Kali kedua Pas membentangkannya dengan sedikit pindaan terhadap draf asal pada 24 November 2016 di Mesyua­rat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-13. Sekali lagi Pas memilih untuk menangguhkan perbahasan ke persidangan berikutnya bagi memberi ruang secukupnya kepada ahli Parlimen membuat kajian terhadap pindaan yang dicadangkan serta persediaan perbahasan.
Pada 17 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang akan membentangkan Pindaan Akta 355 pada mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-13 ini. Sementara Pas tidak pula pernah berun­ding dan mengumumkan untuk tidak membentangkan pindaan akta tersebut.
Ekoran pengisytiharan tersebut, meskipun Pas belum menyatakan sikap rasminya kepada umum, kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu dilihat sebagai satu option yang boleh diguna pakai bagi mengurus status dan format Pindaan Akta 355 bagi kali ini.
Namun pihak musuh politik Pas segera mencetus propaganda kononnya Pas telah ditipu oleh BN. Setelah sekian lama Pas berusaha membawa Pindaan Akta 355 ke Parlimen dan mengorbankan segalanya, maka sepantas kilat BN pula ‘take over’.
Semalam 29 Mac 2017, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengisytiharkan bahawa kerajaan BN tidak akan membentangkan Pindaan Akta 355 tersebut ke Parlimen, sebaliknya kekal sebagai Rang Undang-Undang Persendirian. Ertinya ia akan dibentangkan oleh Pas sebagaimana sebe­lumnya.
Pengisytiharan itu tidak menjejaskan apa-apa bagi pihak Pas. Situasinya adalah “kekal pada format asal”. Sememang­nya, Ahli Parlimen Pas sejak awal telah diletakkan dalam ‘mode standby’ bagi menghadapi perbahasan di Parlimen.
Hanya beza jika kerajaan BN bentang maka ia menjadi ‘Bill Kerajaan’ yang diutamakan ang­ka gilirannya. Jika Pas yang membentangkannya maka ia kekal seperti asal iaitu Rang Undang-Undang Persendirian maka gilirannya ditentukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat melalui peruntukan peraturan dewan.
Sekali lagi musuh politik Pas pantas mencaras kononnya Pas menjadi mangsa ‘game’ UMNO dan BN. Entahlah, mana satu yang betul?
i - Jika Pas bentang, mereka kata Pas diperalat oleh UMNO dan BN, kenapa tidak kerajaan BN sahaja yang membentangnya ke Parlimen? Bukankah UMNO menyokong, maka sepatutnya BN yang bentang, bukan Pas.
ii - Apabila TPM umum kerajaan BN yang akan bentang Pindaan Akta 355, mereka juga “meloncat tidak ketahuan punca” kononnya Pas kena ken­cing oleh UMNO. Pada mereka, serba tidak kena.
Sikap Pas tidak berubah. Persediaan Pas tidak terjejas. Kedua-dua menjadi option yang boleh dipertimbangkan. Pas sejak awal memperjuangkannya.
i - Pertengahan jalan pihak kerajaan mahu mengambil alih, pihak Pas tidak bermasalah siapa yang mahu membentangkannya. Apa yang penting Akta 355 mesti dan berjaya dipinda.
ii - Kemudiannya mereka tidak jadi mengambil alih. Ia mengembalikan format asal tanpa merosakkan sesuatu. Insya-Allah Pas akan meneruskan langkahnya menuju destinasi dengan langkah bergaya tanpa tempang.
iii - Maka Pas sedia untuk bentang Pindaan Akta 355 dan terus bersedia untuk membentang dan membahaskannya pada bila-bila masa.
Perkasakan syariat rakyat sejahtera.
PENULIS ialah Ketua Penerangan Pas.