Saturday, October 15, 2016

Selamatkan aset umat Melayu Islam



Selamatkan aset umat Melayu Islam


  2  1 Google +1
KUB Malaysia Bhd. (KUB) mahu lupus aset RM30 juta? (UTUSANBIZ 23 Mei 2016). Jika benar kepada siapa aset itu maju dijual? Banyak persoalan yang timbul, apabila banyak aset syarikat-syarikat milik GLC atau Melayu mahu dilupuskan bagi memberi kecairan kepada syarikat. Kebanyakan syarikat yang bertindak begitu sudah tentu sedang menghadapi masalah kewangan dan tunai.
Persoalannya, sekiranya syarikat itu dimiliki oleh syarikat Melayu (yang sememangnya sudah kecil pegangannya dalam bancian nasional), kepada siapa aset-aset itu mahu dijual?
Baru-baru ini riuh apabila syarikat perkapalan gergasi negara MISC juga dikatakan jatuh ke tangan orang lain, setelah sekian lama menjadi syarikat milik negara kepunyaan Petronas. Jika benar-benar berlaku maka amat malang lagilah umat Melayu negara ini. Dua tahun lalu 2014, Cuit ada menulis mengenai bagaimana kawasan Sentul, Jalan Bukit Bintang jatuh ke tangan orang lain.
Begini tajuk kisah itu: Yap Ah Loy moden. Benarkah YTL kuasai Jalan Bukit Bintang dan Sentul?
ISU mengenai YTL dan Francis Yeoh Sock Ping, cukup hangat sekali. Apabila dia bercakap secara terbuka dalam satu forum mengenai “kroni kapitalisme di Malaysia harus dihapuskan” - maka orang berkata, tahi sudah terpercik ke mukanya sendiri. Kumpulan YTL dan Francis diumpamakan sebagai kacang lupakan kulit, seorang yang lupa daratan dan bermacam-macam.
Memang benarlah, ramai yang tahu mengenai asal-usul YTL. Jika bukan kerana bantuan kerajaan ia hanyalah sebuah syarikat pembinaan berstatus Sdn. Bhd. yang mungkin sekarang ini sudah hilang. Tapi YTL masih hidup dan kini cukup mewah. Ia mewah, hanya lebih dua dekad ini, di atas anugerah kerajaan dan di atas penderitaan syarikat-syarikat milik orang Melayu lain, yang kononnya mahu di­selamatkannya semasa krisis ekonomi dahulu.
Francis dalam forum itu cuba menafikan Tun Dr. Mahathir Mohamadlah yang membuka jalan untuk beliau mendapat kontrak tenaga IPP sehingga mengkayakannya sehingga ke hari ini. Dia mendakwa, kejayaannya adalah hasil inovasi syarikatnya. (Baca lagi: http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/crony-capitalism-in-malaysia-has-to-go-son-of-ytl-founder-says)
Setelah kenyataannya menjadi panas, Francis kemudian memohon maaf di atas kenyataannya itu. YTL sebenar cukup licik. Ia juga membuat namanya dengan membuat belian ke atas aset-aset tenat akibat krisis kewangan Asia, seperti pusat beli-belah Lot 10, di tengah-tengah Segitiga Emas, daripada Datuk Sulaiman Abdul Manan, pemilik Taiping Consolidated Bhd. pada 1998. Ekoran pembelian itu YTL menguasai hartanah di sekitar Bukit Bintang dan Sentul. Taiping Consolidated kemudian ditukar nama menjadi YTL Land & Development. (Baca lagi:http://www.theedgemalaysia.com/features/153046--cover-story-all-the-cash-but-nothing-to-buy.html)
Satu panggilan saya terima daripada seorang ahli perniagaan Melayu yang berjaya, marah-marah dengan sikap Francis itu. Dia kata, dia hairan apakah YTL terlalu menguasai sejumlah besar kawasan Bukit Bintang termasuk Jalan Bukit Bintang dan di kawasan-kawasan Sentul?
Minta DBKL jelaskan benarkah kawasan-kawasan itu YTL yang punya? Apakah kuasa DBKL juga amat terhad di dalam kawasan Bukit Bintang? Ia seolah-olah seperti wilayah penguasaan YTL dan keluarga Francis? Benarkah Bukit Bintang dipenuhi dengan rumah-rumah urut milik pendatang Cina dari China? Berapa peratus kawasan itu diberi ruang untuk Melayu berniaga? Di Sentul, kawasan-kawasan kampung semakin lenyap dan diganti dengan projek pembangunan milik YTL. Siapa yang mampu beli semua hartanah di situ? Ke mana perginya orang asal di situ?
Katanya lagi, apakah YTL kini dikenali sebagai Yap Ah Loy moden Kuala Lumpur? Berkuasa sangatkah dia? Pemanggil itu menasihati lagi, kita semua dan pihak berkuasa harus terus memantau kegiatan mereka ini.
Itu kisah dahulu. Sudah menjadi sejarah. Hakikatnya orang Melayu hilang pegangan mereka di kawasan itu.
Tujuan saya menulis berkisar kepada soal ini adalah kerana saya menerima panggilan telefon daripada seorang sahabat baru-baru ini.
“Zaini saya mendapat tahu sebuah syarikat gergasi GLC, yang diterajui oleh orang kita kini mulai menjual aset-aset mereka kepada syarikat gergasi bukan Melayu. Malah bangunan mereka di Subang Jaya kini sudah dijual kepada syarikat bukan Melayu dan malangnya mereka menyewa semula kepada syarikat bukan Melayu itu. Apa sudah jadi?”
Persoalannya lagi, mengapa aset-aset yang mahu dilupuskan itu tidak dijual kepada orang Melayu. Tidak adakah badan-badan wakaf korporat Melayu atau GLC negeri-negeri yang mampu membelinya? JCorp adalah sebuah syarikat milik kerajaan negeri yang sedang membina empayarnya, mengapa tidak ditawarkan kepada mereka?
Mengapa kerajaan-kerajaan negeri tidak menubuhkan perbadanan wakaf korporatnya sendiri bagi mengambil alih syarikat-syarikat milik orang Melayu yang tenat, tetapi berpotensi? Ayuh, bangkitlah orang Melayu. Perkasakan instrumen wakaf milik orang Islam ini. Jangan disabotaj usaha kita untuk menguasai tanah-tanah bernilai tinggi di negara ini. Kita jangan termakan dengan permainan licik orang lain.
Tertarik saya dengan tulisan ini, untuk kita renungkan:
“Sepatutnya, kita harus menganggap peruntukan tanah di TRX, TUDM Sungai Besi dan Sungai Buloh untuk 1MDB sebagai satu bentuk ‘nasionalisasi’ daripada hartanah utama yang bernilai tinggi di dalam dunia.
Anda patut sedar, ia dilakukan untuk melindungi aset-aset utama daripada jatuh ke tangan rakyat Singapura, China, Arab, Jepun, Korea dan Cina tempatan kerana mereka mempunyai wang dan links serta connection yang besar dalam bisnes global.
Lihat sahaja bagaimana YTL mengubah Jalan Bukit Bintang dari daerah lampu merah kotor ke dalam pelancongan yang sibuk dan kawasan membeli-belah utama. Bolehkah agaknya pada masa itu, orang Melayu mengubah ta-nah Sekolah Perempuan Bukit Bintang kepada Pavilion?
Lot 10 pada asalnya dimiliki oleh Datuk Sulaiman Manan (Mayang Sari) di mana Taiping Consolidated dan YTL telah mengambil alih. Harta itu walaupun dalam tangan orang Melayu tetapi tidak kekal lama. Kerana Dr. Mahathir yang membenarkan ia dijual kepada bukan Melayu kerana Dr. Mahathir percaya orang Melayu tidak mempunyai sumber kewa-ngan untuk membuat Lot 10 yang akan menguntungkan.
Itu dahulu, ya orang Cina sahaja boleh kerana mereka punya wang. Hari ini, TH Properties (THP) dan banyak lagi GLC mampu membina bandar-bandar baharu dan shopping complexs mega. Contoh lain, Menara Angkasa Raya sebelah KLCC dimiliki asalnya oleh orang Melayu. Ia tidak sepatutnya dijual kepada Sunrise. Terdapat banyak tanah bernilai tinggi dianugerahkan kepada orang Mela-yu, tetapi akhirnya terpaksa dijual kepada orang lain kerana kelemahan kewangan ketika itu.
Jadi sekarang, apabila kerajaan menganugerahi TH untuk membangunkan TRX menjadi daerah kewangan khususnya untuk kemajuan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia, malangnya ada orang Melayu yang busuk hati yang bukan ahli ekonomi pun, dan malangnya anda terpedaya dengan gorengan mentah dia! (Akhirnya kini, dikuasai oleh syarikat Indonesia).
Orang lain sangat bijak, mereka berdiam diri kerana mereka hanya perlu menunggu TH Properties dimalukan dan kalah kepada fitnah pembangkang, kemudiannya mereka akan cepat-cepat membelinya. Apa pun, kita akui akan kelemahan mengurus isu ini oleh pihak TH. Sepatutnya mereka tidak perlu kelam-kabut dengan desakan pembangkang itu, sepatutnya mereka berterus-terang dan mendedahkan faedahnya.
Begitulah keadaan yang menyedihkan hal ehwal orang Melayu dan umat Islam di Malaysia. Mereka menggalakkan kebencian dalam kalangan mereka sendiri dan bukannya menyokong program yang hanya boleh memastikan kuasa ekonomi Melayu dan Islam dalam persekitaran global yang kompetitif”.






