UMNO kekal sebab terus bela rakyat, Melayu
Tanggungjawab terus dibela hingga sekarang - Pakar sejarah17 April 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 16 April – UMNO menjadi contoh sebagai parti yang tidak pernah mengalah dalam membela nasib rakyat terutama orang Melayu sehingga berupaya kekal memerintah sejak negara mencapai kemerdekaan.
Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, walaupun UMNO berusia 71 tahun 11 Mei ini, namun parti itu kekal relevan kerana mampu menggalas tanggungjawab tersebut sehingga hari ini.
“Tidak semua parti termasuk di luar negara boleh bertahan seperti UMNO dan ketika ini semua pihak boleh menyaksikan kelangsungannya menerusi pelbagai agenda yang dirangka untuk kesejahteraan rakyat.
“Biarpun banyak parti ditubuhkan adalah serpihan daripada UMNO, tetapi kekuatan yang ada takkan dapat menyaingi parti induk sekali gus memberi keyakinan kepada semua ahlinya untuk terus menyokong dan memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpinnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai sambutan ulang tahun UMNO ke-71 yang disambut pada 11 Mei ini di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Institusi Raja, Kepemimpinan dan Komuniti Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, kekuatan UMNO adalah membantu survival orang Melayu biarpun sering berdepan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah daripada pihak tertentu.
“Perjuangan UMNO sejak ditubuhkan pada 1946 hingga kini tidak pernah berubah dan keadaan itulah yang menjadikan UMNO terus unggul sebagai parti keramat untuk orang Melayu serta agama Islam.
“Semua sumbangan UMNO kepada kerajaan dan khususnya orang Melayu tidak dapat dinafikan walaupun ada pihak cuba memecahbelahkan parti dengan pelbagai agenda kotor,” ujarnya.
Jelas Ramlah, kewujudan pelbagai parti politik baharu hari ini sama sekali tidak dapat menggoyahkan UMNO, sebaliknya pelbagai krisis dalaman berlaku dalam kalangan pemimpin parti-parti baharu itu.
“Mungkin parti-parti baharu itu mendapat sokongan, namun tidak sehebat sokongan terhadap UMNO oleh hampir empat juta ahlinya,” jelasnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/umno-kekal-sebab-terus-bela-rakyat-melayu-1.470300#ixzz4eU4Z7KEM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment