yang cukup menjijikkan.
Jika
sikap seumpama ini berterusan, sudah tentu akan menjadi ancaman kepada
masa depan negara. Kalau sempadan boleh dibolosi kerana rasuah, jika
semua kes jenayah seperti judi haram boleh dibiarkan bermaharajalela
kerana ada anggota agensi penguat kuasa sudah ‘makan suap’ manakala
urusan lain hanya lancar selepas ‘duit kopi’ diberikan, apa akan berlaku
kepada rakyat dan negara?
Justeru kepada
SPRM, teruskanlah jihad di bawah kepemimpinan Dzulkifli. Jangan
pedulikan apa juga tafsiran dan persepsi yang wujud apabila tindakan
pembanterasan dilakukan kerana pengamal rasuah harus dihapuskan dalam
apa keadaan sekali pun. Percayalah, rakyat akan bersama SPRM!
No comments:
Post a Comment