Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang me­ngutuk keras tindakan nega­ra itu menyatakan Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang langkah perlu bagi memastikan keselamatan nyawa rakyatnya.
Beliau berkata, Majlis Kese­lamatan Negara juga telah diarah­kan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan langkah sewajarnya dalam menghadapi isu tersebut.
“Mereka tidak boleh mengambil tindakan sewenang-wenang dan sesuka hati yang bertentangan prinsip undang-undang antarabangsa dengan menjadikan rakyat Malaysia sebagai orang tebusan, ia tidak boleh diterima sama sekali oleh Malaysia dan juga dunia,” katanya.
Najib berkata demikian kepada pemberita Malaysia di sini sebagai mengulas tindakan Korea Utara menahan rakyat Malaysia berhubung isu siasatan kes kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertingginya yang dipercayai dibunuh.
Najib yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ber­ada di Jakarta bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Negara-negara Pesisir Lautan Hindi (IORA) yang berakhir hari ini.
“Saya juga telah mengarahkan Ketua Polis Negara supaya menghalang semua rakyat negara itu di Malaysia daripada keluar negara sehingga semua rakyat kita di Korea Utara diberikan jaminan keselamatan,” katanya.
Menyifatkan hubungan ke­dua-dua buah negara kini di peringkat paling tegang, Najib berkata, tindakan provokasi Korea Utara itu semakin memburukkan lagi keadaan.
Ditanya kemungkinan Malaysia bakal memutuskan hubu­ngan diplomatik, Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak tahu apa yang berada dalam kerangka fikiran pemimpin negara itu tetapi yang lebih penting ialah mereka mesti menghormati peraturan dan undang-undang.
Najib berkata, walaupun Malaysia tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan Korea Utara tetapi amalan negara ini ialah sentiasa mempunyai hubungan yang baik dengan semua negara.
“Saya menyeru kepemimpinan Korea Utara segera membenarkan rakyat Malaysia me­ninggalkan negara tersebut bagi mengelakkan perkara menjadi lebih buruk,” katanya.
Katanya, apa yang dilakukan oleh Malaysia hanya menjalankan tanggungjawab untuk menyiasat satu kes jenayah yang berlaku dalam negara membabitkan rakyat negara mereka.
“Kita tidak mengambil sebarang tindakan negatif terhadap Korea Utara, isu atau perkara yang kita sedang hadapi sekarang timbul kerana perbuatan membunuh rakyat mereka di Malaysia, tambah lagi menggunakan senjata kimia yang dila­rang penggunaannya,” katanya. – UTUSAN