Sunday, January 27, 2013

Remaja perlu berdedikasi


Remaja perlu berdedikasi

SIKAP tanggungjawab perlu ada dalam diri agar tidak memberikan kesan negatif kepada diri sendiri mahupun orang lain - GAMBAR HIASAN
KESEMPATAN bertugas di tempat baharu sepatutnya digunakan untuk meluaskan pengalaman serta pengetahuan.
Saya kini dipindahkan ke Kuala Terengganu bersama-sama dengan seorang lagi rakan yang berperwatakan agak lembut.
Rungutan yang diluahkan setiap hari menjadikan saya agak lemas dan meluat dengan sikapnya yang tidak profesional seolah-olah hanya dia sahaja yang terpaksa berjauhan dengan keluarga.
Masalah berkenaan tidak habis di situ sahaja, malah turut memberi kesan kepada prestasi kerjanya yang tidak memuaskan dengan alasan tiada mood.
Bagi diri saya, saya tidak bersetuju dengan anggapan sesetengah orang yang menggunakan alasan mood untuk menjamin kualiti kerja mereka.
Sikap bertanggungjawab dalam diri perlu dipelihara agar kita sentiasa menyudahkan kerja yang diberikan tanpa merungut kerana begitulah lumrah kita sebagai manusia.
Jika diikutkan, saya juga tiada mood tetapi saya memikirkan cita-cita dan pesanan keluarga agar menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.
Kesediaan untuk menghadapi cabaran kerja sememangnya perlu ada dalam setiap diri manusia dengan matlamat mendapatkan rezeki yang halal.
Sikap cerewet perlu dikikis kerana boleh menjejaskan prestasi kerja dan menyebabkan rakan sekerja yang lain berasa tidak selesa.
Oleh itu, cuba sebaik mungkin untuk membiasakan diri di tempat baharu terutamanya berjauhan dengan keluarga dan sentiasa ingatkan diri dengan matlamat kita bekerja adalah untuk mencari rezeki, bukan untuk berseronok semata-mata.
Tidak perlu merungut kerana anda masih lagi bekerja dalam Malaysia, tidak jauh untuk pulang bertemu keluarga.
SHAKIRA BORHAN
Kuala Terengganu, Terengganu


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130126/ke_03/Remaja-perlu-berdedikasi#ixzz2JA4Xz0Oq
© Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: