‘Tiada kesetiaan tiadalah UMNO’
02 Mei 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 1 Mei – Kesetiaan ahli kepada kepemimpinan tanpa berbelah bahagi merupakan faktor utama kepada pencapaian luar biasa UMNO sehingga menjadi satu-satunya parti di dunia yang berjaya mengekalkan kuasa semenjak merdeka.
Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, justeru, aspek kesetiaan sangat penting untuk dipertahankan sebaik mungkin oleh ahli UMNO agar parti yang telah banyak berjasa membantu orang Melayu dan kaum-kaum lain di negara ini terus kekal teguh berdepan serangan-serangan pembangkang.
Oleh itu, menurut beliau, perasaan kecil hati, cemburu dan berdendam perlu dikikis di dalam diri orang-orang UMNO kerana unsur-unsur negatif tersebut merupakan barah yang boleh memecah-belah dan menghancurkan UMNO buat selama-lamanya.
“UMNO sudah lama ditubuhkan dan saya harap semakin tua usianya semakin hebat sokongan diberikan kerana tiada kesetiaan maka tiadalah UMNO.
“Perselisihan di dalam parti itu perkara normal namun semua perkara tersebut perlu dilupakan demi berkhidmat kepada orang Melayu,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas sambutan ulang tahun ke-71 UMNO yang akan diadakan pada 11 Mei depan di Stadium Bukit Jalil, di sini.
Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein merupakan pemimpin yang bertanggungjawab membawa Tengku Ahmad Rithauddeen menceburi bidang politik apabila melantik beliau sebagai Pegawai Penerangan Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada tahun 1965.
Beliau yang kini berusia 89 tahun menjadi Ahli Parlimen Kota Bharu ketika negara dalam darurat ekoran tragedi 13 Mei 1969 dan kekal sebagai wakil rakyat selama lima penggal sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum 1990.
Berpengalaman sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dari tahun 1970 hingga 1991 selain dipilih sebagai Naib Presiden UMNO setelah mendapat undi ketiga tertinggi pada 1981, beliau dianggap sudah masak dengan sepak terajang politik tanah air.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/tiada-kesetiaan-tiadalah-umno-1.476453#ixzz4g3ZxIsie
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment