Lawatan Najib bawa hasrat rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR 25 Jan. 2013 - Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza merupakan langkah berani dilakukan seorang pemimpin negara Islam di dunia.
Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Abu Omar berkata, kunjungan Najib itu menyumbang ke arah usaha meruntuhkan kepungan politik terhadap Gaza di samping memperkukuh perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air dan hak mereka.
Menurutnya, rakyat negara ini seharusnya berbangga kerana Malaysia sentiasa mendahului tindakan menyokong perjuangan Palestin terutama menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekali gus mencetus era baharu dalam hubungan Palestin dan Malaysia.
"Era ini telah membuka ruang untuk mendapatkan sokongan politik yang lebih besar daripada kementerian-kementerian, parti-parti politik dan pertubuhan di Malaysia.
"Oleh itu, kami mengesa semua kerajaan yang adil mengikut jejak langkah Malaysia terus menyokong perjuangan Palestin dan mengamalkan pendirian berjuang dengan adil di platform antarabangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Najib mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama mengadakan lawatan ke Palestin yang disifatkan beliau simbol sokongan tertinggi kerajaan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Walaubagaimanapun, ketika rakyat negara ini memuji tindakan Najib itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan mencemuh lawatan tersebut dengan menyifatkan langkah murni berkenaan sebagai 'hipokrit tahap durjana'.
Bagi Pengerusi Aman Malaysia, Datuk Ahmad Zaki Zahid, beliau yang mewakili seluruh ahli pertubuhan itu berbangga dan terharu dengan usaha Malaysia menerusi pemimpin nombor satu negara berkenaan yang disifatkan hasrat seluruh rakyat negara ini yang mahukan perpaduan dan keamanan sejagat di Palestin.
"Ini yang selalu kita sarankan serta harapkan supaya suatu hari nanti, ada pemimpin Islam bertindak menyatakan harapan umat Islam terhadap pentingnya keamanan di bumi Palestin," katanya.
Mengenai tindakan beberapa pihak yang tidak senang dengan kunjungan Najib itu, Ahmad Zaki berkata, semua pihak perlu sedar isu kesengsaraan dan kezaliman umat Islam Palestin tidak boleh dipolitikkan memandangkan situasi di negara itu amat berbeza.
"Saya kecewa dengan pihak yang hanya tahu berpolitik. Ini bukan perkara untuk dijadikan isu politik. Isu di Gaza telah 65 tahun bergolak, tetapi tidak ada jalan penyelesaian.
"Isu keamanan sejagat lebih besar daripada politik tanah air kita yang tidak ke mana pun," katanya.
Sementara itu, Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, lawatan Najib ke Gaza membuktikan Malaysia tidak pernah mengkhianati perjuangan rakyat Palestin.
Katanya, Najib menunjukkan kepada dunia aspirasi Malaysia sentiasa bersama rakyat Palestin dan sifat luhur beliau itu terserlah apabila menawar bantuan menjadi orang tengah kepada Hamas dan Fatah.
No comments:
Post a Comment