Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menerima satu lagi tamparan hebat apabila Pas secara muktamad menolak pelawaan untuk bekerjasama dengan parti itu.
Pendirian itu ditegaskan oleh Presiden Pas, Hadi Awang kelmarin, yang mempunyai kesan besar kepada strategi pakatan pembangkang.
Prinsipnya tetap sama. Pas tidak akan bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan PAN.
Maka kata dua pengasas Parti Pribumi, Dr. Mahathir Mohamad kepada Pas supaya membuat keputusan dalam tempoh sebulan kepada pelawaan kerjasama itu, sudah terjawab.
Awang tabik Hadi kerana konsisten menolak DAP dan tidak gentar dengan segala tekanan.
Kini Mahathir boleh menumpukan perhatian penuh kepada sekutu utama Parti Pribumi iaitu DAP dan PAN. Beliau mengakui sebelum ini tidak akan mengetepikan DAP semata-mata untuk berbaik dengan Pas. Awang boleh faham, mudah sahaja. DAP lebih dominan termasuk dari segi bilangan kerusi di Dewan Rakyat.
Mahathir perlu tunduk mengikut rentak Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sebenarnya merupakan pemimpin de facto pembangkang seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak.
Keputusan besar dan penting ditentukan oleh Kit Siang. Sudah ada sindiran bahawa Mahathir yang mengetuai parti serpihan terkecil tidak ubah seperti jurucakap tetapi bos sebenar pembangkang adalah Kit Siang.
SKANDAL BNM
Selepas menerima desakan pelbagai pihak yang mahukan kerajaan menyiasat skandal urus niaga mata wang Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar tahun 1990-an, akhirnya kerajaan bertindak.
Kabinet mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi menjalankan siasatan awal. Ia membuktikan kerajaan responsif kepada usaha mencari kebenaran yang sebelum ini dinafikan atas motif tertentu. Awang teruja untuk mengetahui apa kesudahannya nanti terutama siapakah yang bertanggungjawab ke atas kerugian luar biasa sebanyak puluhan bilion ringgit sehingga BNM dikatakan muflis pada ketika itu.
Skandal tersebut berlaku ketika era Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Berdasarkan pendedahan bekas Penolong Gabenor BNM, Abdul Murad Khalid baru-baru ini, tiada siasatan dilakukan terhadap kerugian tersebut dan menggesa siasatan dibuka semula.
Atas nama integriti, Murad telah membuka jalan.
KIM JONG-NAM
Pembunuhan pemimpin buangan Korea Utara, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) baru- baru ini menggemparkan negara.
Siapa menduga tiba-tiba KLIA2 dan Malaysia amnya dijadikan sasaran bagi menjayakan misi aktiviti perisikan yang mempunyai rangkaian antarabangsa. Ia tidak ubah seperti membaca buku-buku kisah perisikan karya Frederick Forsyth.
Awang sangat berharap misteri serangan jenayah konspirasi itu dapat dibongkar oleh pihak berkuasa. Tahniah kepada polis yang telah bertindak cepat. Setakat ini lima suspek ditahan termasuk wanita dan beberapa lagi dipercayai ejen asing sedang diburu.
Awang tertanya-tanya apakah pihak berkuasa kita gagal menghidu atau menjangkakan komplot tersebut akan disempurnakan misinya di negara ini. Cabarannya apa lagi yang kita tidak tahu? Semoga pihak berkuasa Malaysia mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi di KLIA2.
Apa pun, pembunuhan Jong-nam yang diracun di KLIA2, menuntut kewaspadaan yang tinggi sepanjang masa. Demi keselamatan dan kedaulatan, biarlah kita di hadapan.
IKTIBAR TRAGEDI
Awang merakamkan takziah kepada semua keluarga mangsa tragedi sekumpulan penunggang basikal dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, awal pagi semalam.
Semoga keluarga kepada lapan remaja yang maut, diberi ketabahan menghadapi saat- saat sukar kehilangan insan tersayang. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Tragedi tersebut mengejutkan kita bagaimana dengan sekelip mata, lapan nyawa melayang dan beberapa lagi cedera parah.
Awang tidak mahu menuding jari kepada sesiapa, nahas telah pun berlaku. Ia bukan sekadar untuk kita ratapi tetapi lebih daripada itu mengambil iktibar. Awang berdoa agar kejadian yang sama tidak menimpa kumpulan remaja lain.
Ini memandangkan aktiviti berbasikal berkumpulan seumpama itu yang kerap dilakukan lewat malam dan awal pagi (tanpa pengawasan ibu bapa) adalah pemandangan biasa di banyak tempat di seluruh negara.
Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengenakan larangan bagi aktivititi berbasikal beramai-ramai di jalan awam. Mesejnya usah diundang tragedi, cegah sebelum berulang.
TMJ VS ANNUAR
Dakwaan Tunku Mahkota Johor ( TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyokong Annuar Musa dalam pertandingan merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menarik perhatian. Ketika ruangan ini ditulis, belum ada reaksi daripada Khairy, yang tentu kurang senang namanya terheret.
Dakwaan itu menjadikan bahang pemilihan makin panas menjelang Kongres FAM pada Mac ini. TMJ selaku pemilik JDT dan Annuar sebagai Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan akan bertembung satu lawan satu selepas Khairy mengesahkan tidak bertanding. TMJ tidak diberi laluan mudah iaitu untuk menang tanpa bertanding oleh Annuar.
Awang jangkakan lebih banyak drama, provokasi dan serang balas antara calon sepanjang tempoh berkempen yang telah pun bermula.
Atas kertas, TMJ mempunyai peluang lebih cerah untuk menang bagi menerajui FAM. Pencalonan ke atas TMJ jauh lebih tinggi namun potensi Annuar membuat kejutan tidak boleh diambil mudah. Tiada yang mustahil.
SARING DATUK ?
Apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan kesediaan menimbang keperluan untuk meneliti profil penerima Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri, Awang sedikit lega. Adalah diharapkan selain saringan polis, SPRM dapat melaksanakan semakan ke atas bakal penerima darjah bagi membantu institusi raja di negara ini.
Sudah menjadi persepsi awam bahawa pemberian gelaran Datuk dan Datuk Seri begitu mudah sehinggakan segelintir yang menghadapi isu integriti, akhlak dan mempunyai kaitan dengan kongsi gelap turut menerimanya. Itu belum menyentuh isu penerima yang terlalu muda iaitu lewat 20-an dan di awal usia 30-an serta tiada merit seperti kecemerlangan dan jasa.
Demi menjaga kemuliaan institusi diraja dan nilai darjah kebesaran supaya disanjung oleh masyarakat, bukannya dipersenda maka pembetulan mesti dilakukan. Inilah masanya.
KOMERSIAL DOA
Wajarkah perkhidmatan mengirimkan doa di tanah suci Mekah dan Madinah dengan pakej bayaran tertentu dibenarkan?
Isu ini hangat diperkatakan dalam laman sosial dan sangat mengganggu fikiran Awang. Mengirimkan doa yang merupakan amalan ikhlas tanpa bayaran kini dikomersialkan.
Perkhidmatan yang dinamakan Valet_Doa itu mengenakan caj antara RM250 dan RM5,000 kononnya mengikut tahap kemakbulan lokasi doa itu selain kos pengangkutan.
Walaupun Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengarahkan agar Valet_Doa dibatalkan, syarikat berkenaan tetap memulakan perkhidmatan itu, baru-baru ini.
Ketetapan oleh para mufti seharusnya menjawab persoalan yang Awang lontarkan di atas - sememangnya ia tidak wajar.
Maka apa sahaja hujah bagi memberi kewajaran kepada perbuatan yang mencemarkan kesucian Islam, perlu ditolak tanpa kompromi. Membenarkan perbuatan mengkomersialkan kiriman doa akan membawa implikasi besar termasuk dalam merobek nilai-nilai murni yang menjadi kekuatan Islam.
Sebenarnya terlalu banyak bisnes lagi yang boleh diceburi oleh orang Islam selain kiriman doa. Kenapa perlu kreatif cara yang songsang?