Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perjuangan untuk membina masa depan negara yang lebih gemilang perlu diteruskan dan tidak seharusnya berhenti setakat ini sahaja.
‘‘Jangan jatuhkan negara kerana kita ada peluang untuk membangunkan Malaysia yang lebih baik pada masa depan.
‘‘Kita akan teruskan perjalanan ini dan berjuang bersama-sama. Saya yakin banyak perkara hebat akan berlaku jika kita berganding bahu,’’ katanya ketika melancarkan Kumpulan Masa Depan TN50 (Transformasi Nasional 2050) dan memperkenalkan logo TN50 di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan timbalannya, Datuk M.Saravanan serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.


 Dialog TN50 kini melangkah ke fasa kedua dengan pelancaran Kumpulan Masa Depan TN50 itu.
Menurut Najib, aspirasi-aspirasi yang disuarakan melalui Dialog TN50 juga tidak perlu menunggu sehingga 2050 untuk dilaksanakan.
‘‘Kita kena laksanakannya bermula dari sekarang kerana proses untuk membina masa depan kini telah bermula.
‘‘Sebagai contoh, projek Transit Aliran Massa (MRT) fasa pertama telah siap, projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) juga akan siap dan semua ini adalah untuk menyediakan masa depan terbaik untuk rakyat,’’ katanya.
Tambah Najib, beliau teruja menyaksikan perjalanan TN50 yang merupakan sebuah idea untuk membina masa depan untuk golongan muda kini diterjemahkan menjadi agenda negara.
‘‘Apa yang dimulakan sebagai idea kini telah menjadi agenda negara yang mana menjadi tugas orang muda untuk menterjemah masa depan yang mereka mahukan.
‘‘Malah, aspirasi daripada rakyat untuk rakyat melalui TN50 ini juga bakal menjadi dasar negara satu hari nanti,’’ katanya.