Menurut laporan, kawasan tanah seluas 29 kilometer radius di sekitar loji nuklear Chernobyl menjadi tandus dan tidak boleh digunakan untuk apa-apa tujuan sehingga 150 tahun akibat pencemaran radioaktif.
Di Fukushima, Jepun, pada Mac 2011, gempa bumi menyebabkan berlakunya tsunami sehingga 15 meter, mengakibatkan bekalan elektrik terputus dan operasi menyejukkan reaktor di loji tenaga elektrik Fukushima terhenti.
Kemalangan yang diakibatkan oleh tsunami itu juga menyaksikan berlakunya kebocoran radioaktif. Menurut laporan, walaupun tiada sebarang kematian atau mereka yang terkena penyakit akibat radiasi, kerajaan Jepun terpaksa memindahkan lebih 100,000 penduduk di sekitar loji jana kuasa terbabit daripada kediaman masing-masing.
Di Malaysia, pembukaan kilang pengeluaran nadir bumi, Lynas di Gebeng, Kuantan pada September 2011 turut mendapat tentangan umum kerana khuatir mengenai kemungkinan berlakunya pencemaran radiasi.
Namun tentangan ini dilihat lebih bermotifkan politik walaupun pihak syarikat telah mengambil semua langkah perlu serta mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan kerajaan dan badan pemantau tenaga nuklear antarabangsa.
“Sebenarnya kita perlu mendi­dik masyarakat di negara ini supaya mendapatkan laporan daripada sumber yang sah dan pakar dalam bidang masing-masing berhubung isu yang sensitif, umpamanya nuklear. Mempercayai sesuatu maklumat daripada sumber yang tidak sahih dan orang yang bukan pakar akan mengakibatkan kecelaruan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC), Mohd. Zamzam Jaafar.
Menurut beliau, hanya dengan memperoleh pandangan yang tepat daripada pakar dalam bidangnya, isu persepsi negatif berhubung penggunaan nuklear untuk apa juga tujuan dapat di atasi.
MNPC ditubuhkan pada Januari 2011, bertujuan menerajui dan menyelaras pelaksanaan program pembangunan tenaga nuklear untuk Malaysia dan mengambil langkah perlu bagi membangunkan loji tenaga nuklear pertama di Malaysia.
MNPC juga berperanan memastikan pembangunan infrastruktur nuklear di Malaysia selari dengan garis panduan Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa (IAEA) yang antara lain merangkumi soal keselamatan nuklear, pengurusan, pembiayaan kewangan, kerangka undang-undang, kese­lamatan, pembangunan sumber manusia, pengurusan sisa radioaktif serta semua aspek berkaitan.
Pada masa sama, MNPC juga berperanan mengenal pasti syarikat atau special purpose vehicle (SPV) untuk menjadi pemilik atau pengen­dali loji tenaga nuklear itu.
Kewujudan MNPC sebagai orga­nisasi pelaksana program tenaga nuklear (NEPIO) diasaskan atas cadangan yang dikemukakan oleh IAEA.
Mohd. Zamzam berkata, berge­rak ke arah apa yang dihasratkan oleh kerajaan, MNPC melakukan banyak kerja asas bagi memboleh­kan hasrat membina loji tenaga nuklear pertama ini dibangunkan.
Katanya, sekumpulan 12 pakar daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akan berada di Malaysia dari 12 hingga 17 Oktober untuk menjalankan kajian berhubung kesediaan Malaysia mengendalikan isu-isu berhubung pembangunan nuklear.
Ini adalah kali pertama pakar-pakar IAEA dari ibu pejabat di Vienna berkunjung dan menjalankan kajian terhadap kesediaan Malaysia mengendalikan pembangunan nuklear. Hasil kajian akan hanya diumumkan menjelang akhir tahun ini.
Menurut beliau, membina loji janakuasa nuklear mengambil masa yang lama kerana banyak aspek yang perlu diambil kira.
“Umpamanya jika kita menandatangani persetujuan membina­nya hari ini, loji itu akan hanya siap pada 2030,” jelas beliau sambil mengambil contoh di Bangladesh, perancang­an membina loji tenaga nuklear dibuat pada 1960-an dan kini masih dalam proses pembinaan.
Di Malaysia, katanya, kerajaan masih belum mengenal pasti lokasi di Semenanjung yang sesuai untuk dibina loji yang dicadangkan.
Pada masa sama, jelas beliau, undang-undang khusus juga masih belum dibentangkan di Parlimen, selain undang-undang dan peraturan sedia ada berkaitan pengendalian nuklear memerlukan pindaan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.
Isu pemilihan lokasi adalah sesuatu yang sensitif, katanya, sambil menganggarkan kawasan seluas 40 hektar mungkin diperlukan untuk membina loji tenaga nuklear pertama yang mampu menjana 1,000 kilowatt elektrik.
Anggaran kos membina loji ini yang dibuat pada 2010 iaitu RM21.3 bilion dijangka meningkat berlipat kali ganda ekoran kenaikan kadar tukaran asing sekarang.
“Membina loji tenaga nuklear ini memang memerlukan kos yang besar tetapi mengendalikan loji tidak memerlukan kewangan yang tinggi,” kata Mohd. Zamzam.
Di Malaysia ketika ini masing-masing 45 peratus tenaga elektrik dijana oleh loji arang batu dan gas manakala 10 peratus lagi loji hidro. Loji nuklear akan mengambil alih keperluan tenaga tambahan pada masa akan datang.
Loji tenaga nuklear juga tidak mengeluarkan gas karbon dioksida yang memberi kesan terhadap alam sekitar berbanding loji gas dan arang batu.
Pada masa sama, bekalan gas dan arang batu juga dijangka berkurang­an atau habis dalam masa beberapa dekad akan datang dan sumber alternatif mendapatkan bekalan elektrik ialah melalui penggunaan loji tenaga nuklear.
Di rantau ini, selain Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam turut berusaha ke arah membina loji tenaga nuklear masing-masing melalui teknologi yang diperoleh dari Amerika Syarikat, Rusia, China dan Korea Selatan.