Amanat Haji Hadi undang perpecahan
KUALA LUMPUR 4 Jan. - Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) memandang serius Amanat Haji Hadi yang telah memecah belahkan umat Islam sehingga menyebabkan mereka gagal melihat ancaman lebih besar terhadap masa depan agama, bangsa dan negara.
Presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, kesan besar daripada amanat tersebut telah menyebabkan ahli masyarakat melakukan penghukuman murtad terhadap sesama individu muslim lain tanpa perlu merujuk kepada mahkamah mengikut prosedur yang sahih.
"Isma mencadangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataan beliau dan membuat pembetulan yang perlu.
"Hal ini kerana kami bimbang kefahaman itu masih dipegang oleh pengikut tegar Pas sehingga mempengaruhi hubungan sesama Islam yang menyebabkan putus hubungan dan perpecahan tidak berkesudahan," katanya dalam sidang akhbar di Bangi dekat sini hari ini.
Tambah Abdullah Zaik, mereka percaya fahaman yang lahir daripada amanat tersebut yang masih dipegang kukuh di kampung-kampung merupakan antara faktor penghalang kepada aspirasi kesepakatan dan perpaduan orang Melayu di negara ini.
"Setelah membuat penelitian yang mendalam serta mengambil kira beberapa fakta, Isma berpendapat amanat tersebut merupakan satu penghukuman terhadap badan tertentu secara spesifik iaitu UMNO.
"Kami menyokong fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2002 yang menegaskan amanat itu bercanggah dengan Islam.
"Pernyataan ini bukan sahaja tidak betul dari segi kaedah berfatwa malah perkara itu berlawanan dengan uslub seorang pendakwah yang tugasnya berdakwah dan bukan menghukum," ujarnya.
Presiden Pas itu dalam amanatnya meletakkan UMNO sebagai kumpulan yang wajib diperangi, sama seperti golongan murtad atau golongan yang keluar daripada kepimpinan Islam dengan kekerasan seperti golongan bughah dan khawarij.
Perkara itu dapat difahami apabila beliau secara jelas menggunakan kalimah jihad, mati syahid dan kafir secara berangkai dalam konteks pernyataan penentangan terhadap UMNO.
Abdullah Zaik turut mencadangkan bagi mengelakkan individu tertentu mengeluarkan fatwa atau amanat yang mengundang masalah, wibawa badan agama perlu dihormati dan dipertingkatkan.
"Dengan wujudnya pihak berkuasa agama yang kukuh sebarang kelemahan dapat diatasi dan segala permasalahan dapat diselesaikan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment