Sunday, January 27, 2013

Semoga bapa bahagia dengan keluarga baharu


Semoga bapa bahagia dengan keluarga baharu

DALAM kebanyakan drama dan filem Melayu yang ditayangkan, isu suami atau bapa mempunyai kekasih gelap memang selalu diketengahkan.
Biarpun sekadar drama atau filem, kesannya kepada anak-anak amat ketara jika tidak kena caranya. Anak-anak akan memberontak dan menjadi pendiam, sekali gus menghidap penyakit murung.
Jika ini berlaku, masa depan anak-anak bukan sahaja akan tergugat, malah hidup mereka akan menjadi muram, tidak ada selera makan, tidak ceria dan sering menjauhkan diri daripada bergaul dengan orang lain.
Di rumah, mereka asyik mengurung diri di dalam bilik dan tidak suka dengan dunia luar. Jika dibiarkan, ia akan melarat dan seharusnya mereka dibawa untuk mendapatkan rawatan psikiatri.
Inilah kisah yang ingin dikongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah ini dikirim oleh Maya (bukan nama sebenar) berdasarkan pengalamannya sendiri yang mengalami kemurungan setelah mendapat tahu bapanya ada kekasih.
Bukan untuk mengutuk bapa sendiri tetapi kata Maya, dia hanya mahu ia menjadi teladan kepada remaja lain yang mungkin menghadapi masalah sepertinya.
Ingin tahu lebih lanjut, kita ikuti cerita Maya seperti dalam e-mel yang dikirim kepada saya.
"Saya berusia 17 tahun ketika kejadian. Bapa saya, seorang pegawai kerajaan bernikah dengan ibu saya, seorang pendidik sejak 21 tahun lalu. Saya mempunyai seorang abang berumur 20 tahun dan adik berusia 13 tahun.
"Selama usia remaja, saya mendapat cukup kasih sayang daripada ibu bapa, begitu juga abang dan adik. Bapa seorang yang penyayang, dan mengambil berat pelajaran kami adik beradik.
"Saya tidak nafikan apa yang saya ingini semuanya dapat diperoleh kerana saya anak perempuan tunggal. Tentu bapa melebihkan saya dalam banyak hal. Saya gembira kerana menjadi kesayangan keluarga.
"Namun semua itu lenyap begitu sahaja apabila satu hari, saya ternampak bapa bersama seorang gadis di sebuah pusat membeli-belah terkenal. Pada mulanya, saya tidak percaya itu bapa saya dan menganggap dia hanya keluar dengan salah seorang teman sekerjanya.
"Sayangnya bukan sekali dua saya nampak, malah setiap hari. Perkara ini berlarutan sehingga empat bulan. Bapa asyik dengan kekasihnya tetapi saya tidak nampak mama susah hati.
"Adakah mama tidak tahu atau memang dia sudah menerima kecurangan bapa. Saya tidak berani bertanya dan mendiamkan diri bimbang nanti mama akan terasa hati.
"Daripada seorang yang ceria dan suka bercakap, saya menjadi pendiam. Saya tidak boleh bertembung dengan bapa di rumah, entah kenapa saya menjadi meluat dan benci melihat wajahnya.
"Di rumah apabila bapa di dapur, saya akan ke ruang tamu, begitulah sebaliknya. Saya mengelak untuk bersemuka dengan bapa kerana tidak mahu terjadi perang mulut antara kami.
"Lebih dua minggu saya berkelakuan seperti itu. Bukan dengan bapa sahaja saya berubah tetapi dengan mama, abang dan adik. Lama kelamaan, mama perasan perubahan diri saya.
"Dia menyuarakan perkara itu kepada bapa. Saya dipanggil dan bapa dengan lembut bertanya apa masalah saya. Tapi saya tidak menjawab dan terus mendiamkan diri. Bapa berulang kali tanya saya.
"Akhirnya saya menjawab pertanyaan bapa dengan suara yang keras. Betulkah bapa ada kekasih? Apalagi, terkejut bapa dengan jawapan saya. Bapa tak malukah, kekasih bapa itu sebaya dengan abang. Kenapa bapa tak sedar diri, soal saya bertubi-tubi.
"Bapa saya tidak memberi jawapan. Mama menangis dengan tindakan saya. Dia tidak sangka saya akan berlaku biadap dengan bapa. Tapi saya tidak peduli, saya tidak sanggup lagi berlakon di hadapan bapa.
"Sebulan saya seperti orang hilang akal. Tidak bercakap dan menghabiskan masa berkurung di dalam bilik. Tapi saya puas hati, sebab sudah dapat luahkan perasaan yang telah lama saya pendam kepada bapa.
"Menyedari perubahan saya yang mendadak, mama membawa saya berjumpa kenalannya, seorang doktor psikiatri. Mama minta tolong tengokkan saya. Katanya, saya dalam keliru.
"Akhirnya apa yang saya fikirkan itu dapat dibongkar oleh doktor tersebut. Mama tidak terkejut, sebab kata mama memang dia tahu bapa ada kekasih.
"Cuma mama pendamkan sahaja kerana tidak mahu kami adik beradik susah hati. Allah Maha Kuasa, Dia telah tunjukkan kepada saya kecurangan bapa. Saya menjadi lebih marah kerana bapa sanggup berbuat begitu kepada mama.
"Saya tidak nampak kesalahan mama terhadap bapa tetapi kenapa dia berkasih dengan perempuan lain, muda pula. Setelah mama pujuk dan saya diberi rawatan, akhirnya saya pulih. Tapi sampai sekarang, saya tidak maafkan bapa yang telah bernikah dengan kekasihnya itu. Saya tidak reda dia berkongsi kasih dengan mama.
"Sehingga kini, saya masih belum bersedia menerima wanita itu sebagai sebahagian daripada keluarga kami walaupun mama seorang yang tabah dan kuat semangat. Tapi saya tahu mama bersedih dan kecewa kerana kesetiaannya terhadap bapa telah digadai.
"Abang macam biasa sentiasa cool dan relaks. Tapi saya tahu, dia juga marah. Namun marah seorang lelaki tidak sama dengan marah seorang perempuan. Abang juga menasihati saya supaya menerima apa yang berlaku dengan reda.
"Buruk macam mana sekalipun dia tetap bapa, kata abang. Adik masih kecil untuk faham tetapi dia juga semakin menjauhkan diri daripada bapa. Saya akur dengan kehendak Allah tetapi saya kesal kenapa bapa boleh berubah hati dan mengkhianati cinta kasih mama.
"Kini mama, saya, adik dan abang sudah tidak seperti dahulu. Bapa sibuk dengan rumah keduanya. Mama tetap tabah menghadapi ujian daripada Allah untuk dia. Abang masih tenang dan adik selalu tertanya-tanya kenapa bapa jarang ada di rumah.
"Syukur kerana saya dan abang sekarang sudah bekerja. Mama yang banyak berkorban untuk kami belajar hingga ke menara gading. Mama tidak lama lagi akan bersara.
"Tapi saya dan abang akan menyara adik sehingga dia berjaya seperti kami. Bapa? Semoga Allah buka pintu hatinya untuk bertaubat di atas kelalaiannya membesarkan dan menyara hidup kami.
"Mama tidak pernah mengungkit walaupun saya tahu dia amat sedih dengan perbuatan bapa. Bersyukur kerana mama bekerja, apabila hari tua nanti dia tidak akan susah. Saya berharap mama akan terus tabah menghadapi hidup ini.
"Kepada bapa, saya ingin berpesan, di dunia bapa boleh terlepas, tapi di akhirat, balasannya tetap ada. Terima kasih atas apa yang bapa lakukan kepada kami. Semoga bapa bahagia dengan keluarga baharu bapa.
"Kami? Hidup pasti diteruskan kerana saya tahu ada bapa atau tidak..., kami tetap hidup dan bahagia dengan cara kami. Semoga Allah bagi kami petunjuk untuk satu kehidupan yang lebih dirahmati pada hari mendatang,'' Maya menutup cerita.
Begitu akhirnya yang berlaku kisah yang Maya ingin kongsi dengan pembaca.
Saya faham hati seorang anak yang melihat penderitaan ibunya, tambahan pula keadaan yang meragut kebahagiaan sebuah keluarga.
Kepada Maya pesanan saya, jangan berdendam dengan bapa kerana buruk macam mana sekalipun, dia tetap bapa yang harus dihormati dan disayangi. Berdoalah selalu agar dia insaf dan menyesal dengan perbuatannya. Saya pasti, ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku.
Syabas kerana anda menjadi anak yang bertanggungjawab dan melindungi keluarga serta menjaga mama anda dengan baik.
Besar ganjarannya yang anda akan peroleh. Semoga Allah memberi hidayah kepada anda untuk terus menjadi anak solehah.
Pesanan saya sebelum menamatkan catatan, jika anda merasakan ada kegelapan dalam hidup, ertinya anda harus menyalakan terlebih dahulu api di dalam diri anda agar anda dapat cahaya terang yang akan menerangi hidup anda.
Salam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130126/ke_05/Semoga-bapa-bahagia-dengan-keluarga-baharu#ixzz2JA7VxO74
© Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments: