Jangan abai sakit bahu
JANGAN abaikan atau memandang remeh jika mengalami sakit bahu. Masalah ini kerap dihadapi mereka yang bekerja keras, atlet atau buruh kasar.
Mengangkat berat dan melakukan kerja-kerja yang memerlukan sepenuh tenaga terutama pada bahagian bahu mungkin boleh menyebabkan mereka mengalami masalah ini.
Mungkin pada masa muda sakitnya tidak akan terasa, tetapi semakin berusia, sakit yang dirasai semakin bertambah sehingga tangan sukar hendak digerakkan atau dipusingkan.
Perunding Ortopedik Hospital Pantai Cheras, Dr. R.G. Sivalingam berkata, pesakit yang mengalami masalah seperti ini biasanya disebabkan oleh urat pada bahu (rotator cuff) terkoyak kerana faktor usia.
Sebab itu, masalah ini lebih banyak dan ketara dialami warga emas. Bagi menghilangkan kesakitan yang dialami pesakit, pembedahan superior kapsular rekonstruktif akan dilakukan.
Menurut Dr. Sivalingam, bukan semua orang yang mendapat masalah ini dan biasanya yang menghidapinya ialah mereka yang bekerja mengikut cara manual seperti menoreh getah, petani, mencuci kain dan sebagainya.
Katanya, tiada golongan spesifik kerana baik lelaki mahupun perempuan berisiko mengalami masalah ini. Kebiasaannya mereka yang berumur di antara 50 tahun hingga 60 tahun.
Pembedahan yang dilakukan ke atas golongan yang berusia pula memerlukan kos yang tinggi, berisiko dan lebih rumit.
“Apabila urat pada bahu terkoyak, tiada lagi tisu perantara antara tulang kipas dengan tulang lengan. Tulang lengan akan menjadi botak apabila tisu terkoyak.
“Ini akan menyebabkan tulang kipas (acromion) dan tulang lengan berlaga atau bergesel dan menyebabkan kesakitan. Simptom biasa yang akan dialami pesakit ialah mereka tidak boleh tidur mengiring pada bahagian bahu tersebut.
“Rasa sakit akan dirasai bermula dengan lenguh menyebabkan pesakit kerap terjaga pada waktu malam. Apabila penyakit bertambah teruk, mereka tidak boleh tidur langsung.
“Sebaik-baiknya datang awal berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Doktor akan memeriksa dan berkemungkinan boleh dirawat semula urat ini. Bagaimanapun jika lewat berjumpa doktor pesakit mungkin memerlukan pembedahan superior kapsular rekonstruksi.
“Enam tahun lalu, Malaysia dan negara-negara luar cuma mempunyai kepakaran pembedahan pertukaran sendi atau reverse shoulder replacement, tetapi masalahnya kaedah ini cuma bertahan selama lapan hingga 10 tahun sahaja,” katanya semasa ditemui di Hospital Pantai Cheras baru-baru ini.
Tambahnya, bagi pesakit yang masih muda dan banyak menggunakan pergerakan pada tulang lengan, pembedahan yang telah dibuat tidak dapat bertahan lama.
Menjelaskan mengenai pembedahan superior kapsular rekonstruktif ini, kata Dr. Sivalingam, pembedahan ini sudah mula dilakukan pada tahun 2014.
Pembedahan pertama berjaya dijalankan oleh Dr. Mihata dari Universiti Osaka, Jepun.
Setakat dari tahun 2007 hingga 2009 seramai 24 orang pesakit sudah dibedah. Ini menunjukkan pembedahan superior kapsular rekonstruktif ini sangat berjaya dan menjimatkan kos berbanding pembedahan pertukaran sendi.
Menurut beliau, kejayaan pembedahan ini sudah mula diterima masyarakat Malaysia sejak 2015.
Pembedahan pertama yang dilakukan di Hospital Kuala Lumpur menunjukkan kejayaan yang membanggakan apabila pesakit tersebut sudah boleh mengangkat tangan selepas enam bulan dibedah.
Dr. Sivalingam, yang setakat ini sudah melakukan enam pembedahan serupa di HKL berkata, pembedahan yang dilakukan menggunakan prosedur arthroskopi, melalui kamera.
Doktor akan menebuk empat atau lima lubang pada tempat yang hendak dibedah. Tisu yang koyak akan digantikan dengan dermal tisu daripada penderma tisu.
Satu lagi cara lain ialah dengan mengambil tisu fascialata daripada paha pesakit. Tisu fascialata akan dijahit pada tulang yang botak itu.
Pembedahan yang dilakukan di hospital kerajaan dengan menggunakan tisu penderma menelan kos sehingga RM25,000, tetapi jika dilakukan di hospital swasta kosnya ialah dua kali ganda, iaitu kira-kira RM50,000.
“Kebaikan pembedahan yang mengambil masa selama tiga jam ini ialah pesakit tidak berasa sakit. Jika ada jangkitan kuman pun tidak sampai satu peratus. Tempoh sembuh pula mengambil masa selama tiga minggu dengan pesakit perlu memakai anduh.
“Dalam tempoh tersebut pesakit hanya boleh melakukan gerakan tangan kepak ayam antara 70 hingga 90 darjah sahaja.
“Pergerakan pusing hanya dapat dilakukan selepas tiga minggu. Pada awalnya pergerakan pusing dilakukan dengan mengampu tangan yang dibedah menggunakan tangan yang satu lagi. Selepas enam minggu baru pergerakan sepenuhnya boleh dilakukan,” katanya.
Jelasnya lagi, selepas tempoh tersebut fungsi tangan akan kembali seperti asal.
Pesakit sudah boleh mengangkat barang berat, boleh bermain badminton, tenis dan sebagainya.
Beliau berkata, pembedahan ini berbaloi dilakukan kerana dapat bertahan lama dan sendi asal dikekalkan.
Selain itu, tisu yang digantikan dapat bertahan lama.
Bagaimanapun, pembedahan superior kapsular rekonstruktif tidak dapat dilakukan jika sendi pesakit telah rosak seperti disebabkan oleh artritis teruk. Kes sebegini memang memerlukan penukaran sendi.
Katanya, di Malaysia, pembedahan sendi bahu masih boleh dirawat dan hasilnya adalah bagus. Justeru itu, jangan abaikan bahu. Jika mengalami sebarang masalah bahu, berjumpalah doktor yang bertauliah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/jangan-abai-sakit-bahu-1.476554#ixzz4g3RvyVFe
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment