"Perhatian sebegini daripada masyarakat antarabangsa, hasil daripada ketegasan Perdana Menteri, telah memberi tekanan kepada kerajaan dan pihak tentera di Myanmar untuk mengambil pendekatan yang lebih serius.
"Ini terutama dalam beberapa aspek bagi menjamin kebajikan etnik Rohingya di Myanmar, iaitu aspek keselamatan, kemanusiaan dan kerakyatan etnik Rohingya serta pemulihan ekonomi bagi mereka," kata beliau.


MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat perkembangan terbaru di Myanmar melibatkan kekejaman terhadap etnik Rohingya. Apakah dengan tindakan Malaysia yang bertegas dalam isu ini memberi impak yang diharapkan.

REEZAL MERICAN: Secara umumnya, saya berpandangan bahawa ketegasan Perdana Menteri dalam isu ini telah dapat menarik kembali perhatian masyarakat antarabangsa terhadap usaha pembelaan hak asasi manusia masyarakat Rohingya di Rakhine.
Perhatian sebegini daripada masyarakat antarabangsa, hasil daripada ketegasan Perdana Menteri, telah memberi tekanan kepada kerajaan dan pihak tentera di Myanmar untuk mengambil pendekatan yang lebih serius. Ini terutama dalam beberapa aspek bagi menjamin kebajikan etnik Rohingya di Myanmar, iaitu aspek keselamatan, kemanusiaan dan kerakyatan etnik Rohingya serta pemulihan ekonomi bagi mereka.
Meskipun Myanmar pada awalnya bersikap defensif dengan pendekatan Malaysia dalam isu ini, kita dapat perhatikan akhir-akhir ini bahawa ketegasan Malaysia serta masyarakat antarabangsa untuk terus memberi perhatian dan tekanan terhadap Myanmar telah berjaya menghasilkan beberapa kejayaan.
Maksudnya hasil ketegasan Malaysia ini telah berjaya mempengaruhi kerajaan Myanmar untuk bersikap lebih toleran kepada etnik Rohingya?
REEZAL MERICAN: Myanmar mula bersikap lebih terbuka dan mula bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam memulihkan keadaan di Rakhine, khususnya semenjak konflik berdarah di Maungdaw dan Buthidaung di utara Rakhine pada 9 Oktober 2016. Sebagai contoh, saranan Menteri Luar kepada Myanmar untuk membincangkan isu penindasan terhadap Rohingya pada awalnya ditolak mentah-mentah oleh pihak Myanmar. Namun begitu, Myanmar akhirnya akur dengan ketegasan Malaysia apabila bersetuju untuk menganjurkan Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 19 Disember 2016 di Yangon bagi memberi ruang kepada rakan-rakan ASEAN yang lain untuk membincangkan isu ini.
Ini merupakan saat yang bersejarah kerana sebelum ini, Myanmar tidak pernah mahu membincangkan mengenai situasi di Rakhine di mana-mana pentas serantau mahupun antarabangsa.
Komitmen berterusan Perdana Menteri dalam usaha untuk membela nasib etnik Rohingya di Myanmar jelas dapat dilihat apabila Malaysia menganjurkan Sesi Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar OIC baru-baru ini di Kuala Lumpur.
Penganjuran sesi tergempar tersebut telah berjaya menarik perhatian masyarakat antarabangsa untuk terus fokus terhadap isu etnik Rohingya di Myanmar.
Walaupun terdapat masalah pada peringkat awal dalam misi flotila ini namun akhirnya kapal ini tiba dan disambut baik oleh kerajaan Myanmar. Namun apa pula selepas ini terutama dalam memastikan kekejaman terhadap Rohingya tidak berulang?
 
REEZAL MERICAN: Sebagai rakan ASEAN yang rapat kepada Myanmar, keterbukaan Myanmar dalam perkara ini perlu dilihat sebagai permulaan yang positif dalam menyokong usaha Malaysia untuk membela nasib etnik Rohingya di Myanmar dan seterusnya menjamin keselamatan di rantau ini.
Ketegasan dan komitmen Menteri Luar Malaysia telah memainkan peranan yang amat penting sehingga berjaya membuatkan Myanmar menjadi lebih terbuka terutamanya dalam membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan. Perdana Menteri serta Menteri Luar amat prihatin terhadap misi flotila yang dikelolakan bersama oleh Kelab Putera 1 Malaysia dan MAPIM. Misi flotila ini yang diketuai oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim telah berjaya mengumpul sebanyak 2,200 tan bantuan kemanusiaan yang dihulurkan kepada Kerajaan Myanmar dan Bangladesh bagi membantu nasib etnik Rohingya di kedua-dua negara tersebut.
Sehubungan ini, Menteri Luar telah meminta saya untuk hadir di majlis penyerahan bantuan kemanusiaan kepada Kerajaan Myanmar yeng telah diadakan di Yangon, Myanmar pada 9 Februari lepas untuk memastikan penyerahan bantuan kemanusiaan tersebut berjalan dengan lancar. Majlis penyerahan tersebut dihadiri oleh Dr. Win Myat Aye, Menteri Kebajikan, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar selaku wakil Kerajaan Myanmar serta TYT Mohd Haniff Abd Rahman, Duta Besar Malaysia kepada Myanmar serta 30 orang sukarelawan dari misi flotila tersebut.
Dalam hal ini, keterbukaan serta kerjasama daripada Kerajaan Myanmar dalam menyambut ketibaan Food Flotilla for Myanmar pada 9 November 2017 harus dipuji. Kerajaan Myanmar telah berbesar hati untuk menyediakan segala kemudahan bagi pemunggahan bantuan kemanusiaan dari misi flotila serta akan menguruskan secara percuma penghantaran bantuan kemanusiaan tersebut ke Wilayah Rakhine.
Pemilihan Dr. Win Myat Aye, Menteri bertaraf Kabinet Myanmar sebagai wakil Myanmar menunjukkan keikhlasan serta keseriusan Kerajaan Myanmar dalam menerima bantuan kemanusiaan dari Malaysia. Dalam usaha Malaysia untuk terus membantu Myanmar menangani situasi di wilayah Rakhine, Malaysia telah mencadangkan pelbagai bentuk bantuan yang boleh disalurkan oleh Malaysia kepada Myanmar.
Ini termasuklah cadangan agar Myanmar memberi ruang kepada masyarakat antarabangsa untuk menyalurkan sumbangan kemanusiaan tanpa sekatan kepada etnik Rohingya di Rakhine.
Selain cadangan berbentuk sumbangan kemanusiaan seperti misi flotila ini, Malaysia juga telah mengusulkan beberapa bentuk bantuan yang lebih efektif bagi menjamin kelangsungan usaha pembelaan nasib etnik Rohingya serta memberi impak jangka masa panjang. Meskipun cadangan-cadangan ini masih dalam pertimbangan oleh Kerajaan Myanmar, Malaysia akan meneruskan usaha-usaha proaktif secara konstruktif dan pendekatan secara diplomasi dengan Kerajaan Myanmar dalam menangani situasi etnik Rohingya di Wilayah Rakhine.
Bagaimana pengagihan sumbangan ini dapat dilakukan dengan berkesan. Ditakuti akan berlaku ketirisan dan sumbangan tidak sampai kepada mereka yang sepatutnya.
REEZAL MERICAN: Saya kira, penerimaan Myanmar serta kerjasama baik mereka dalam menjayakan misi flotila Malaysia tidak seharusnya dilihat secara skeptikal. Kehadiran saya semasa upacara penyerahan sumbangan rakyat Malaysia melalui misi flotila juga telah disambut baik oleh Menteri Kebajikan, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar Dr. Win Myat Aye pada 9 Februari 2017 yang lalu. Beliau telah turut bersama-sama saya untuk menyambut ketibaan Kapal Nautical Aliya dan sukarelawan misi flotila semasa kapal tersebut berlabuh di Pelabuhan Thilawa, Yangon selepas acara penyerahan.
Secara lisan juga, kita telah mengusulkan agar Malaysia melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dibenarkan untuk memantau dengan lebih dekat akan kerja-kerja pengagihan sumbangan yang disalurkan oleh rakyat Malaysia melalui misi flotila berkenaan di Rakhine dan pihak Myanmar secara prinsipnya tiada halangan dengan hasrat ini.
Apakah ketegasan Malaysia terhadap Myanmar ini akan memberi kesan buruk terhadap negara. Mungkin selepas ini pihak seperti PBB atau OIC akan lebih tegas dan bertindak dengan berkesan contohnya melalui sekatan ekonomi dan sebagainya?
REEZAL MERICAN: Tindakan Malaysia bukanlah ingin mencampuri urusan dalaman Myanmar. Memandangkan isu Rohingya boleh menjejaskan keselamatan dan kestabilan serantau, Malaysia perlu membangkitkan kebimbangan dan keprihatinan terhadap isu tersebut.
Rata-rata negara anggota OIC yang hadir di Sesi Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar OIC baru-baru ini telah menyatakan kebimbangan mereka terhadap pencabulan hak asasi manusia terhadap minoriti Islam Rohingya oleh Kerajaan Myanmar. Mereka juga percaya bahawa Kerajaan Myanmar di bawah pimpinan Aung San Suu Kyi perlu diberi masa dan ruang untuk memperbaiki situasi dan menangani masalah ini. Mereka bersetuju bahawa penglibatan berterusan dan konstruktif oleh OIC dan negara-negara anggotanya dengan Kerajaan Myanmar adalah perlu, bagi mengikuti perkembangan dan memastikan syor-syor yang diusulkan dalam Sesi Tergempar tersebut dilaksanakan terlebih dahulu. Salah satu syor adalah meminta kerjasama Kerajaan Myanmar membenarkan bantuan kemanusiaan daripada negara-negara OIC kepada masyarakat Rohingya yang terjejas.
Dalam hal ini, Kerajaan Myanmar telah memberi kerjasama yang baik dengan membenarkan beberapa negara antaranya Malaysia dan Indonesia untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Rakhine.

Mungkin akan ada tindakan diambil terhadap Myanmar jika mereka terus berdegil bertindak semberono terhadap etnik Rohingya terutama yang melibatkan ASEAN.
REEZAL MERICAN: Sebagaimana umum sedia maklum, apa-apa tindakan yang diambil oleh ASEAN adalah berdasarkan keputusan sebulat suara (consensus). Semasa Sesi Pemukiman (Retreat) Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN di Yangon pada 19 Disember 2016 yang lalu, Malaysia lantang menyuarakan pendirian yang tegas dan kebimbangan kerajaan mengenai apa yang telah dan sedang berlaku di Wilayah Rakhine terutamanya ke atas penduduk etnik Rohingya.
Saya percaya ASEAN akan terus memerhati situasi di Myanmar dan sedia membantu Myanmar. ASEAN juga berharap Kerajaan Myanmar akan berusaha menangani situasi tersebut secara adil dan saksama dengan berlandaskan kepada prinsip-prinsip antarabangsa mengenai perlindungan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Piagam ASEAN dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN.
Myanmar dijangka akan menyampaikan taklimat dan perkembangan terkini mengenai isu ini, semasa Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN yang akan berlangsung di Boracay, Filipina pada 21 Februari 2017.