Namun, beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya ke arah pembangunan wanita di negeri ini khasnya dan Malaysia amnya kerana jawatan selaku Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah selama 11 tahun pastinya banyak yang dikorbankan untuk menaik taraf golongan itu setanding lelaki.

Berkecimpung dalam dunia politik sejak penubuhan parti pertama di Sabah iaitu Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO), bekas Ketua Wanita USNO pertama itu nyata cukup masak dengan senario politik dulu dan kini. Wartawan Utusan Malaysia, ASSIM HASSAN dan BESSE AISYAH bersama jurugambar, IRWAN MAJID bertemu srikandi kebanggaan Sabah ini baru-baru ini, bagi menitip pandangan, cadangan dan nasihat mengenai keadaan politik semasa menjelang Ulang Tahun UMNO Ke-71 pada 11 Mei depan.
Utusan: Bagaimana Datuk me­lihat keada­an politik semasa di Sabah sekarang?
Dayang Mahani: Politik semasa sangat mencabar kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja berdepan dengan musuh politik yang nyata sebaliknya kemuncul­an musuh-musuh politik yang baharu dalam kalangan bekas pe­mimpin UMNO itu sendiri.
Sehubungan itu, UMNO tidak boleh lagi duduk diam. Perlu belajar daripada sejarah kejatuhan USNO, Berjaya dan PBS. Sekiranya UMNO atau BN tidak belajar daripada sejarah ini maka sejarah akan berulang dan mengajar kita.
Pilihan raya umum akan datang coraknya berbeza kerana UMNO dan BN berdepan dengan orang-orang yang pernah bersama parti. Kalau dahulu musuh politik kita tidak pernah bersama kita tetapi tidak pada waktu sekarang ini apabila musuh politik kita adalah individu yang tahu rahsia, strategi dan hala tuju kita. Mudah bagi mereka untuk menguasai dan menjatuhkan kita jika kita lalai.
Saya masih percaya UMNO dan BN masih lagi kuat baik di negeri ini atau di Semenanjung. Namun kita nampak lemah kerana kita tidak bersatu, kita sibuk menghancurkan antara satu sama lain. Kita berebut kuasa dan keduduk­an selain masih berada di tampuk lama apabila cuba menaikkan orang yang ada kaitan dengan kita.
Sehubungan itu, apa yang perlu dilakukan Datuk?
Tabiat atau penyakit lama ini menyebabkan rakyat muak. Wakil rakyat UMNO dan BN dilihat tidak memberi perhatian kepada rakyat. Oleh sebab itu, jika kita mahu menang besar pa­da pilihan raya umum akan datang, kita perlu ke­tepikan tabiat ini.
Dalam suasana menjelang pilih­an raya ini, ketepikan pera­saan berpuak-puak antara pe­mimpin UMNO dan parti komponen BN. Apabila seseorang wakil rakyat itu menang, jalankan tanggungjawab tidak kira kawasan itu menyumbang atau tidak kepada kemenangan.
Jika wakil rak­yat hanya menum­pukan kepada kawasan pengundi yang menyokong mereka, rakyat akan rasa terpinggir dan tersisih. Sena­rio ini menyebabkan wujud undi protes. Perlu diingatkan bahawa kekalahan atau kurang majoriti menang bukan kerana musuh politik yang kuat sebaliknya dise­babkan oleh rakyat benci situasi wakil rakyat memilih-milih.
Tentang kewujudan Parti Wa­risan Sabah (Warisan) diterajui bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. Adakah Datuk rasa mereka kuat?
Sebenarnya Mohd. Shafie tidak kuat. Bagaimanapun, beliau nampak kuat sebab barisan kepimpin­an dan ahli UMNO tidak bersatu, saling bertikam, saling mahu menonjol, mengabaikan tanggungjawab kepada pengundi di kawasan hingga akhirnya musuh politik ini mengambil kesempatan.
Sekiranya setiap wakil rakyat jaga kawasan baik-baik, musuh politik tidak akan dapat tembusi. Beliau atau parti pembangkang lain tiada fakta untuk masuk dan menawan kawasan-kawasan itu.
Pendapat Datuk tentang dasar 30 peratus Wanita sebagai pembuat keputusan?
Persepsi wanita tidak boleh memimpin perlu diubah. Peredaran zaman telah berubah apabila wanita juga boleh mentadbir atau menjadi wakil rakyat dan pembuat keputusan. Tanggapan bahawa seseorang lelaki yang memilih wanita sebagai pemimpin itu dayus adalah tidak berasas.
Wanita mempunyai kebolehan untuk menggoncang dunia. Saya sedih kerana angka 30 peratus itu masih belum tercapai kerana hanya antara 12 dan 14 peratus sahaja wanita diberi peluang.
Apakah harapan Datuk sempena sambutan UMNO ke-71 ini?
Saya harap pemimpin dan ahli memberi keutamaan kepada keutuhan parti dan bukan berpaksikan kepada keuntungan peribadi. Pucuk pimpinan juga perlu bersikap adil dengan akar umbi dan rakyat. Tabiat mendahulukan kroni, macai, saudara-mara perlu diubah. Rakyat muak dengan senario itu.
Setiap pemimpin dan ahli perlu melihat parti adalah payung besar rakyat. Pertukaran pemimpin dalam parti adalah perkara biasa. Apa yang penting, ahli bersatu menguatkan payung besar ini.