Sunday, January 27, 2013

Musa terpikat keperibadian Nasheem


Musa terpikat keperibadian Nasheem

MUSA Don dan Nor Nasheem Layali bersama dua permata hati mereka di Ipoh, Perak.
SAYA tak pernah terfikir bila nak menamatkan zaman bujang. Di sekolah sehinggalah belajar di universiti, saya memilih untuk bersendiri. Langsung tak ada teman istimewa kerana pada masa itu, tumpuan saya lebih kepada pelajaran bagi mendapatkan kerjaya yang terjamin," luah Musa Don sambil tertawa ketika menyusuri semula jejak-jejak pertemuan dengan isterinya, 21 tahun yang lalu.
Musa, 48, anak bongsu daripada tujuh beradik berkata, tindakan itu diambil kerana dia tahu kedudukan dirinya yang berasal daripada keluarga nelayan di Matang Kerian, Pantai Remis, Perak.
Lebih-lebih lagi ketika itu, hanya dia sahaja dalam keluarganya yang berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti. Itu membuatkan ibu bapanya meletakkan harapan yang tinggi kepadanya untuk merubah nasib keluarga.
''Seorang pensyarah ketika saya menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah bertanyakan kepada saya, sama ada saya bercadang nak pilih jodoh daripada kalangan rakan-rakan sekuliah atau nak pilih jodoh dari kalangan mana.
''Tanpa banyak berfikir, saya terus berkata bahawa saya tak akan pilih calon isteri daripada kalangan rakan sekuliah, sebaliknya saya mahu mencari calon isteri sepenuh masa yang sentiasa dapat bersama saya, jaga anak-anak saya dan kerjaya saya.
''Saya cakap begitu kerana ketika itu saya tak nampak jodoh saya di sana kerana saya tiada 'hati' untuk mencari cinta di sana," kata Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak itu ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Ternyata pengorbanan yang dilakukan Musa itu berbaloi apabila tidak sampai enam bulan selepas memperoleh ijazah sarjana muda (kepujian) dalam bidang ekonomi daripada UKM, dia diterima berkhidmat di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Di MBI, dia berpeluang bertemu dengan ramai pelanggan daripada pelbagai golongan dan takdir juga telah menemukannya dengan Nor Nasheem Layali Salehudin Nazri atau mesra dipanggil Nasheem, 48.
''Ketika itu MBI ingin mengadakan program bandar berkembar antara bandar Ipoh dan bandar Fukuoka, Jepun. Seorang kawan memperkenalkan Nasheem yang ketika itu berkhidmat di sebuah agensi pelancongan bagi menguruskan perkara tersebut.
''Pertemuan pertama telah membawa kepada banyak pertemuan lain dan dia turut bersama kami terbang ke Fukuoka untuk menguruskan kemudahan delegasi yang terlibat. Ketika itu, hubungan berpaksikan urusan rasmi sahaja, tiada perasaan lain," luah Musa sambil ketawa besar.
Namun, Musa merasa agak pelik kerana hubungannya dengan Nasheem tidak berhenti setakat itu. Mereka sering berbual di telefon dan sesekali keluar makan bersama. Karakter wanita itu yang sangat memahami membuatkannya merasa amat selesa berkawan dengannya.
''Saya juga mula melihat kriteria yang ada padanya. Dia sangat mengambil berat sehinggakan bila waktu tidur pun, dia akan telefon untuk pastikan saya tidur awal kerana saya perlu bekerja keesokannya.
''Waktu itu, saya terfikir kenapa dia berbuat demikian, tetapi saya tidak pernah bertanya. Dia juga tahu siapa saya, tinggal dengan siapa dan saya hanya ada sebuah motosikal sahaja. Mungkin buat wanita lain, ini merupakan satu faktor tolakan, tapi dia lain. Dia menerima saya seadanya," kata Musa yang kemudiannya diperkenalkan dengan nenek Nasheem yang menjaganya sejak kecil di Gunung Rapat.
Tambah Musa, meskipun keluarganya sangat terbuka dalam hubungannya dengan Nasheem, namun mereka mahu dia membuat satu keputusan tentang hala tuju hubungan itu.
Akhirnya setelah mendapatkan restu daripada kedua-dua pihak termasuk ibu bapa Nasheem yang menjalankan perniagaan di luar negara, Musa dan Nasheem mengambil keputusan untuk bertunang pada 3 Oktober 1992 dan pada 5 Jun 1993 pula, mereka selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri.
"Ya... akhirnya saya memilih Nasheem meskipun sebelum itu saya tidak merasakan hubungan kami akan pergi sejauh ini. Arwah abang ipar merupakan pendorong utama ke arah perkahwinan ini. Kata-katanya membuatkan fikiran saya yang tertutup, terbuka luas," katanya.
Mengulas mengenai sifat Nasheem yang membuatnya tertawan, Musa berkata isterinya itu seorang wanita yang sangat memahami, menyayangi dan mempunyai latar belakang pendidikan keluarga yang saling menghormati, mengambil berat dan paling penting semasa berkawan, dia tidak pernah pergi 'jauh', selain sifatnya yang lebih banyak mendengar dan berbicara hanya apabila diminta.
Sehingga sekarang, Musa berkata, sifat itu masih sebati dengan wanita pilihannya itu yang membuatkan perkahwinan mereka berjalan lancar tanpa ada sebarang perselisihan besar.
Perkahwinan yang mencecah usia lebih dua abad itu diserikan dengan kehadiran sepasang cahaya mata yang diberi nama Nur Nasha, 19, dan Muhamad Nabil, 15.
Menurut Musa, Nur Nasha kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda (kepujian) dalam bidang kejuruteraan di Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, Perak manakala Muhamad Nabil pula berada di tingkatan tiga di Kolej Melayu Kuala Kangsar.
Bercerita mengenai dua permata hatinya itu, Musa berkata, pada pandangan umum, mungkin mereka berdua mendapat layanan istimewa daripadanya dan isteri, namun sebenarnya ia adalah sebaliknya.
''Isteri saya tegas dalam hal-hal berkaitan pelajaran, tetapi saya pula tegas dalam semua perkara. Walaupun saya hanya mempunyai dua orang anak, tetapi kalau mereka buat salah, saya akan rotan.
''Bagi saya, biarlah kuantiti (anak) kecil, tapi berkualiti dan kalau kita tidak bagi pengajaran kepada mereka sekarang, takut susah untuk dilentur kemudian hari. Setakat ini, anak-anak faham mengapa saya merotan mereka," katanya dalam nada tegas.
Pada waktu senggang, Musa suka membawa isteri dan anak-anaknya beriadah sama ada mengunjungi pusat boling yang menjadi aktiviti sukan kegemaran mereka sekeluarga ataupun pergi membeli-belah.
Beliau juga sentiasa mencuri masa untuk bersama isterinya memandangkan Nasheem telah berhenti kerja sebaik sahaja melahirkan Muhamad Nabil.
''Ketika ini, kami umpama pasangan baharu berkahwin kerana anak-anak duduk di asrama. Saya tahu dia bosan sendirian, justeru saya selalu membawanya ke acara rasmi," katanya.
Musa berharap perjalanan hidupnya yang bahagia dengan Nasheem kekal hingga ke akhir hayat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130126/ke_04/Musa-terpikat-keperibadian-Nasheem#ixzz2JA1wDNO7 
© Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments: