DI meja panjang inilah ruang bicara Sultan Nazrin dan tetamu khas baginda berlangsung melepasi tengah malam Sabtu lalu.
TIGA tahun berturut-turut saya menerima undangan berbuka puasa di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Dengan rela hati saya memenuhi undangan itu. Ini adalah satu penghormatan. Perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Kangsar, yang terkenal dengan jolokan ‘Kuale’ semasa PRK baru-baru ini, mengambil masa lebih kurang dua jam setengah. Ada antaranya saya bermalam di bandar diraja itu. Di atas Bukit Chandan terletak rumah rehat yang kini namanya bertukar setelah diuruskan oleh sebuah hotel milik kerajaan negeri, Casuarina.
Tahun ini, seperti tahun-tahun lalu kami hadir sebagai tetamu bagi orang media. Ada juga dalam kumpulan itu kumpulan NGO dan wakil-wakil dari universiti. Apa yang saya tunggu-tunggu bukanlah majlis berbuka puasa yang kali ini menu makan malamnya sambal tumis ikan masin, kurma kambing, pajeri nanas, masakan wajib rendang tok serta pembasuh mulut tau foo fah dan sirap cincau -- tetapi ialah acara selepas moreh.
Itu adalah amalan setiap tahun, apabila Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah akan menerima menghadap tetamu khasnya untuk bertukar-tukar pandangan. Baginda akan duduk di tengah-tengah barisan meja panjang dan dikelilingi oleh -- kami ini termasuk para negarawan yang senior, editor-editor media, ahli korporat dan rakan-rakan rapat.
Kali ini tetamu baginda cukup besar. Sebelum ini mungkin satu atau dua meja panjang sahaja bersambung, tetapi kali ini, pada pandangan saya, tiga meja panjang yang disambung.
Namun perbincangan masih lagi rancak.
“Brexit macam mana?” Buka bicara Tuanku. Tan Sri Azman Mokhtar menyambut. Perbincangan diselang-seli dengan gelak ketawa. Disampuk oleh ‘the learned elders’ bijak-bijak pandai negara yang lain termasuk Tan Sri Arshad Ayub, Tan Sri Wan Zahid Noordin dan Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali.
Baginda juga bercerita mengenai kisahnya ke Terumbu Layang-Layang dan kemudian menaiki kapal selam. “Cukup hebat pengalaman itu. Kami menyelam sedalam 1,000 kaki.” Baginda turut bercerita mengenai situasi perebutan di kawasan terumbu tersebut. Baginda lazimnya akan bermula dengan isu antarabangsa, konflik serantau sebelum ke isu dalam negara.
Bagi saya itu adalah detik-detik yang cukup mengujakan bagaimana seorang Sultan, dulu seorang Raja Muda, mahu bercerita, mahu berkongsi maklumat dengan kami semua. Saya masih ingat, Ramadan tahun lepas perbincangan kami lebih ‘panas’ termasuk mendalami isu semasa negara -- mungkin lebih terbuka, berterus-terang kerana kumpulannya lebih kecil.
Itulah Sultan Nazrin Shah. Sultan yang bukan bercakap soal yang ‘bukan-bukan’ atau yang terlalu ceremonial, makan-sembah-dan berangkat, tetapi lebih daripada itu.
Baginda mencerminkan keintelektualan sebagai seorang raja Melayu berdaulat yang amat dihormati, bukan digeruni atau dipersenda. Baginda mahu kami semua berkongsi dengan beliau. Bagi orang media, lebih teruja kerana isu yang dilontarkan baginda cukup juicy, first hand dan cukup eksklusif. Cerita-cerita belakang tabir, yang sekadar cetusan perbincangan untuk simpanan dalam minda semata.
“Pandangan Utusan pula macam mana dalam hal ini...” tanya baginda kepada saya pada pertemuan tahun lepas. Pada masa itu isunya lain sedikit.
Kami bercakap. Kami bersembang. Kami berbahas dengan cukup terbuka, seolah-olah tiada jurang antara rakyat dan raja. Baginda cukup arif bahawa inilah ruang bicara yang sepatutnya ada antara kedua-duanya.
Baginda turut bertanya mengenai sejauh mana seriusnya gejala ISIS di negara ini. Tiba-tiba masing-masing menuding ke arah Tan Sri Rastam Mohd. Isa. “Itu dia Chairman ISIS”. Masing-masing ketawa. Rastam ialah Pengerusi dan CEO Institut Kajian Strategik Antarabangsa Malaysia yang singkatannya kebetulan sama dengan Islamic State atau ISIS.
“Cukup serius jika tidak dibendung,” kata Rastam yang kemudian perbincangan tertumpu kepada isu itu. Isu pekerja asing dibincangkan dengan cukup luas Ramadan ini. Mengapa terlalu banyak pekerja asing di negara ini? Di mana pula rakyat kita?
Mengapa sektor pembinaan mengambil terlalu banyak pekerja asing dengan rata-ratanya dibayar gaji minimum -- tetapi ironinya rumah dijual dengan jangkauan ratusan sehingga jutaan harga yang sukar difikirkan.
Adakah gejala rasuah berlaku, ketidakcekapan pihak berkuasa dan lain-lain hal yang masih mencengkam permasalahan sistem kita? Adakah juga soal ketamakan pemaju mengaut keuntungan berlebihan antara puncanya? Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin turut mencelah. Baginda nampaknya cukup mengambil serius berkenaan isu ini.
Bagaimana negara jiran kita Indonesia kini berkembang pesat dan berjaya menumpukan kepada permasalahan domestik dengan baik -- sehingga Presiden Jokowi mampu mengambil isu-isu mikro termasuk sanggup mengkaramkan mana-mana kapal nelayan yang mencerobohi lautannya.
Itulah meja panjang dalam Istana Iskandariah berbicara. Bermula kira-kira jam 10.45 malam, ia berakhir tepat jam 12.30 tengah malam. Agak awal berbanding Ramadan 2015, apabila ia berakhir melepasi 1 pagi. Menyebabkan saya terpaksa bermalam di sebuah motel di Kuale.
“Sayangnya banyak lagi soalan yang saya nak tanya dengan Tuanku, tak sempat...” keluh sahabat media saya, Datuk Seri Azman Ujang.
Antara soalannya yang tidak terjawab mungkin sehingga Disember ini ialah, “siapakah yang akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu...” Terasa juga kehilangan suara-suara garau Tan Sri Abdullah Ahmad yang kembali ke Rahmatullah baru-baru ini. Allahyarham semasa usianya adalah ‘anggota tetap’ meja panjang itu. Al-Fatihah.
Cukup berbaloi berbuka puasa di Istana Iskandariah. Sebagai penulis, orang suratkhabar selama 27 tahun itulah kepuasannya. Selama ini kami digauli oleh orang politik, orang kerajaan dan pelbagai lagi. Dan apabila orang Istana sanggup mencemar duli berborak dengan kami -- itu satu penghormatan yang tiada kata-kata yang boleh diungkapkan.
Menjunjung kasih (sekali lagi) Tuanku!
No comments:
Post a Comment