Dunia sekarang sedang bergoncang sangat - dengan soal Daesh atau IS lah, soal sebuah demi sebuah negara Islam cuba diranapkan, soal demo tak cukup makan rakyat Brazil semasa Olimpik Rio, soal negara Palestin yang masih dinafikan hak kemerdekaan, soal pe­rebutan kuasa bakal Presiden Amerika Syarikat - yang cukup terbuka debatnya, soal rebutan Laut China Selatan, perang dingin era baharu USA-China; sehinggalah soal dalaman Malaysia.
Teringat saya kegawatan semasa tahun-tahun 60-an dan 70-an dahulu, Perang Vietnam, orang hanyut, perang dingin Soviet-USA, isu kesaksamaan warna kulit putih dan hitam, budaya kuning hippies, rolling stone dan revolusi seksual, tunjuk perasaan sana-sini; sehinggalah kegelisahan kaum atau racial unrest 13 Mei 1969 di negara ini.
Bagi saya ini adalah satu pengimbangan equilibrium se­jagat yang berlaku. Ia akan berlaku dari semasa ke semasa sehinggalah akhir zaman. Biarkanlah.
Begitu juga dengan manusia yang bernyawa ini. Ada pasang dan surutnya.
Bukan semua orang akan dijulang selama-lamanya. Ada yang akan jatuh akhirnya, dan tersungkur. Ada yang dilupakan terus, dipadamkan, ‘dipetisejukkan’ - tak dipeduli. Maka, tiada siapa pun selepas itu akan mengingati jasa-jasa yang dilakukan.
Semasa berkuasa dan berada di atas kerusi kuasa sama ada dalam perusahaan, syarikat, pejabat, institusi atau politik semua akan dipuja dan disanjung.
Ada yang bernasib baik ke­rana semasa berkuasa dia pandai membawa diri. Namun, ada yang tidak pandai bermuka-muka, mungkin kerana dia jenis yang berterus-terang. Ada yang muka tebal dan ada yang muka nipis.
Ada yang hipokrit mahu menjaga kedudukannya. Ada yang terlalu lantang, kritikal kerana katanya itu adalah betul. Ada yang berpendirian seperti ular air, ada yang berpendirian seperti tembok batu. Ada yang mahu cepat kaya. Kuat main silap mata. Tak kisah apa yang berlaku, asalkan aku senang - aku kaya - aku hidup mewah.
Itu pasal junjungan besar Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tanda orang munafik ada tiga: Apabila berbicara dia dusta; apabila berjanji dia mungkiri; dan apabila diberi amanah dia khianati.”
Apa-apa pun itulah manusia. Selagi dinamakan manusia, itulah fitrahnya. Ada yang buat-buat pandai, tetapi tidak pandai pun. Ada yang buat-buat garang, supaya orang takut dengannya.
Ada yang kelihatan menyom­bong diri kerana menganggap dia sedang berkuasa. Ada yang baharu dapat kuasa, tetapi sudah ingat semua orang tidak betul. (Orang macam ini, akan sentiasa ditertawakan sahaja).
Ada yang takut untuk bergaul dengan orang lain, kerana mungkin orang lain itu tidak di­sukai oleh penguasanya. Ke­rana jika kelihatan bergaul de­ngan orang lain itu, maka dia juga akan menerima nasib malang.
Putaran fitrah sifat ini akan berterusan. Ia adalah lumrah. Manusia bukan sempurna. Du­nia ini juga bukan sempurna. Ada pasang dan surutnya. Yang sempurna hanyalah di sana, akhirat jua akhir sudahnya.
Sebagai manusia hidup kita cukup pendek. Bila-bila masa kita boleh pergi. Tabiat itu akan ada bila-bila dan di mana-mana. Waima dalam office atau di alam rumah tangga sekali pun.
Ah, lupakan politik itu. Tak perlu dendam-dendam. Petik kata-kata ulama besar Nusantara, Bapak Hamka: “Aku tak pernah dendam kepada orang yang pernah menyakitiku. Dendam itu termasuk dosa...”
Hubaya-hubaya, mudah-mudahan Allah melimpahi rahmat kepada kita semua.
Hidup mesti gembira, biar mereka yang gelisah...