Persoalannya, sekiranya syarikat itu dimiliki oleh syarikat Melayu (yang sememangnya sudah kecil pegangannya dalam bancian nasional), kepada siapa aset-aset itu mahu dijual?
Baru-baru ini riuh apabila syarikat perkapalan gergasi negara MISC juga dikatakan jatuh ke tangan orang lain, setelah sekian lama menjadi syarikat milik negara kepunyaan Petronas. Jika benar-benar berlaku maka amat malang lagilah umat Melayu negara ini. Dua tahun lalu 2014, Cuit ada menulis mengenai bagaimana kawasan Sentul, Jalan Bukit Bintang jatuh ke tangan orang lain.
Begini tajuk kisah itu: Yap Ah Loy moden. Benarkah YTL kuasai Jalan Bukit Bintang dan Sentul?
ISU mengenai YTL dan Francis Yeoh Sock Ping, cukup hangat sekali. Apabila dia bercakap secara terbuka dalam satu forum mengenai “kroni kapitalisme di Malaysia harus dihapuskan” - maka orang berkata, tahi sudah terpercik ke mukanya sendiri. Kumpulan YTL dan Francis diumpamakan sebagai kacang lupakan kulit, seorang yang lupa daratan dan bermacam-macam.
Memang benarlah, ramai yang tahu mengenai asal-usul YTL. Jika bukan kerana bantuan kerajaan ia hanyalah sebuah syarikat pembinaan berstatus Sdn. Bhd. yang mungkin sekarang ini sudah hilang. Tapi YTL masih hidup dan kini cukup mewah. Ia mewah, hanya lebih dua dekad ini, di atas anugerah kerajaan dan di atas penderitaan syarikat-syarikat milik orang Melayu lain, yang kononnya mahu di­selamatkannya semasa krisis ekonomi dahulu.
Francis dalam forum itu cuba menafikan Tun Dr. Mahathir Mohamadlah yang membuka jalan untuk beliau mendapat kontrak tenaga IPP sehingga mengkayakannya sehingga ke hari ini. Dia mendakwa, kejayaannya adalah hasil inovasi syarikatnya. (Baca lagi: http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/crony-capitalism-in-malaysia-has-to-go-son-of-ytl-founder-says)
Setelah kenyataannya menjadi panas, Francis kemudian memohon maaf di atas kenyataannya itu. YTL sebenar cukup licik. Ia juga membuat namanya dengan membuat belian ke atas aset-aset tenat akibat krisis kewangan Asia, seperti pusat beli-belah Lot 10, di tengah-tengah Segitiga Emas, daripada Datuk Sulaiman Abdul Manan, pemilik Taiping Consolidated Bhd. pada 1998. Ekoran pembelian itu YTL menguasai hartanah di sekitar Bukit Bintang dan Sentul. Taiping Consolidated kemudian ditukar nama menjadi YTL Land & Development. (Baca lagi:http://www.theedgemalaysia.com/features/153046--cover-story-all-the-cash-but-nothing-to-buy.html)
Satu panggilan saya terima daripada seorang ahli perniagaan Melayu yang berjaya, marah-marah dengan sikap Francis itu. Dia kata, dia hairan apakah YTL terlalu menguasai sejumlah besar kawasan Bukit Bintang termasuk Jalan Bukit Bintang dan di kawasan-kawasan Sentul?
Minta DBKL jelaskan benarkah kawasan-kawasan itu YTL yang punya? Apakah kuasa DBKL juga amat terhad di dalam kawasan Bukit Bintang? Ia seolah-olah seperti wilayah penguasaan YTL dan keluarga Francis? Benarkah Bukit Bintang dipenuhi dengan rumah-rumah urut milik pendatang Cina dari China? Berapa peratus kawasan itu diberi ruang untuk Melayu berniaga? Di Sentul, kawasan-kawasan kampung semakin lenyap dan diganti dengan projek pembangunan milik YTL. Siapa yang mampu beli semua hartanah di situ? Ke mana perginya orang asal di situ?
Katanya lagi, apakah YTL kini dikenali sebagai Yap Ah Loy moden Kuala Lumpur? Berkuasa sangatkah dia? Pemanggil itu menasihati lagi, kita semua dan pihak berkuasa harus terus memantau kegiatan mereka ini.
Itu kisah dahulu. Sudah menjadi sejarah. Hakikatnya orang Melayu hilang pegangan mereka di kawasan itu.
Tujuan saya menulis berkisar kepada soal ini adalah kerana saya menerima panggilan telefon daripada seorang sahabat baru-baru ini.
