Lawatan baginda yang diiringi oleh 1,200 delegasi menjadikan Raja Salman merupakan Raja Arab Saudi ketiga berbuat demikian. Sebelum ini Malaysia pernah menerima lawatan negara oleh Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al-Saud pada 2006 dan Almarhum Raja Faisal bin Abdulaziz Al-Saud pada 1970.
Saya berasa sangat bertuah dan berterima kasih kerana diberi kepercayaan dilantik sebagai menteri pengiring sepanjang lawatan tersebut.
Ia bukan sahaja merupakan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan, malah satu pendedahan baharu kepada saya secara peribadi, terutamanya apabila lawatan ini merekodkan pelbagai kejayaan besar kepada kedua-dua negara dan juga dunia Islam. Sejujurnya, ingin saya nyatakan, sebelum bermulanya lawatan bersejarah tersebut, hati dan fikiran saya diselubungi dengan pelbagai kebimbangan. Khuatir jika lawatan ini tidak berjalan dengan baik dan lancar.
Kebimbangan itu ada asasnya kerana jika itu berlaku, ia bukan sahaja akan mencalarkan maruah negara, malah saya sendiri akan berasa kesal dan bersalah. Sepanjang masa saya berdoa kepada Allah SWT supaya diberi kekuatan, petunjuk dan hidayah serta dipermudahkan segala urusan agar lawatan tersebut berjaya. Debaran saya semakin kencang apabila pesawat khas yang membawa Raja Salman dan delegasi baginda 'menyentuh’ bumi Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Namun saya merasakan kelegaan luar biasa apabila Raja Salman yang memakai jubah berwarna krim dan kaca mata hitam keluar dari perut pesawat dengan senyuman terukir melambaikan tangan penuh mesra kepada rombongan Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Melihat Perdana Menteri menyambut baginda dengan pelukan sejurus Raja Salman turun dari pesawat memberi isyarat yang jelas betapa hebatnya rasa kepercayaan, keakraban dan saling menghormati melalui pendekatan wasatiyah antara kepemimpinan tertinggi kedua-dua negara.
Sementara saya melihat detik bersejarah itu dengan penuh kelegaan memandangkan segala siri perjumpaan dan rundingan beberapa bulan berhubung lawatan itu akhirnya menjadi kenyataan, saya juga terus berdoa agar segala-galanya membuahkan kebaikan kepada semua.
Acara sambutan negara di Dataran Parlimen, saya anggap detik-detik istimewa sebagai menteri pengiring apabila berpeluang melihat keakraban Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V dan Raja Salman. Muncul perasaan bangga yang sukar digambarkan apabila melihat Raja Salman berdiri di sebelah Sultan Muhammad V ketika lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Melihat Jalur Gemilang dinaikkan bagi mengiringi lagu Negaraku, saya tersenyum puas kerana ia menjadi lambang bagaimana dua buah kerajaan bersatu dan bersaudara atas sebab-sebab yang benar. Penghormatan tertinggi negara turut disampaikan kepada Raja Salman melalui penganugerahan Darjah Utama Seri Mahkota Diraja (DMN) oleh Sultan Muhammad V.
Selaku Menteri Pertahanan, saya juga amat tersentuh dan berbangga apabila berpeluang melihat Raja Salman memeriksa kawalan kehormat 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Selain itu sepanjang mengiringi baginda, saya dapat melihat sendiri tahap profesionalisme pasukan keselamatan negara dan Pengawal Diraja Arab Saudi (Royal Guard) yang bekerjasama rapat bagi memastikan keselamatan Raja Salman dan delegasi baginda berada pada tahap terbaik.
Pengiktirafan
Saya ingin mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kesemua anggota keselamatan yang terlibat. Mereka bukan sahaja telah menjalankan tugas dengan baik. Malah, saya percaya, secara tidak langsung telah mengharumkan nama baik negara.
Apapun sepanjang lawatan tersebut, pelbagai pengalaman menarik saya tempuhi. Ia membuka mata dan memberikan keyakinan kepada saya betapa apa yang kita lakukan dalam menguruskan negara ini berada di landasan yang betul.
Ketika berpeluang beberapa kali menaiki kereta rasmi bersama-sama baginda, saya dapat merasakan betapa Raja Salman tidak berhenti-henti berkongsi rasa bangga, kagum dan terharu. Bukan sahaja kerana Malaysia memberi layanan yang cukup istimewa dan dianggap penghormatan tertinggi kepada baginda, tetapi juga kejayaan negara ini dalam mengekalkan keharmonian walaupun mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama dan asal usul.
Hati saya tersentuh dengan 'pengiktirafan’ yang baginda berikan, apatah lagi Raja Arab Saudi itu percaya kejayaan Malaysia bukan datang bergolek. Sebaliknya ia hasil usaha dan sikap istiqamah kita yang berpaksikan toleransi dalam beragama dengan Islam kekal sebagai agama rasmi persekutuan.
Raja Salman menyatakan, baginda yakin suasana sebegini mesti dipertahankan kerana ia bukan sahaja unik, tetapi merupakan aset terpenting negara dalam memacu kemajuan yang boleh menjadi teladan kepada negara-negara lain.
Apa yang menyentuh perasaan dan masih terpahat kukuh dalam benak fikiran saya serta mewujudkan keinsafan ialah apabila baginda berkongsi pengamatan betapa di Malaysia bahawa orang Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan. Dan baginda menyamakan keadaan ini dengan situasi di negara baginda, iaitu orang Arab dan Islam amat sinonim dan tidak boleh dipisahkan.
Atas persamaan inilah, baginda menyatakan komitmen sepenuhnya kepada saya untuk terus bekerjasama dengan Malaysia dalam usaha memelihara kesucian agama Islam. Selain itu baginda meluahkan harapan kepada saya agar kita di Malaysia melakukan yang terbaik dalam segala urusan. Pada pandangan baginda, ia bagi membolehkan apa yang dilakukan menjadi petunjuk kepada penganut agama lain, betapa Islam adalah agama yang syumul, aman dan sejahtera kepada seluruh umat manusia.
Sudah tentulah sebagai menteri pengiring, saya mempunyai beberapa pandangan peribadi terhadap lawatan Raja Salman. Pertama, apabila baginda berkenan memilih Malaysia sebagai negara pertama untuk dilawati dalam rangka lawatan ke rantau ini.
Pada saya, ia bukan sahaja satu penghormatan besar kepada negara, malah membawa mesej penting betapa negara dari Asia Barat memberi harapan dan kepercayaan tinggi kepada Malaysia dalam usaha mengekalkan kesatuan ummah dalam kalangan negara Islam.
Kedua, adalah tidak keterlaluan untuk saya simpulkan bahawa hubungan diplomatik antara Kerajaan Arab Saudi dan negara kita berada pada tahap yang amat baik dan membanggakan.
Saya sandarkan perkara ini kepada beberapa sebab. Pertama, pemeteraian pelbagai memorandum persefahaman serta penzahiran komitmen dalam pelaburan yang berskala besar. Misalnya, pelaburan daripada syarikat Saudi Aramco yang mencecah RM30 bilion dalam projek RAPID Petronas di Pengerang, Johor. Kedua, pemantapan kolaborasi pertahanan dan keselamatan yang menyaksikan kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama.
Ketiga, saya berpandangan bahawa lawatan kali ini mencapai matlamatnya kerana berjaya mewujudkan beberapa kesepakatan penting antara kedua-dua negara, ia termasuklah kesediaan Arab Saudi mempertimbangkan secara serius permohonan Malaysia untuk menambah kuota jemaah haji bagi tahun 2017.
Sebagai membalas segala layanan baik dan rasa hormat kepada Raja Salman, baginda dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya (UM) yang disampaikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia UIAM) pula menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Sains Politik (Islam dan Wasatiyah) kepada baginda.
Ketika di UIAM, sekali lagi perasaan saya tersentuh apabila melihat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah memimpin tangan Raja Salman sewaktu bersama-sama naik ke pentas. Pada saya secara peribadi, sikap Sultan Ahmad Shah itu merupakan simbol keakraban antara institusi raja-raja Melayu dan institusi Diraja Arab Saudi.
Secara keseluruhannya, lawatan ini amat berjaya dan bermakna kepada kedua-dua negara. Semoga angin padang pasir dan bayu nusantara akan menghembus bagi mewujudkan kesegaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara ini. Marilah kita semua mendoakan agar ia membuka lembaran yang memeta permulaan era baharu kepada hubungan Malaysia-Arab Saudi.