PAS kini berada dalam dilema sama ada kembali membentuk pakatan dengan parti pembangkang lain atau bergerak bersendirian. GAMBAR HIASAN/UTUSAN
KETIKA ini parti-parti pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PAN dan Pas sedang mencongak untuk memastikan pertembungan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi kenyataan.
Mereka dikatakan sepakat bahawa hanya pertembungan seumpama itu sahaja akan mampu menumpaskan BN yang UMNO menjadi tonggaknya. Pada masa ini rundingan demi rundingan dijalankan bagi membolehkan impian itu direalisasikan. Bagaimanapun apa yang menjadi perhatian ialah ke arah manakah hala tuju politik Pas. Apakah parti itu bersedia bergabung dengan parti-parti pembangkang lain atau akan turun ke gelanggang sebagai ‘pejuang tunggal’ dan sekali gus bermakna pertembungan satu lawan satu tidak akan menjadi kenyataan.
Mengimbas sejarah politik Pas, parti itu pernah bergabung bersama BN, berpakat dengan Parti Melayu Semangat (S46) dan terakhir mengadakan tahaluf siyasi dengan PKR serta DAP dalam pakatan pembangkang. Kesudahannya, Pas membuat keputusan meninggalkan kerjasama tersebut kecuali masih bertahan di Selangor melalui permuafakatan mentadbir negeri itu bersama PKR dan DAP. Namun sudah ada ura-ura kerjasama tersebut juga menanti masa untuk ditamatkan apabila PRU-14 berlangsung.
Persoalannya, apakah langkah Pas selepas ini dalam berhadapan dengan PRU-14? Adakah Pas akan menerima pelawaan PPBM yang kini bertungkus-lumus berusaha menggabungkan semua parti pembangkang dalam satu pasukan atau merasakan mempunyai kekuatan tersendiri untuk bertarung sebagai parti pembangkang tunggal yang tidak bekerjasama dengan sesiapa?
Kalaulah Pas membuat keputusan untuk bergabung dengan parti-parti pembangkang yang lain adakah ia bermaksud Pas akan kembali menjalin hubungan dengan DAP memandangkan parti-parti lain sudah pasti tidak akan meninggalkan DAP? Sanggupkah Pas dilayan sebagai ‘pak turut’ lagi seperti mana pernah mereka alami ketika berada dalam pakatan pembangkang dahulu? Jika mereka hanya mahu bekerjasama dengan PPBM dan PKR tetapi menolak DAP dan PAN, adakah ia akan diterima oleh DAP dan PAN?
Sepatutnya Pas memahami mereka bukanlah parti picisan. Parti-parti pembangkang lain termasuklah PPBM amat menyedari kekuatan yang ada kepada Pas. Mereka bukan sahaja mempunyai kekuatan dari segi jentera tetapi juga penyokong.
Biarpun berlaku perpecahan berikutan terlahirnya PAN, namun jumlah penyokong Pas dikatakan tidak tergugat. Namun begitu, penyokong-penyokong tersebut menanti apakah langkah politik yang akan dilakukan kepemimpinan mereka. Ini memandangkan mereka sudah bosan menjadi pengikut kepada sebuah parti yang akhirnya sekadar diperalatkan untuk orang lain mencapai kejayaan.
Itulah yang berlaku ketika Pas berada dalam pakatan pembangkang. Jentera dan penyokong Pas telah dipergunakan habis-habisan bagi membantu PKR dan DAP, tetapi apabila kemenangan sudah dicapai Pas dilayan bagaikan parti tidak bermaruah.
Begitulah juga dalam situasi politik sekarang, parti-parti pembangkang lain mengharapkan kehadiran Pas bagi melaksanakan agenda mereka menentang BN bukan kerana mahu meletakkan Pas sebagai parti utama, tetapi sekadar mahu memperalatkan kekuatan dan kelebihan Pas.
Justeru Pas perlu berfikir dengan semasak-masaknya langkah politik mereka khususnya dalam soal hubungan dengan parti-parti pembangkang lain. Pas tidak harus terpengaruh dengan janji-janji manis yang ditaburkan dalam usaha parti-parti tersebut untuk merangkul Pas bersama.
Pas perlu istiqamah dengan matlamat perjuangan untuk menegak dan menyebarkan syiar Islam, bukannya semata-mata mahu memburu kerusi dalam pilihan raya. Jika Pas membuat keputusan untuk bergabung bersama parti-parti pembangkang, mereka perlu bersedia melupakan perjuangan Islam mereka.
Ini memandangkan DAP masih ada manakala PKR masih wujud. PPBM dan PAN pula tidak akan memiliki sebarang kekuatan untuk melawan kehendak politik DAP dan PKR. Oleh itu, Pas perlu menghitung adakah mereka bersedia untuk ‘dipatuk dua kali dalam lubang’ yang sama.
Tambahan pula kalau melihat percaturan politik yang sedang dirancang oleh parti-parti pembangkang lain, nama kepemimpinan Pas tidak disenaraikan sebagai antara mereka yang layak menduduki jawatan Perdana Menteri jika pembangkang memenangi PRU-14. Nama-nama yang disebut-sebut ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, malah ada juga suara-suara yang menyatakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut tersenarai.
Kalau begitu adakah ini bermakna tiada seorang pun pemimpin Pas yang layak menjadi Perdana Menteri? Apakah Pas sememangnya sudah ditakdirkan hanya menjadi alat kepada parti-parti pembangkang lain mencapai agenda politik mereka?
Sebab itulah dalam berhadapan dengan isu pelawaan untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain, Pas tidak boleh terlalu teruja kerana apapun berlaku, tidak mungkin parti tersebut akan diberikan tanggungjawab menjadi parti utama pembangkang. Kedudukan itu lebih tertumpu kepada PKR serta DAP dan kini PPBM pula dilihat mahu meraih posisi tersebut, justeru apakah maknanya kerjasama Pas dengan mereka?
Pas sepatutnya memahami walaupun kini sudah ada PPBM yang cuba menjadi ‘orang tengah’ bagi menyatukan parti-parti pembangkang, tetapi kekalutan politik mereka dengan PKR, DAP dan PAN tidak berubah. PKR pasti akan terus setia mendengar kehendak DAP, DAP pula sudah tentu akan menolak perjuangan Islam Pas manakala PAN dilihat ‘musuh politik’ yang tidak mungkin akan dikompromi oleh Pas.
Apapun terserahlah kepada kepemimpinan Pas untuk melakukan perhitungan politik dalam menentukan hala tuju parti tersebut dalam berhadapan PRU-14. Apa yang pasti, penyokong-penyokong Pas sudah tidak lagi sanggup diperalatkan oleh mana-mana parti pembangkang sehingga akhirnya mereka bagaikan lebai malang, menang sorak kampung tergadai, orang lain makan isi, mereka makan tulang!
No comments:
Post a Comment