“Zaini saya mendapat tahu sebuah syarikat gergasi GLC, yang diterajui oleh orang kita kini mulai menjual aset-aset mereka kepada syarikat gergasi bukan Melayu. Malah bangunan mereka di Subang Jaya kini sudah dijual kepada syarikat bukan Melayu dan malangnya mereka menyewa semula kepada syarikat bukan Melayu itu. Apa sudah jadi?”
Persoalannya lagi, mengapa aset-aset yang mahu dilupuskan itu tidak dijual kepada orang Melayu. Tidak adakah badan-badan wakaf korporat Melayu atau GLC negeri-negeri yang mampu membelinya? JCorp adalah sebuah syarikat milik kerajaan negeri yang sedang membina empayarnya, mengapa tidak ditawarkan kepada mereka?
Mengapa kerajaan-kerajaan negeri tidak menubuhkan perbadanan wakaf korporatnya sendiri bagi mengambil alih syarikat-syarikat milik orang Melayu yang tenat, tetapi berpotensi? Ayuh, bangkitlah orang Melayu. Perkasakan instrumen wakaf milik orang Islam ini. Jangan disabotaj usaha kita untuk menguasai tanah-tanah bernilai tinggi di negara ini. Kita jangan termakan dengan permainan licik orang lain.
Tertarik saya dengan tulisan ini, untuk kita renungkan:
“Sepatutnya, kita harus menganggap peruntukan tanah di TRX, TUDM Sungai Besi dan Sungai Buloh untuk 1MDB sebagai satu bentuk ‘nasionalisasi’ daripada hartanah utama yang bernilai tinggi di dalam dunia.
Anda patut sedar, ia dilakukan untuk melindungi aset-aset utama daripada jatuh ke tangan rakyat Singapura, China, Arab, Jepun, Korea dan Cina tempatan kerana mereka mempunyai wang dan links serta connection yang besar dalam bisnes global.
Lihat sahaja bagaimana YTL mengubah Jalan Bukit Bintang dari daerah lampu merah kotor ke dalam pelancongan yang sibuk dan kawasan membeli-belah utama. Bolehkah agaknya pada masa itu, orang Melayu mengubah ta-nah Sekolah Perempuan Bukit Bintang kepada Pavilion?
Lot 10 pada asalnya dimiliki oleh Datuk Sulaiman Manan (Mayang Sari) di mana Taiping Consolidated dan YTL telah mengambil alih. Harta itu walaupun dalam tangan orang Melayu tetapi tidak kekal lama. Kerana Dr. Mahathir yang membenarkan ia dijual kepada bukan Melayu kerana Dr. Mahathir percaya orang Melayu tidak mempunyai sumber kewa-ngan untuk membuat Lot 10 yang akan menguntungkan.
Itu dahulu, ya orang Cina sahaja boleh kerana mereka punya wang. Hari ini, TH Properties (THP) dan banyak lagi GLC mampu membina bandar-bandar baharu dan shopping complexs mega. Contoh lain, Menara Angkasa Raya sebelah KLCC dimiliki asalnya oleh orang Melayu. Ia tidak sepatutnya dijual kepada Sunrise. Terdapat banyak tanah bernilai tinggi dianugerahkan kepada orang Mela-yu, tetapi akhirnya terpaksa dijual kepada orang lain kerana kelemahan kewangan ketika itu.
Jadi sekarang, apabila kerajaan menganugerahi TH untuk membangunkan TRX menjadi daerah kewangan khususnya untuk kemajuan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia, malangnya ada orang Melayu yang busuk hati yang bukan ahli ekonomi pun, dan malangnya anda terpedaya dengan gorengan mentah dia! (Akhirnya kini, dikuasai oleh syarikat Indonesia).
Orang lain sangat bijak, mereka berdiam diri kerana mereka hanya perlu menunggu TH Properties dimalukan dan kalah kepada fitnah pembangkang, kemudiannya mereka akan cepat-cepat membelinya. Apa pun, kita akui akan kelemahan mengurus isu ini oleh pihak TH. Sepatutnya mereka tidak perlu kelam-kabut dengan desakan pembangkang itu, sepatutnya mereka berterus-terang dan mendedahkan faedahnya.
Begitulah keadaan yang menyedihkan hal ehwal orang Melayu dan umat Islam di Malaysia. Mereka menggalakkan kebencian dalam kalangan mereka sendiri dan bukannya menyokong program yang hanya boleh memastikan kuasa ekonomi Melayu dan Islam dalam persekitaran global yang kompetitif”.