Tidak mewahkan anak-anak
TIDAK melihat kekayaan itu hanya hadir melalui wang ringgit bagi pelakon Ozlynn Waty, dia yakin apa yang pernah dilaluinya dahulu membuatkan dia lebih memahami erti keperluan.
Jelasnya, memang benar suatu ketika dahulu dia dan suami Johan Hanania pernah menjalani kehidupan yang agak susah. Berkat kelebihan suami, ternyata ada rezeki berbeza buat mereka.
Bagaimanapun itu bukan bermakna ada tiket untuk anak-anak mereka melalui kehidupan yang mewah.
Mempunyai idea tersendiri dalam memastikan keempat-empat anak mereka tidak hanyut dengan kesenangan yang dinikmati, Ozlynn memberitahu, setiap kesenangan yang mereka kecapi kini tidak akan dilemparkan sewenang-wenangnya kepada zuriat yang dikasihi kerana mereka mahu menanam sifat rendah diri pada setiap anak-anak yang mereka besarkan.
“Anak-anak kami hanya mewah melalui makanan tetapi tidak harta benda. Sebab memang itu yang suami saya mahukan. Bagi suami saya, anak-anak kami perlu tahu nilai wang yang sebenar.
“Dan bukan mudah sebenarnya untuk mencari wang. Jadi kami tanamkan dalam diri setiap anak-anak kami supaya jangan membazir dan sentiasa bersyukur dengan yang mereka ada,” katanya kepada Mega HITS.
Tambah Ozlynn, ketika ini walaupun dia dan suami sibuk dengan kerjaya masing-masing namun empat anaknya kekal menjadi fokus utama.
Jelasnya, antara syarat yang dikenakan kepada anak-anak mereka adalah tidak boleh mempunyai telefon bimbit.
“Pernah anak sulung kami meminta telefon bimbit. Namun suami saya menolak permintaan itu dengan alasan ketika dia seusia anak sulung kami, kehidupannya jauh lebih susah dan dia minta anaknya mendalami keadaan itu.
“Jadi menjadi anak kepada Ozlynn dan Johan bukan bermakna mudah untuk mereka lari daripada memahami susahnya untuk mencari duit. Prinsip suami saya mudah, sediakan keperluan masa depan mereka dahulu. Contohnya, rumah dan simpanan untuk setiap seorang daripada
mereka.
“Selain itu, dari segi pakaian atau barangan mainan kami tidak mewahkan mereka. Ketika membeli belah pakaian anak-anak suami berpesan, jangan beli yang mahal sebab mereka cepat membesar jadi tidak berbaloi,” ceritanya.
Masih menyimpan impian untuk mengandung lagi, katanya, walaupun sudah mempunyai empat orang anak namun rezeki Allah itu sentiasa dinanti-nantikan dirinya dan suami.
“Kami memang mahu anak ramai, saya tidak ada masalah untuk mengandung lagi.
“Bagi saya lebih besar keluarga lebih baik. Melihat anak-anak membesar di depan mata adalah kepuasan yang sukar kami gambarkan,” jelasnya.
Suamiku romantik
Kehadiran lawak-lawak yang diutarakan Johan pada persembahannya memang berniat untuk menggembirakan semua pihak. Tetapi sisi sebenar lelaki ini hanya Ozlynn sahaja yang
tahu.
Malah ketika di rumah Johan sebenarnya jarang bersikap kelakar memandangkan dia sangat tegas dengan anak-anak.
“Dengan saya karakternya berbeza, boleh dikatakan saya yang perlu menghiburkan dia. Senang cerita sayalah badut untuk dia. Kadangkala kalau di luar, dia juga tidaklah melawak sepanjang masa, adakalanya dia serius.
“Sebab itu apabila ada yang harap dia sentiasa membuat lawak itu tidak benar. Kalau ada yang tanya, memang saya beritahu itulah perangai sebenar suami saya,” katanya.
Dengan anak-anak yang semakin membesar memerlukan dia memberi fokus yang lebih buat zuriatnya dan Johan. Malah ada ketikanya waktu dia dengan suami juga agak terhad memandangkan mereka kini sibuk bekerja.
Bercerita bagaimana suaminya itu memilih untuk meluangkan masa, Ozlynn tidak menolak cara Johan menunjukkan kasih sayang ada bezanya.
“Kami akan gunakan masa yang ada untuk bersama-sama keluarga. Maknanya setiap minit itu berharga buat saya dan suami untuk luangkan dengan anak-anak. Macam suami saya, dia suka main permainan video jadi itu adalah masa terbaik dia berkongsi waktu dengan anak-anak.
“Untuk bersama-sama saya, dia akan buat rancangan percutian sendiri. Maknanya tanpa kehadiran anak-anak. Bagi suami ini adalah cara untuk dia menghabiskan masa dengan saya. Kadangkala kami akan buat rancangan ke luar negara beberapa hari. Tidak boleh lama nanti rindu anak-anak,” katanya.
Kesan laman sosial
SEPERTI artis-artis lain, pasangan romantik ini juga berdepan masalah ketidak-puasan hati sesetengah pihak dengan perkongsian kehidupan mereka di laman sosial.
Bagi Ozlynn yang menguruskan laman sosial keluarganya, ada waktu dia juga menerima tekanan yang sama.
Berkongsi rasa, Ozlynn tidak menolak ada waktunya dia perlu bertindak.
“Memang selalunya saya tidak peduli dengan komen-komen yang menyakitkan hati. Tetapi adakalanya saya perlu ambil tindakan kerana ruangan komen saya di laman sosial bukan tempat untuk mereka bergaduh.
“Apabila bercakap soal ini suami saya selalunya meminta saya menyekat sahaja komen.
“Katanya lebih baik kita selamatkan orang begini daripada terus melakukan perkara tidak baik. Pada masa yang sama kita juga tidak sakit hati,” jelas Ozlynn.
Menjadi antara penyampai radio paling popular di Malaysia menyebabkan keluarga Johan turut menjadi perhatian.
Malah Ozlynn tidak menolak bahawa ada sesetengah pihak cuba mengambil kesempatan.
“Bukanlah bermakna kami sebagai artis perlu berkongsi semua perkara, ada yang saya rasa boleh kongsi, saya kongsikan.
“Tetapi saya kena minta izin Johan dahulu sebab dia juga tidaklah benarkan saya terlalu terbuka berkongsi gambar anak-anak sebenarnya.
“Antara kejadian yang paling menakutkan apabila ada pihak datang ke rumah kononnya kami yang meminta barang dihantar untuk mengiklankan barangan mereka walhal kami tidak pernah mendedahkan alamat rumah kami,” katanya.
Kembali berlakon
Selepas beberapa lama menghilangkan diri daripada dunia lakonan, kini Ozlynn kembali memeriahkan beberapa drama tempatan. Mungkin ada yang berpendapat dia tidak seharusnya bekerja lagi memandangkan Johan cukup mampu untuk menanggung dirinya.
Bagaimanapun bukan itu yang difikirkan Ozlynn ketika ini.
“Alhamdulillah dengan rezeki kami sekeluarga, bagaimanapun dalam soal lakonan saya tidak pernah menyatakan hasrat hati untuk berhenti. Sebenarnya apabila saya senyap seketika daripada dunia lakonan adalah kerana anak-anak saya.
“Apabila saya mula semula, memang terkejut dengan tawaran demi tawaran yang hadir. Selagi suami tidak halang, ini peluang untuk saya juga,” katanya.
Selesa menyediakan juadah untuk keluarganya, kata Ozlynn, sehingga saat ini dia masih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suri rumah seperti biasa. Malah pada masa yang sama menjadi pembantu buat suaminya juga.
“Suami tahu saya sibuk di rumah dengan anak-anak, kadang-kadang memang tidak mahu susahkan saya. Bagaimanapun tanpa saya, memang dia tidak akan minta bantuan orang lain untuk uruskan kerjanya. Bagi saya itu kepercayaan yang ada antara kami berdua.
“Apabila saya mula bekerja ini memang janji saya, semua tugas sebelum ini saya akan buat dahulu. Maknanya saya masih akan memasak untuk keluarga dan menguruskan keperluan suami. Sejauh mana pun saya pergi, keluarga adalah yang pertama jadi tidak perlu persoalkan kenapa perlu saya bekerja,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/hiburan/tidak-mewahkan-anak-anak-1.462936#ixzz4ch91gB5s
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment