TN50: 1.2 juta belia didampingi
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bergambar bersama peserta Kumpulan Masa Depan TN50 selepas melancarkan Kumpulan Masa Depan TN50 di Galeri Antarabangsa Alya Bukit Kiara di sini hari ini.-UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
KUALA LUMPUR 26 Mei - Lebih 1.2 juta belia telah didampingi menerusi pelbagai saluran dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) sejak dilancarkan pada 19 Januari lalu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, melalui pendekatan tersebut, lebih 33,000 aspirasi diterima yang akan dianalisa, diperhalusi dan dibincangkan oleh Kumpulan-kumpulan Masa Depan TN50, seterusnya bakal dijadikan input kepada penggubalan dokumen visi dan dasar berkenaan.
Beliau menjelaskan, sambutan yang menggalakkan itu ternyata membuktikan sokongan yang diberikan oleh para belia ke atas usaha kerajaan untuk memberi mereka suara dalam mencatur masa depan negara menggunakan pendekatan ‘bottom up’ sebagai satu pendekatan yang tepat dan inklusif.
“Akar umbi akan diberi fokus, aspirasi mereka akan didengari dan difahami, tidak seperti kepimpinan terdahulu. Ini penting kerana merekalah yang akan terkesan dalam keputusan atau dasar yang digubal kerajaan.
“Saya gembira melihat apa yang bermula sebagai idea, sekarang telah menjadi satu ‘national movement’ dalam kalangan belia. Sesungguhnya TN50 ini adalah milik anda, masa depan yang harus kerajaan bina untuk anda semua,” katanya menerusi blog najibrazak.com, hari ini.
Perdana Menteri turut berkongsi aspirasi seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Reese Matthew Kam, disampaikan sendiri kepada beliau yang meminta agar keunikan Malaysia terus dipelihara dan dijaga.
“Inilah yang kita mahukan, penyertaan daripada pelbagai lapisan umur dalam mencorak masa depan negara. Reese, percayalah bahawa kerajaan sudah tentunya akan memelihara keunikan tanah air ini, lebih-lebih lagi kepelbagaian masyarakatnya di bawah naungan 1Malaysia.
“Saya berharap lebih ramai lagi orang muda mengambil bahagian dalam bicara dan dialog TN50 ini. Bersama-samalah kita fikirkan hala tuju negara yang boleh membawa kita ke tahap yang lebih hebat. Janganlah memburukkan negara kerana sikap ini hanya akan merugikan anak cucu kita, mereka yang akan mewarisi negaraku ini. Ingatlah bahawa perjalanan anak cucu kita masih jauh,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tn50-1-2-juta-belia-didampingi-1.486702#ixzz4iFgTht5T
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment