Tuesday, April 25, 2017

TERUS MENJUNJUNG KEDAULATAN



TERUS MENJUNJUNG KEDAULATAN

25 April 2017 6:00 PM

Sultan Muhammad V mencium al-Quran iaitu lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara pada Ist

SULTAN Muhammad V mencium al-Quran iaitu lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV di Istana Negara, semalam. – BERNAMA

Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V pada istiadat pertabalan di Istana Negara, semalam.
Assalamualaikum WBT, Alhamdulillah, sesungguhnya beta menzahirkan kesyu­kuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya jua, beta dapat berangkat ke istiadat pertabalan beta pada hari ini.
Pada saat yang berbahagia, ketika yang bermakna dan detik bersejarah ini, beta berasa sungguh terharu dan amat menghargai kesudian perkenan keberangkatan raja-raja, wakil-wakil raja, permaisuri-permaisuri serta yang Yang Dipertua-Yang Dipertua negeri, toh puan-toh puan meraikan istiadat pertabalan pada hari ini. Beta dengan perasaan yang tulus ikhlas menzahirkan ucapan junjung kasih kepada Paduka Nenda, Paduka Ayahanda dan Paduka Kekanda raja-raja yang telah memberi kepercayaan kepada beta untuk memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong kali Ke-XV.
Beta yakin, dengan sema­ngat muafakat dan persefahaman yang padu antara kita, beta akan dapat menunaikan tanggungjawab beta dengan lebih berkesan, insya-Allah.
Beta juga berharap agar Paduka Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja dapat memberi titah pandangan dan nasihat dalam memastikan Malaysia terus menjunjung kedaulatan Raja Berperlembagaan di tanah bertuah ini.
Beta juga merasa terharu dan berbesar hati atas ikrar taat setia dan tanda kasih kepada beta yang telah dilafazkan sebentar tadi oleh Perdana Menteri yang mewakili pihak kerajaan, anggota perkhidmatan awam, anggota keselamatan dan seluruh rakyat jelata, beta ucapkan ribuan terima kasih.
Tahun 2017 ini membawa makna yang amat besar kepada beta dan juga seluruh rakyat Malaysia.
Selain istiadat pertabalan beta, kita juga akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-60. Beta berharap agar sambutan ulang­ tahun kemerdekaan pada tahun ini disambut dengan suasana meriah dan harmoni. Tambahan pula sambutan ini hampir dengan Hari Raya Aidiladha yang disambut oleh seluruh umat Islam.
Sebagaimana yang telah terbukti, bahawa rakyat pelbagai kaum yang menganuti pegang­an agama yang berbeza, serta mengamalkan budaya dan gaya hidup yang bervariasi, mampu hidup bersama dalam keadaan harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.
Beta berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak-ansur, bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat, kerana ini adalah keunikan dan sumber kekuatan kita selama ini.
Sungguhpun negara kita sedang dilanda kelembapan ekonomi. Langkah-langkah khusus yang diambil oleh kerajaan telah berjaya mengatasi tekanan-tekanan dari luar terhadap ekonomi negara terutamanya dalam menangani penyusutan nilai ringgit. Di sam­ping itu, rakyat pula telah menunjukkan sokongan penuh kepada strategi yang dirangka oleh kerajaan bagi memulihkan ekonomi negara. Kita tidak akan mampu untuk melangkah lebih jauh sekiranya kita tidak bersama-sama dalam usaha-usaha meningkatkan ekonomi kita hari ini.
Usaha pembangunan negara seterusnya perlu ditunjang oleh modal insan yang berkualiti, ha­nya dengan inilah, kita dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing serta mampu mene­rokai dan memanfaatkan segala kelebihan dan sumber yang kita miliki.
Hakikatnya, kualiti modal insan negara adalah penentu utama kejayaan Malaysia pada masa hadapan. Setiap dari rakyat Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dan rakyat tidak boleh cuai dan alpa dalam melaksanakannya kepada negara.
Kepada generasi muda, sebagai pelapis negara, lengkapkanlah diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran. Beta percaya bahawa tidak ada noktah dalam menuntut dan mencari ilmu. Justeru, beta menyeru kepada setiap rak­yat Malaysia, khususnya generasi muda untuk terus mendalami ilmu pengetahuan dan kemahir­an yang diperlukan negara.
Sesungguhnya Malaysia adalah satu-satunya negara kita. Demi negara tercinta ini, sama-samalah kita menjaga maruah dan kehormatannya. Sedarlah apa jua yang telah kerajaan lakukan hari ini akan diwariskan generasi muda sebagai penerus perjuangannya.
Segala peluang yang telah disedia­kan oleh kerajaan perlu direbut dan dimanfaatkan sepenuhnya demi kelangsungan negara.
Beta berharap rakyat Malaysia terus berpegang teguh kepada nilai akhlak, moral dan etika yang baik. Jadilah insan yang mulia, insan yang berilmu dan berpekerti tinggi serta menyedari akan tanggungjawabnya kepada negara.
Mengakhiri titah ini, beta amat berterima kasih kepada pihak kerajaan dan Perdana Menteri serta anggota Kabinetnya atas sokong­an berterusan yang diberikan kepada beta untuk melaksa­nakan tugas dan tanggungjawab yang diama­nahkan. Sekali lagi beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas ucapan tahniah yang diberikan oleh semua pihak sempena istiadat pertabalan beta pada hari ini.
Beta berdoa agar negara Malaysia yang tercinta ini akan te­rus dilimpahi keberkatan rezeki, kekal aman sentosa dan dijauhi Allah SWT daripada segala ma­rabahaya, malapetaka dan bencana.
Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum WBT.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/terus-menjunjung-kedaulatan-1.473447#ixzz4fFuqP1rr
© Utusan Melayu (M) Bhd 













Yang di-Pertuan Agong - Antara Raja dan Kerajaan



Yang di-Pertuan Agong - Antara Raja dan Kerajaan



23 April 2017 6:00 PM

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bersama para jemaah yang hadir pada majlis bacaan Yasin, doa
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bersama para jemaah yang hadir pada majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-XV di Masjid Putra, Putrajaya.
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Muhammad V, Sultan Kelantan, akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April 2017. Baginda menggantikan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Sultan Kedah. Rakyat dan negara sekali lagi menyaksikan perubahan pucuk pimpinan di-Raja. Namun institusi Raja Berperlembagaan tidak berubah.
DYMM Sultan Muhammad V dipilih ke jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat ke-243 Majlis Raja-Raja (MRR)menurut Perkara 32, Perlembagaan Persekutuan pada 14 Oktober 2016 yang lalu. Baginda akan menjadi Ketua Negara Malaysia selama lima tahun dan dalam tempoh itu baginda tidak lagi terlibat dengan tugasan rasmi di-Raja di Kelantan.
Dalam tempoh itu juga baginda selaku Ketua Utama Negara yang berfungsi selaku Raja berkerajaan, tertakluk kepada pelbagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara disyaratkan di bawah Per 40 Perlembagaan Persekutuan menjalankan tugas di-Rajanya mengikut nasihat Perdana Menteri selaku ketua kerajaan. Sekali gus Baginda tersyarat sebagai Raja Berperlembagaan.
Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Raja Berperlembagaan sentiasa bertindak atau berfungsi sebagai Ketua Negara, menaungi segala macam hal ehwal kenegaraan termasuk Islam, bahasa Kebangsaan dan adat istiadat. Urusan rasmi kerajaan Malaysia melalui semua jabatan di bawah fungsi Eksekutif, Kehakiman dan Legislatif (Parlimen) adalah di bawah dan atas nama baginda. Ini ternyata pada sampul surat rasmi kerajaan – “Atas Urusan Seri Paduka Baginda” keadaan yang lebih kurang bersamaan “On Her Majesty’s Service” di Britain.
Yang di-Pertuan Agong mempunyai banyak tanggungjawab ulung di sisi Perlembagaan Persekutuan (melalui nasihat). Baginda adalah Ketua Utama Negara Malaysia; pemegang kuasa utama Parlimen; Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan; berkuasa mengampun, menangguhkan dan remit mana-mana hukuman di kawasan Wilayah Persekutuan dan di negerinya sendiri; melantik para hakim mahkamah keadilan; kuasa penentu Perkara 153 (keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputera Sabah, Sarawak); melantik pelbagai pegawai dan ketua jabatan di bawah Perkhidmatan Awam dan Diplomatik.
Baginda berhak sama ada bersetuju atau tidak bersetuju membubarkan Parlimen pada masa-masa tertentu. Kuasanya menentukan siapa boleh menjadi Perdana Menteri memang wujud tetapi belum pernah berlaku di mana syor ketua parti majoriti di Parlimen diketepikan pelantikannya sebagai Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong juga pihak berkuasa mengisytihar darurat atau menamatkannya (Perkara 150).
​Terdapat banyak huraian tentang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara yang sesungguhnya “mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikena dakwa dalam apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamah Khas” selagi atas nama jawatan Raja. Baginda tidak tertakluk kepada sistem tradisional seperti di negeri masing-masing di mana kesultanan turun-temurun dari bapa kepada anak.
Menurut suatu huraian almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Pertama di dalam bukunya Looking Back (edisi 1980), ilham mewujudkan sistem di-Raja Persekutuan muncul selepas beliau memerhatikan sistem pemilihan di-Raja di Negeri Sembilan di mana Yang di-Pertuan Besar dipilih oleh Undang Yang Empat. Dengan meneliti laporan Suruhanjaya Reid 1957, ketua negara bagi Persekutuan Tanah Melayu memang dicadangkan sebagai “Yang di-Pertuan Besar” – ini jelas menerapkan tesis Tunku Abdul Rahman itu. Cuma, di saat-saat akhir sebelum Merdeka tanggal 31 Ogos 1957 sebutan Yang di-Pertuan Besar ditukar kepada Yang di-Pertuan Agong.
Tempoh khidmat Yang di-Pertuan Agong tidak melebihi lima tahun. Tiada pilihan di sisi undang-undang bagi melanjutkan atau menambah tempoh itu. Jawatan tertinggi ini tidak memakai sistem institusi Raja Muda atau sistem Tunku Mahkota dalam perkara berkaitan naik takhta susulan kemangkatan atau lain-lain sebab yang memerlukan penggantian sebagai Raja sesebuah negeri.
Tajuk mengenai Yang di-Pertuan Agong di sisi perundangan negara diakui banyak. Pelantikan Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada tuntutan Perkara 32 hingga 36 serta Jadual 3 (Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong), Jadual 5 (berkaitan Majlis Raja-Raja) dan Jadual 8 (Peruntukan tetap yang dimasukkan dalam Perlembagaan Negeri-negeri Beraja) Perlembagaan Persekutuan. Kehendak Perlembagaan ini tidak boleh diketepikan atau diabaikan kerana jika mana-mana peruntukannya tidak dipatuhi akibatnya ialah naik takhta seseorang Raja itu mungkin dicabar atau dipertikaikan sebagai tidak sah.
Rentetan pelbagai peristiwa 1993 - 1994 yang boleh dianggap sebagai krisis Eksekutif dan Raja-Raja menimbulkan beberapa natijah yang layak dianggap mencabar Institusi Raja. Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan, khasnya menghilangkan taraf kekebalan daripada proses dakwaan atas perkara-perkara sabitan jenayah yang dilakukan mana-mana Raja.
Kedaulatan
Mulai 1994, susulan pindaan Perlembagaan 1993, sebutan sembah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) dihentikan. Acara sembah Yang di-Pertuan Agong dengan mengangkat tangan ke paras muka juga dihentikan dan diganti dengan sekadar tunduk kepala di hadapan baginda. Dengan bermulanya pemerintahan DYMM Sultan Muhammad V, Oktober lalu, amalan tradisional di-Raja ini dipulihkan.
Prosiding sivil juga selepas Pindaan Perlembagaan 1993 terhadap mana-mana Raja, termasuk Yang di-Pertuan Agong, dibolehkan asalkan dengan kebenaran Pendakwa Raya (Peguam Negara) dan diproses di bawah bidang kuasa Mahkamah Khas yang kuasa-kuasa perlunya di bawah Perkara 182. DYMM Sultan Kelantan, almarhum Raja Perlis, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah antara pihak-pihak di-Raja yang pernah menzahirkan kepada penulis keengganan menerima pindaan-pindaan meluas Perlembagaan ketika itu.
Ada rungutan yang mengaitkan dakwaan bahawa tidak semua pihak di-Raja menandatangani persetujuan merubah status berkaitan kedaulatan, kebesaran dan keistimewaan Raja. Sesungguhnya perkara besar ini seharusnya diteliti melalui suatu kajian dan semakan terperinci untuk memastikan sama ada benar atau tidak keputusan mesyuarat MRR 1993 itu sebulat suara setuju meminda bahagian-bahagian Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedaulatan Raja-Raja.
Yang di-Pertuan Agong adalah jawatan Ketua Negara yang dicipta oleh Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan, “Maka hendaklah ada seorang kepala utama negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong…” dan klausa (2) Perkara 32 memperuntukkan bagi Permaisuri Agong. Kedua-dua personaliti di-Raja ini mendahului semua orang dan pihak di dalam negara. Peruntukan ini berkuat kuasa semenjak negara mencapai kemerdekaan 1957. Sebelum itu Malaya atau Semenanjung Tanah Melayu yang di bawah jajahan British tidak ada mempunyai seorang Raja bertaraf Agong atau Supreme Ruler. Pada zaman itu British berurusan secara langsung dan berasingan dengan Raja sesebuah negeri.
Ada pihak-pihak dalam kalangan pakar Perlembagaan mengatakan bahawa institusi MRR itu sebenarnya adalah institusi ‘pengimbang’ kepada sistem pemerintahan secara Persekutuan. (Misalnya, jika apa-apa perubahan hendak dilakukan kepada Perkara-perkara berkaitan hal-ehwal di-Raja termasuk kedaulatan, kedudukan dan keistimewaan mereka, atau Perkara 152 (bahasa Kebangsaan), 153 (hak-hak keistimewaan orang Melayu), 160 (adat dan kemelayuan), MRR berhak dan hendaklah terlebihdahulu dirundingi).
Rakyat Malaysia yang bertradisi dan berteraskan budaya bangsa akan sentiasa menghormati institusi Raja. Walaupun sebahagian daripada takrif dan amalan kedaulatan Raja Melayu itu sudah diubah suai pada tahun 1993 dan 1994 melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan dan institusi Raja terus terpelihara dan hidup subur.
Apa-apa unsur atau perbuatan yang menjurus kepada menghina institusi Raja akan menerima padahnya di sisi Akta Hasutan 1948 yang telah dikemas kini melalui pindaan-pindaan mutakhir.
Manakala selesai pertabalan DYMM Sultan Muhammad V pada tanggal 24 April 2017 akan tersempurnalah satu lagi tradisi Raja Berkerajaan bagi Malaysia tercinta. Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, wajib menjelmakan prinsip Rukunegara kedua – Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
Simbolisme dan isi ‘setia kepada Raja’ bererti setia kepada negara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/yang-di-pertuan-agong-antara-raja-dan-kerajaan-1.472649#ixzz4fFrro65N
© Utusan Melayu (M) Bhd 













Monday, April 17, 2017

UMK di bawah naungan Sultan Muhammad V pacu pembangunan ekonomi Kelantan



UMK di bawah naungan Sultan Muhammad V pacu pembangunan ekonomi Kelantan


UMK di bawah naungan Sultan Muhammad V pacu pembangunan ekonomi Kelantan
PEMERINTAH Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia,Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan sejurus tiba pada majlis Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Pegawai Kadet serta Graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2017 di Kem Perdana Sungai Besi di sini, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE/Gambar AZLAN HADI ABU BAKAR
14 April 2017 9:40 AM
KOTA BHARU 14 April - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang dinaungi Canselornya, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V kini menjadi pemangkin kepada pembangunan di Kelantan, khususnya dalam bidang pertanian dan pelancongan.
Naib Canselor UMK Datuk Dr. Mortaza Mohamed berkata, Seri Paduka yang mula dilantik sebagai Canselor UMK pada 9 Mei 2011 sering bertitah agar sektor itu diberikan tumpuan dan manfaatnya dikembalikan kepada rakyat negeri ini.
"Dalam pelbagai majlis yang dihadiri Seri Paduka (di UMK), baginda sering menekankan mengenai kelestarian makanan yang mana kita masih lagi bergantung kepada beberapa makanan asas yang diimport seperti beras, daging dan sayur-sayuran.
"Menjunjung titah Seri Paduka itu, UMK telah menubuhkan sebuah institut dikenali sebagai Institue of Food Security and Sustainable Agriculture bagi memajukan sektor pertanian di negeri ini," katanya ketika ditemui Bernama di Canselori UMK di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.
Selain itu, Sultan Muhammad V turut melihat aktiviti pelancongan mampu memberi pulangan lumayan kepada Kelantan dan menjunjung titah Seri Paduka, UMK turut mewujudkan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, katanya.
Mortaza berkata, menerusi visi yang dititahkan Sultan Muhammad V, jelas sekali Seri Paduka mahu UMK membantu rakyat yang berpendapatan rendah agar menjadi pemain utama dalam kedua-dua bidang berkenaan.
"Berkenaan pelancongan, Kelantan yang terkenal dengan pelbagai warisan, jika dibangunkan dengan lebih baik, ia akan membawa aliran wang tunai dari luar ke negeri ini," katanya.
Mortaza berkata, sebagai universiti berteraskan keusahawanan, UMK turut memperkenalkan program Social Enterprise for Economic Development (SEED) yang turut mendapat kerjasama dengan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
"Di bawah program ini, pelajar akan masuk ke kampung-kampung dan membuat kajian mengenai sumber yang boleh dibangunkan di kawasan berkenaan.
"Contohnya, seorang makcik yang menjual kek di Jeli kini mampu meraih pendapatan sehingga RM8,000 sebulan hasil manfaat yang diterima di bawah program berkenaan," katanya.
Penubuhan UMK diumumkan Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 31 Mac 2006 setelah mendapat kelulusan Kabinet pada Jun 2006.
Mortaza berkata, sejak penubuhannya, UMK secara tidak langsung telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial di negeri ini.
Beliau berkata, hasil kajian ke atas 10,000 pelajar yang mengikuti pelbagai kursus di UMK mendapati mereka membelanjakan purata RM500 sebulan seorang atau keseluruhan RM5 juta sebulan, atau RM60 juta setahun.
"Ia turut memberi manfaat secara tidak langsung kepada pengusaha kereta sewa dan inap desa selain turut menaikkan harga hartanah terutama di tiga kampus universiti tersebut di Kota Bharu, Bachok dan Jeli.
"Ia juga menumbuhkan pelbagai aktiviti perniagaan di sekitar kawasan kampus dan menjadikan kawasan yang dahulunya terbengkalai, semakin maju dengan adanya faktor bekalan dan permintaan," katanya.
Mortaza berkata, UMK akan terus memainkan peranan penting selaras dengan titah Sultan Muhammad V yang mahu segala program pembangunan berkaitan UMK, manfaatnya perlulah kembali kepada rakyat di negeri ini.
Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Disember tahun lepas.
Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 24 April ini. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/umk-di-bawah-naungan-sultan-muhammad-v-pacu-pembangunan-ekonomi-kelantan-1.469367#ixzz4eUWyG06H
© Utusan Melayu (M) Bhd 












Kesultanan Siak Sri Inderapura




ARKIB : 14/10/2014

Kesultanan Siak Sri Inderapura

SALAH sebuah Kesultanan Islam-Melayu yang berperanan besar dalam penyebaran dakwah Islam di Indonesia ialah Kesultanan Siak Sri Inderapura. Kesultanan ini diasaskan pada 1723 oleh Raja Kecil (mendakwa sebagai putera Sultan Mahmud II, pemerintah Johor) yang bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah.
Kesultanan ini terletak di Negeri Buantan, kira-kira 10 km di hilir kota Siak Sri Inderapura (sebelah timur laut Pekanbaru). Kesultanan Siak Sri Indrapura merupakan salah satu pusat penyebaran agama Islam di Sumatera Timur. Kesultanan ini mencapai kemuncak kegemilangannya semasa pemerintahan Syed Ali Abdul Jalil Saefuddin dengan wilayah kekuasaan yang cukup luas.
Kesultanan Siak Sri Inderapura berakhir pada 1946 apabila Sultan Syarif Qassim II menyerahkan kuasa kepada pemerintahan Indonesia.
Pertengahan abad ke-18, Islam berkembang di Siak dengan pengaruh seorang pendakwah Islam dari Arab, Syed Uthman. Dia berkahwin dengan puteri Sultan Alamuddin. Daripada keturunannya muncul Kerajaan Syed Uthman dan sejak itu Sultan bergelar Syed.
Perjanjian damai Siak
Pada zaman pemerintahan Abdul Jalil Muzhaffar Syah (1746-1760), putera Abdul Jalil Rahmat Syah, Siak berperang dengan Belanda pada 1752. Siak memenangi peperangan ini dan berjaya memaksa Belanda supaya berundur.
Bagaimanapun, pada 1858, Siak terpaksa menandatangani Perjanjian Damai Siak akibat kelemahan sultan yang memerintah dalam usaha menghadapi Belanda. Kandungan perjanjian damai itu antaranya termasuklah autonomi Kesultanan Siak diiktiraf oleh Belanda tetapi beberapa daerah taklukannya harus diserahkan kepada Belanda.
Kesultanan Siak mengalami kemunduran kerana perjanjian ini. Melalui Perjanjian Damai Siak, Siak perlu menyerahkan beberapa daerah taklukannya kepada Belanda. Pada masa itu, Siak mempunyai 12 wilayah taklukan: Kota Pinang, Pagarawan, Batu Bara, Badagai, Kualiluh, Panai, Bilah, Asahan, Serdang, Langkat, Temiang, dan Deli.
Istana Asserayahtul Hasyimiah
Salah satu peninggalan Siak Sri Inderapura ialah Istana Siak (Istana Asseryahtul Hasyimiah) yang terletak kira-kira 200 meter dari tepian/tebing Sungai Siak. Istana ini dibina oleh Sultan Syarif Qasim.
Istana ini dibina oleh Sultan Syarif Qasim. Di istana ini tersimpan barang bersejarah seperti kerusi kerajaan, pendua mahkota, baju kebesaran dan kelengkapan penobatan sultan. Istana Siak kini diJadikan muzium dan menjadi salah satu tumpuan pelancong di Riau.
Syarif Qasim 11
Sultan Siak terakhir, Syed Syarif Qasim 11, memerintah dari 1908 hingga 1946. Baginda berjasa dalam pengembangan pendidikan dengan mendirikan HIS (1915) untuk anak peribumi dengan tidak membezakan status sosial dan mendirikan Madrasah al- Hasyimiah (1917).
Untuk itu, baginda membawa guru dari Sumatera Barat dan al-Azhar, Kaherah. Untuk wanita, baginda mendirikan Latfah School (1926) dan Madrasah an-Nisa (1929). Pada 16 September 1973, nama Syarif Qasim 11 diabadikan sebagai nama lain Pekanbaru, Riau.
Kongsi Konten di :


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20141014/ba_01/Kesultanan-Siak-Sri-Inderapura#ixzz4eUVCeytA 
© Utusan Melayu (M) Bhd