Ada yang mengatakan mereka bercinta tetapi itu dinafikan oleh Mira yang menganggap hubungan mereka sekadar teman rapat sahaja, tidak lebih daripada itu.
“Sebelum ini saya ada berlakon dengan Zizan dan nampaknya peminat suka dengan keserasian kami.
“Mungkin itu yang membuatkan mereka mula cuba untuk menyatukan kami sebagai pasangan kekasih di alam realiti,” katanya.
Bagi Mira, yang berlaku ke atas dirinya dianggap sebagai salah satu gaya terkini peminat tempatan terhadap pelakon drama.
Dia juga menganggap gaya itu sebagai salah satu bentuk promosi yang mudah dan cepat serta dekat di hati peminat.
“Saya sendiri tidak terkesan dengan peminat yang berkata mengenai hubungan kami. Saya tahu yang berlaku antara kami.
“Tetapi peminat lebih gemar untuk melihat fantasi mereka menjadi realiti. Itu saya tidak boleh halang dan berada di luar kawalan saya,” katanya.
Bagi Mira, dia tidak tertekan jika dikaitkan dengan sesiapa sahaja yang digandingkan dengannya asalkan perkara itu tidak melampau batasan.
“Asalkan peminat gembira, saya pun akan gembira. Janji yang mereka lontarkan itu tidak melampaui batas.
“Lagipun saya tahu yang mereka lakukan itu sekadar suka-suka dan bukannya berniat jahat atau sebagainya,” katanya.
Ditanya sama ada kaitan percintaan itu membuatkan dia terfikir untuk segera menaiki pelamin, jelas Mira, dia belum terfikir ke arah itu.
“Saya tidak tertekan sehingga membuat keputusan mahu berkahwin segera. Malah pada usia 24 tahun, saya belum lagi terfikir untuk berkahwin.
“Sasaran tahun bila atau umur berapa saya bakal menamatkan zaman bujang pun belum lagi difikirkan.
“Semua itu adalah jodoh dan sama ada cepat atau tidak, saya serahkan kepada Allah,” katanya. - Gambar FARID JANUDIN
Mahu buka yayasan pendidikan
Ramai artis sekarang yang mula terlibat dengan dunia perniagaan dan Mira Filzah tidak terkecuali untuk berbuat demikian.
Sebagai seorang selebriti yang tidak berpendapatan tetap, Mira menganggap dunia perniagaan sebagai jaminan masa depan buatnya.
“Memang betul ada yang terlibat dalam bidang seni kerana minat yang mendalam tetapi dari segi pendapatan, memang tidak menentu.
“Jadi disebabkan itu saya cuba terlibat dalam dunia perniagaan sementara diri saya masih lagi diterima dalam dunia seni,” katanya yang kini giat mempromosikan rekaan tudung MF Shawls.
Selain jaminan masa depan, jelas Mira, dia juga berhajat untuk membuka sebuah yayasan miliknya yang memberi fokus kepada pendidikan.
Tambah Mira, dari dulu lagi dia berminat untuk terlibat ke arah pendidikan dan yayasan itu adalah penglibatannya secara tidak langsung.
“Menerusi yayasan itu, saya bercadang untuk memberi biasiswa kepada pelajar, sekali gus mendekatkan anak muda ke arah pendidikan,” jelasnya.
Bagi Mira, itu niatnya untuk jangka masa panjang dalam dunia perniagaan tetapi tidak mahu tergesa-gesa untuk melakukannya.
“Saya masih lagi muda dan macam-macam lagi yang perlu saya capai dalam dunia perniagaan. Jadi kena fokus satu persatu dahulu.
“Sasaran saya mungkin dalam masa 10 tahun lagi atau sekurang-kurangnya sebelum umur saya 40 tahun, saya berharap hajat untuk memiliki yayasan itu tercapai,” jelasnya.