Sultan Nazrin,Istana Iskandariah dan Ramadan kali ini



Sultan Nazrin,Istana Iskandariah dan Ramadan kali ini

  4  0 Google +0
DI meja panjang inilah ruang bicara Sultan Nazrin dan tetamu khas
DI meja panjang inilah ruang bicara Sultan Nazrin dan tetamu khas baginda berlangsung melepasi tengah malam Sabtu lalu.
TIGA tahun berturut-turut saya menerima undangan berbuka puasa di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Dengan rela hati saya memenuhi undangan itu. Ini adalah satu penghormatan. Perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Kangsar, yang terkenal dengan jolokan ‘Kuale’ semasa PRK baru-baru ini, mengambil masa lebih kurang dua jam setengah. Ada antaranya saya bermalam di bandar diraja itu. Di atas Bukit Chandan terletak rumah rehat yang kini namanya bertukar setelah diuruskan oleh sebuah hotel milik kerajaan negeri, Casuarina.
Tahun ini, seperti tahun-tahun lalu kami hadir sebagai tetamu bagi orang media. Ada juga dalam kumpulan itu kumpulan NGO dan wakil-wakil dari universiti. Apa yang saya tunggu-tunggu bukanlah majlis berbuka puasa yang kali ini menu makan malamnya sambal tumis ikan masin, kurma kambing, pajeri nanas, masakan wajib rendang tok serta pembasuh mulut tau foo fah dan sirap cincau -- tetapi ialah acara selepas moreh.
Itu adalah amalan setiap tahun, apabila Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah akan menerima menghadap te­tamu khasnya untuk bertukar-tukar pandangan. Baginda akan duduk di tengah-tengah barisan meja panjang dan dikelilingi oleh -- kami ini termasuk para negarawan yang senior, editor-editor media, ahli korporat dan rakan-rakan rapat.
Kali ini tetamu baginda cukup besar. Sebelum ini mungkin satu atau dua meja panjang sahaja bersambung, tetapi kali ini, pada pandangan saya, tiga meja panjang yang disambung.
Namun perbincangan masih lagi rancak.
“Brexit macam mana?” Buka bicara Tuanku. Tan Sri Azman Mokhtar menyambut. Perbincangan dise­lang-seli dengan gelak ketawa. Disampuk oleh ‘the learned elders’ bijak-bijak pandai negara yang lain termasuk Tan Sri Arshad Ayub, Tan Sri Wan Zahid Noordin dan Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali.
Baginda juga bercerita mengenai kisahnya ke Terumbu Layang-La­yang dan kemudian menaiki kapal selam. “Cukup hebat pengalaman itu. Kami menyelam sedalam 1,000 kaki.” Baginda turut bercerita me­ngenai situasi perebutan di kawasan terumbu tersebut. Baginda lazim­nya akan bermula dengan isu antarabangsa, konflik serantau sebelum ke isu dalam negara.
Bagi saya itu adalah detik-detik yang cukup mengujakan bagaimana seorang Sultan, dulu seorang Raja Muda, mahu bercerita, mahu berkongsi maklumat dengan kami semua. Saya masih ingat, Ramadan tahun lepas perbincangan kami le­bih ‘panas’ termasuk mendalami isu semasa negara -- mungkin lebih terbuka, berterus-terang kerana kumpulannya lebih kecil.
Itulah Sultan Nazrin Shah. Sultan yang bukan bercakap soal yang ‘bukan-bukan’ atau yang terlalu ceremonial, makan-sembah-dan berangkat, tetapi lebih daripada itu.
Baginda mencerminkan keintelektualan sebagai seorang raja Melayu berdaulat yang amat dihormati, bukan digeruni atau dipersenda. Ba­ginda mahu kami semua berkongsi dengan beliau. Bagi orang media, lebih teruja kerana isu yang dilontarkan baginda cukup juicy, first hand dan cukup eksklusif. Cerita-cerita belakang tabir, yang sekadar cetusan perbincangan untuk simpanan dalam minda semata.
“Pandangan Utusan pula macam mana dalam hal ini...” tanya bagin­da kepada saya pada pertemuan tahun lepas. Pada masa itu isunya lain sedikit.
Kami bercakap. Kami bersembang. Kami berbahas dengan cukup terbuka, seolah-olah tiada jurang antara rakyat dan raja. Baginda cukup arif bahawa inilah ruang bicara yang sepatutnya ada antara kedua-duanya.
Baginda turut bertanya mengenai sejauh mana seriusnya gejala ISIS di negara ini. Tiba-tiba masing-masing menuding ke arah Tan Sri Rastam Mohd. Isa. “Itu dia Chairman ISIS”. Masing-masing ketawa. Rastam ialah Pengerusi dan CEO Institut Kajian Strategik Antarabangsa Malaysia yang singkatannya kebetulan sama dengan Islamic State atau ISIS.
“Cukup serius jika tidak diben­dung,” kata Rastam yang kemudian perbincangan tertumpu kepada isu itu. Isu pekerja asing dibincangkan dengan cukup luas Ramadan ini. Mengapa terlalu banyak pekerja asing di negara ini? Di mana pula rakyat kita?
Mengapa sektor pembinaan mengambil terlalu banyak pekerja asing dengan rata-ratanya dibayar gaji minimum -- tetapi ironinya rumah dijual dengan jangkauan ratusan sehingga jutaan harga yang sukar difikirkan.
Adakah gejala rasuah berlaku, ketidakcekapan pihak berkuasa dan lain-lain hal yang masih mencengkam permasalahan sistem kita? Adakah juga soal ketamakan pemaju me­ngaut keuntungan berlebihan antara puncanya? Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin turut mencelah. Ba­ginda nampaknya cukup mengambil serius berkenaan isu ini.
Bagaimana negara jiran kita Indonesia kini berkembang pesat dan berjaya menumpukan kepada permasalah­an domestik dengan baik -- sehingga Presiden Jokowi mampu mengambil isu-isu mikro termasuk sanggup mengkaramkan mana-mana kapal nelayan yang mencerobohi lautannya.
Itulah meja panjang dalam Istana Iskandariah berbicara. Bermula kira-kira jam 10.45 malam, ia berakhir tepat jam 12.30 tengah malam. Agak awal berbanding Ramadan 2015, apabila ia berakhir melepasi 1 pagi. Menyebabkan saya terpaksa bermalam di sebuah motel di Kuale.
“Sayangnya banyak lagi soalan yang saya nak tanya dengan Tuanku, tak sempat...” keluh sahabat media saya, Datuk Seri Azman Ujang.
Antara soalannya yang tidak terjawab mungkin sehingga Disember ini ialah, “siapakah yang akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu...” Terasa juga kehilangan suara-suara garau Tan Sri Abdullah Ahmad yang kembali ke Rahmatullah baru-baru ini. Allahyarham semasa usianya adalah ‘anggota tetap’ meja panjang itu. Al-Fatihah.
Cukup berbaloi berbuka puasa di Istana Iskandariah. Sebagai penulis, orang suratkhabar selama 27 tahun itulah kepuasannya. Selama ini kami digauli oleh orang politik, orang kerajaan dan pelbagai lagi. Dan apabila orang Istana sanggup mencemar duli berborak dengan kami -- itu satu penghormatan yang tiada kata-kata yang boleh diungkap­kan.
Menjunjung kasih (sekali lagi) Tuanku!







Apa jadi RUU Syariah, Hadi, Jamil, Azalina dan BN?



Apa jadi RUU Syariah, Hadi, Jamil, Azalina dan BN?

CUIT

  1  0 Google +0
ABDUL HADI AWANG dikerumuni wartawan selepas membentangkan rang
ABDUL HADI AWANG dikerumuni wartawan selepas membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat, 26 Mei lalu. UTUSAN/Halim Khalid
BEBERAPA hari lalu kecoh politik BN dan negara apabila Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat precedents membentangkan rang undang-undang persendirian - buat pertama kali dalam sejarah berparlimen negara ini.
Sebelum ini tidak ada private bill pihak pembangkang yang diberi laluan oleh Speaker untuk dibentangkan.
Rang undang-undang (RUU) itu membabitkan hal ehwal syariah dan undang-undang Islam.
Apa sebenarnya berlaku? Me­ngapa menteri yang bertanggungjawab dengan agama iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak berada di Parlimen semasa usul itu mahu dibangkitkan? Yang ada ialah menteri yang menjaga urusan Parlimen iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said. Azali­na pula dilaporkan bangun dan memberi laluan supaya usul itu dibaca.
Saya diberitahu “banyak yang tidak sepatutnya berlaku, berlaku pada hari itu”.
Jika Dewan Tertinggi BN dimaklumkan mengenai pembentang rang undang-undang persendirian itu, sudah tentulah presiden-presiden parti komponen BN tidak melenting sehingga mahu berhenti daripada jawatan menteri dan keluar daripada BN.
Kecohlah juga sebentar, walaupun kemudian kendur apabila komponen parti berkata rang undang-undang ini tidak membabitkan “hudud” sebaliknya soal pengukuhan institusi mahkamah syariah.
Saya difahamkan Jamil Khir telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memaklumkan yang Kerajaan Pusat telah membincangkan mengenai soal menambah baik mahkamah syariah sejak 2004 lagi - “namun dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan”.
Ini bermakna usul itu tidak lebih daripada itu sebagaimana perjuangan Pas tersebut.
Yang saya tidak faham mengapa Jamil Khir sendiri tidak membentangkan rang undang-undang itu, sebaliknya “memberi laluan” kepada Hadi membentangkan RUU peribadinya pula?
Apakah ada “perhitungan tak­tikal” yang kita tak nampak? Adakah mahu mengambil hati Hadi dan Pas dan menempelak fraksi pakatan pembangkang? Lebih-lebih lagi ada dua PRK yang akan berlangsung tidak lama lagi?
Tetapi perbincangan saya hari ini ialah membabitkan tentang sikap dan kelakuan rakan-rakan komponen BN yang ‘melompat’ tak tentu fasal sehingga mengancam mahu keluar parti membabitkan soal agama Islam kita yang mulia ini?
Dalam Facebook semasa membincangkan isu ini saya ada me­nulis, “aku dah agak...”
Pendek saja, yang membawa maksud sikap mereka sanggup mengetepikan kawan dalam hal-hal yang membabitkan soal agama Islam dan Melayu.
Akibat kenyataan Presiden MCA, Gerakan, MIC, serta komponen Sabah maka orang Melayu Islam menggunakan laman sosial media untuk mencabar anggota komponen BN itu supaya keluar daripada barisan.
Terlalu panas hujahan mereka. Terlalu kasar bahasa yang digunakan.
Ada juga penyokong pembangkang yang menangguk di air keruh turut mencabar pre­siden parti-parti komponen BN itu mengotakan kata-kata mereka.
Nampaknya, percaturan taktikal itu, jika benarlah ia berlaku, tersasar jauh. Peluru yang ditembak tidak mengena sasaran sebaliknya melenting semula ke muka si penembak.
Hadi tidak bersalah dalam isu ini. Saya yakin rang undang-undang itu tidak akan diluluskan pun dan sampai untuk bacaan kali kedua. Kerana jika masuk ke fasa bacaan kali kedua, maka ia akan menjadi rang undang-undang kerajaan.
Walau apa pun, isu ini haruslah diuruskan secara strategik.
Mungkin Jamil Khir boleh jelaskan juga. Janganlah bagi jadi kelam-kelibut, kata orang Kedah.







CUIT - ZAINI HASSAN







- 170816 - Dunia ini pinjam - pinjaman, akhirat jua akhir sudahnya ...

- 290616 - Sultan Nazrin, Istana Iskandariah dan Ramadzan kali ini ...

- 010616 - Apa jadi RUU Syariah, Hadi, Jamil, Azalina dan BN?

- 250516 - Selamat aset umat Melayu Islam





























Dunia ini pinjam-pinjaman, akhirat jua akhir sudahnya...



Dunia ini pinjam-pinjaman, akhirat jua akhir sudahnya...

