Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana hukum hudud ternyata sukar untuk dilaksanakan kerana memerlukan sekurang-kurang­nya tiga pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, pindaan RUU 355 hanya terhad untuk meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah tanpa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan ke­rana tiada peruntukan baharu dimasukkan dalam akta sedia ada.
“Justeru, mana-mana pihak yang menentang penambahbaikan mahkamah syariah adalah petanda buruk kepada kematangan politik dan perpaduan di negara ini.
“Ahli-ahli Parlimen bukan Islam tidak berhak menolak penambahbaikan mahkamah syariah ini. Mereka perlu sedar yang mereka bertanggungjawab kepada kelompok Islam yang mereka wakili, tetapi mereka langsung tidak mengorbankan hak kelompok bukan Islam.
“Jika kepentingan sedemikian yang begitu didambakan masyarakat Islam tidak dapat ditunaikan, apakah yang boleh diharapkan jika hak umat Islam itu bercanggah kepentingan peribadi mereka?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan rang undang-undang itu dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Hadi yang juga Presiden Pas turut menegaskan, hak kaum dan amalan agama serta perkembangan politik di negara ini sepatutnya ditangani dengan matang, namun sikap segerombolan ahli politik sama ada Islam atau bukan Islam yang menentang penambahbaikan sistem kehakiman Islam negara amat dikesali.
Jelasnya, hukuman sebatan dalam Islam adalah untuk mendidik dan bukannya menyeksa sekali gus ia berbeza dengan hukuman sivil.
“Hanya ahli politik yang kemaruk dengan undi mereka hampir menjadi hilang kewarasan dengan mencetus kebimbangan masyarakat bukan Islam untuk menolak pindaan Akta 355.
“Saya ingin mengingatkan pemimpin bukan Islam, jangan mempermain-mainkan agama Islam yang telah dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi memberitahu, batas hukuman yang terkandung dalam akta tersebut pada masa ini terbatas dan amat jauh ketinggalan berbanding hukuman dalam mahkamah sivil.
Beliau menarik contoh hukuman yang dikenakan bagi mereka yang didapati bersalah memelihara hidupan liar dengan mengenakan hukuman denda sehingga RM50,000 sedangkan kesalahan syariah seperti ajaran sesat yang boleh menyeleweng akidah umat Islam hanya dikenakan denda RM5,000.
“Apakah demikian rendah­nya harga akidah orang Islam? Tergamakkah kita membiarkan agama Allah dimartabatkan sedemikian rendah sedangkan Islam adalah agama negara di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan?
“Di manakah orang Islam memperoleh keadilan dan pem­belaan sewajarnya dalam negara yang ditadbir orang Islam? Diania­yai sebegitu rupa kecuali batas hukuman lebih tegas dikenakan di bawah akta sedia ada,” ujarnya.