HARI Jumaat di Xi`an, sebuah bandar purba di wilayah Shannxi, China, cukup berbeza dengan hari-hari biasa. Antara yang boleh dilihat adalah keadaan sebuah bazar berhampiran dengan Drum Tower.
Setiap Jumaat, bazar itu dipersiapkan untuk menerima kunjungan umat Islam di bandar tersebut bagi menunaikan solat Jumaat kerana di tengah-tengahnya terdapat sebuah masjid purba.
Bazar yang seperti satu blok bandar yang sempit, jalan berbatu dipenuhi pokok rendang dan rekabentuk bangunan unik itu turut mempunyai tarikan lain.
Walaupun kedai untuk pelancong banyak tetapi tumpuan orang ramai lebih kepada kedai-kedai makan yang menawarkan pelbagai jenis masakan tempatan yang segar.
Ini kerana adanya penjual wanita Muslim berhijab dan tanda makanan halal yang tidak meragukan. Malah, keadaan itu turut menunjukkan bahawa tradisi Islam masih hidup segar di kota yang terletak di tengah-tengah China itu.
Terdapat 20,000 umat Islam di Xi’an dan majoriti daripada mereka memiliki kedai yang ada di sekitar masjid tersebut. Dari segi kaum, mereka daripada etnik Hui yang berasal dari barat laut China.
Sebenarnya terdapat 10 juta orang Hui di China dan kebanyakan adalah boleh berbahasa Mandarin. Penduduk umat Islam terbesar di China adalah di wilayah Xinjiang, barat laut China dan kebanyakannya dari etnik Uighur.
Ketibaan Islam di Bandar Xi’an yang pernah menjadi bandar diraja untuk 10 dinasti purba itu adalah hasil dakwah pedagang Arab Muslim melalui Laluan Sutera yang secara kebetulannya laluan itu bermula di bandar berkenaan.
Oleh itu, tidak hairanlah semasa awal era Dinasti Tang pada abad ketujuh, pedagang Arab Muslim datang ke China melalui bandar tersebut. Antara mereka yang pertama tiba ialah sahabat Rasulullah SAW, Saad bin Abi Waqas.
Beliau membawa mesej daripada khalifah kepada Maharaja Gaozong yang menerima Islam dengan baik, sekali gus memuliakan mereka dengan membina masjid pertama China iaitu, Masjid Huaisheng di Canton.
Kemudian, ramai Arab Muslim yang memilih untuk menetap di Xi`an. Mereka menjadi sangat berpengaruh pada zaman Dinasti Ming (1368-1644). Pengasas dinasti itu, Maharaja Zhu Yuanzhang mempunyai enam panglima Muslim dalam tenteranya, termasuk Lan Yu. Pada 1388, Yu mengetuai tentera untuk mengalahkan Mongol.
Malah, Zheng He yang merupakan laksamana armada tentera laut Maharaja Ming Yongle (abad ke-14) adalah seorang etnik Hui yang dilahirkan dalam keluarga Islam.
Walaupun terdapat banyak masjid-masjid di seluruh China, Masjid Agung Xi’an itu dibina semasa pemerintahan Dinasti Tang (sekitar tahun 740), kira-kira 100 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Selama berabad-abad, penambahan dan pengubahsuaian telah dijalankan ke atas masjid itu.
Masjid yang dikelilingi oleh batu bata purba itu mempunyai susun atur seperti tokong Cina. Satu halaman yang mempunyai sebuah astaka dan menara yang kaya dengan ukiran kaligrafi serta hiasan corak bunga.
Lebih menarik adalah di ruang terbuka yang menempatkan gerbang batu dan menara terukir ayat-ayat al-Quran. Rangka pintu masuk ke dewan solat dipenuhi dengan ukiran bermotifkan bunga-bungaan dan kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran manakala dewan solat yang dilengkapi dengan mihrab turut dihiasi dengan ukiran Arabesques dan kaligrafi Cina dalam huruf Arab.
No comments:
Post a Comment