CUIT

  5  0 Google +0
RENCANA ini sengaja diberikan tajuk seperti di atas. Kerana itu adalah hakikat. Hakikat kehidupan. Kita ke tepi dahulu soal kegawatan duniawi yang bergolak sekarang.
Dunia sekarang sedang bergoncang sangat - dengan soal Daesh atau IS lah, soal sebuah demi sebuah negara Islam cuba diranapkan, soal demo tak cukup makan rakyat Brazil semasa Olimpik Rio, soal negara Palestin yang masih dinafikan hak kemerdekaan, soal pe­rebutan kuasa bakal Presiden Amerika Syarikat - yang cukup terbuka debatnya, soal rebutan Laut China Selatan, perang dingin era baharu USA-China; sehinggalah soal dalaman Malaysia.
Teringat saya kegawatan semasa tahun-tahun 60-an dan 70-an dahulu, Perang Vietnam, orang hanyut, perang dingin Soviet-USA, isu kesaksamaan warna kulit putih dan hitam, budaya kuning hippies, rolling stone dan revolusi seksual, tunjuk perasaan sana-sini; sehinggalah kegelisahan kaum atau racial unrest 13 Mei 1969 di negara ini.
Bagi saya ini adalah satu pengimbangan equilibrium se­jagat yang berlaku. Ia akan berlaku dari semasa ke semasa sehinggalah akhir zaman. Biarkanlah.
Begitu juga dengan manusia yang bernyawa ini. Ada pasang dan surutnya.
Bukan semua orang akan dijulang selama-lamanya. Ada yang akan jatuh akhirnya, dan tersungkur. Ada yang dilupakan terus, dipadamkan, ‘dipetisejukkan’ - tak dipeduli. Maka, tiada siapa pun selepas itu akan mengingati jasa-jasa yang dilakukan.
Semasa berkuasa dan berada di atas kerusi kuasa sama ada dalam perusahaan, syarikat, pejabat, institusi atau politik semua akan dipuja dan disanjung.
Ada yang bernasib baik ke­rana semasa berkuasa dia pandai membawa diri. Namun, ada yang tidak pandai bermuka-muka, mungkin kerana dia jenis yang berterus-terang. Ada yang muka tebal dan ada yang muka nipis.
Ada yang hipokrit mahu menjaga kedudukannya. Ada yang terlalu lantang, kritikal kerana katanya itu adalah betul. Ada yang berpendirian seperti ular air, ada yang berpendirian seperti tembok batu. Ada yang mahu cepat kaya. Kuat main silap mata. Tak kisah apa yang berlaku, asalkan aku senang - aku kaya - aku hidup mewah.
Itu pasal junjungan besar Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tanda orang munafik ada tiga: Apabila berbicara dia dusta; apabila berjanji dia mungkiri; dan apabila diberi amanah dia khianati.”
Apa-apa pun itulah manusia. Selagi dinamakan manusia, itulah fitrahnya. Ada yang buat-buat pandai, tetapi tidak pandai pun. Ada yang buat-buat garang, supaya orang takut dengannya.
Ada yang kelihatan menyom­bong diri kerana menganggap dia sedang berkuasa. Ada yang baharu dapat kuasa, tetapi sudah ingat semua orang tidak betul. (Orang macam ini, akan sentiasa ditertawakan sahaja).
Ada yang takut untuk bergaul dengan orang lain, kerana mungkin orang lain itu tidak di­sukai oleh penguasanya. Ke­rana jika kelihatan bergaul de­ngan orang lain itu, maka dia juga akan menerima nasib malang.
Putaran fitrah sifat ini akan berterusan. Ia adalah lumrah. Manusia bukan sempurna. Du­nia ini juga bukan sempurna. Ada pasang dan surutnya. Yang sempurna hanyalah di sana, akhirat jua akhir sudahnya.
Sebagai manusia hidup kita cukup pendek. Bila-bila masa kita boleh pergi. Tabiat itu akan ada bila-bila dan di mana-mana. Waima dalam office atau di alam rumah tangga sekali pun.
Ah, lupakan politik itu. Tak perlu dendam-dendam. Petik kata-kata ulama besar Nusantara, Bapak Hamka: “Aku tak pernah dendam kepada orang yang pernah menyakitiku. Dendam itu termasuk dosa...”
Hubaya-hubaya, mudah-mudahan Allah melimpahi rahmat kepada kita semua.
Hidup mesti gembira, biar mereka yang gelisah...