[VIDEO] Terharu doa rakyat Malaysia - Mohd. Nor Azrin
Kaunselor, Mohd Nor Azrin Md. Zain (tengah) memeluk Ibunya Norhayati Hamid sebaik saja tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA di, sini hari ini. Sembilan rakyat Malaysia yang dihalang keluar dari Korea Utara ekoran krisis diplomatik selamat tiba di tanah air. - UTUSAN ONLINE/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
SEPANG 31 Mac - Sembilan rakyat Malaysia yang dihalang keluar dari Korea Utara menghargai dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka untuk pulang ke tanah air.
Kaunselor Kedutaan Malaysia di Korea Utara, Mohd. Nor Azrin Md. Zain yang mewakili kumpulan rakyat Malaysia itu berkata , mereka amat terharu terhadap sokongan tersebut yang memberikan motivasi kepada mereka untuk menghadapi episod getir di negara itu.
"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana kepemimpinnya membantu kami balik dengan selamat dan Kementerian Luar yang setiap hari mengambil berat mengenai keadaan kami," katanya kepada pemberita di KomplekS Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Kepulangan Mohd. Nor Azrin serta lapan warga Malaysia lain dari Korea Utara hari ini disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Lapan lagi rakyat Malaysia terbabit adalah isteri Mohd. Nor Azrin, Iza Karmila Ramli, 35, serta tiga anak mereka iaitu Annur Zulaikha, 6, Aynur Zhafirah, 5, dan Ayscha Zinnirah, 3; Noor Saaidah Jamaluddin, 29, (Pembantu peribadi Duta Besar), suaminya Mohd Radzuan Othman, 29, serta bayi mereka Mohamad Radhiy berusia lapan bulan; dan S. Nirmala Malar Kodi, 45, (Pegawai Tadbir).
Katanya Mohd. Nor Azrin, episod getir di Korea Utara juga tidak dapat ditempuhi tanpa bantuan rakan-rakan kedutaan termasuk dari Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja dan Pakistan. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-terharu-doa-rakyat-malaysia-mohd-nor-azrin-1.464004#ixzz4cyfPj2TM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment