PASIR PUTEH 4 Jan. - Seorang bekas penyokong tegar Pas, Manaf Yusof, 78, meminta Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menebus dosanya dengan menarik balik amanat beliau tanpa bersyarat kerana menyebabkan segelintir umat Islam di negara ini terputus persaudaraan.
Dia tidak menafikan perpecahan sesama Islam di Kelantan berputik selepas timbulnya Amanat Haji Hadi pada 1981 yang mana penyokong tegar Pas sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengkafirkan ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara yang tidak sehaluan kerana menganggap perjuangan mereka diredai Allah.
"Tidak perlu tampil di kaca televisyen, memadailah dengan beliau memberikan penerangan dan penjelasan semula kepada seluruh pengikut Pas menerusi siri ceramah politik yang dianjurkan.
"Jelaskan kenapakah UMNO halal dikafirkan pada 1981? Jelaskan juga kenapa Pas yang bersekutu dengan DAP sejak kebelakangan ini sama ada hukumnya halal dikafirkan atau sebaliknya.
"Adalah lebih baik Hadi tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan hukum mengikut perkiraan akal sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Che Der, Selising dekat sini hari ini.
Menurut Manaf, selama 54 tahun berjuang dan setia kepada kepimpinan Pas termasuk patuh kepada Amanat Haji Hadi merupakan kenangan yang sukar dilupakannya sampai sekarang.
Kata beliau, di kampungnya tidak berlaku kejadian pulau-memulau, tidak timbul halal atau haram daging sembelihan dan sebagainya kerana kampung itu merupakan 'lubuk' Pas sejak 1959.
Bagaimanapun jelas beliau, insiden melempar telur busuk dan menabur paku di atas jalan semata-mata untuk mensabotaj pihak tertentu, dikatakan berlaku di kampung-kampung tertentu selepas Amanat Haji Hadi dikeluarkan, disebabkan sikap taksub ahli parti kepada pemimpin mereka.
"Kami kental dan penuh kesetiaan mentaati setiap arahan yang dikeluarkan pucuk pimpinan parti pada ketika itu. Saya tidak nafikan halal bagi penyokong Pas mengkafirkan UMNO dan Barisan (Barisan Nasional) kerana UMNO dikatakan menentang perjuangan Islam yang ditegakkan oleh Pas dan sanggup bersekongkol dengan MCA dan MIC.
"Bagaimanapun kini sudah terbalik, orang yang mengeluarkan fatwa sedemikian berubah pendiriannya, menghalalkan kerjasama dengan DAP yang terbukti menentang apa sahaja pelaksanaan hukum Islam yang dibuat oleh Pas," katanya.
Manaf menjelaskan, dia kini nekad meninggalkan Pas selepas meneliti hala tuju perjuangan parti itu yang semakin tersasar daripada matlamat asal hendak menubuhkan sebuah negara Islam dan melaksanakan hukum hudud.
"Perjalanan pahit maung dalam politik menyedarkan saya bahawa Amanat Haji Haji hanya akan memusnahkan ukhuwah sesama umat Islam dan perpaduan Melayu.
"Ini disebabkan sikap pemimpin Pas yang dilihat bersikap bacul dan semakin tunduk kepada kehendak DAP sejak kebelakangan ini," katanya.
Isi Kandungan
No comments:
Post a Comment