Saturday, January 26, 2013

Khutbah Jumaat seru umat Islam pertahankan kalimah Allah


Khutbah Jumaat seru umat Islam pertahankan kalimah Allah

KUALA LUMPUR 25 Jan. 2013 - Khutbah Jumaat hari ini menyeru seluruh umat Islam bersatu mempertahan kesucian kalimah Allah kerana itu adalah hak mutlak agama Islam dan tidak boleh dibenarkan digunakan oleh bukan Islam.
Selain itu, teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut meminta umat Islam di negara ini membuat satu ketetapan nyata agar tidak terpesong dengan cubaan musuh Islam dalam isu kalimah Allah.
Hal ini demikian kerana kalimah Allah tidak pernah wujud dalam kitab Taurat atau pun Bible, sebaliknya Tuhan dalam konsep Trinity iaitu 'Bapa Tuhan', 'Anak Tuhan' dan 'Roh Kudus' cuma dirujuk dengan panggilan umum dikenali The Lord.
Menurut Jakim, sikap terlalu terbuka sehingga membenarkan hak Islam disalah guna oleh agama lain amat berbahaya kerana matlamat golongan terbabit adalah untuk mengelirukan umat Islam dengan menyatakan semua agama adalah sama.
"Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam. Kalimah ini tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama-agama lain.
"Sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk menjaga kesucian kalimah Allah serta mempertahankannya dengan cara terbaik.
"Sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan, maka perlu disekat mengikut undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," jelas khutbah berkenaan yang dibaca hampir di seluruh masjid.
Khutbah itu menyebut, apa yang menyedihkan ialah ada dalam kalangan umat Islam pada hari ini langsung tidak sensitif sehingga sanggup menggadai akidah serta masa depan ummah demi kepentingan diri sendiri.
Dalam pada itu, teks khutbah tersebut turut memetik firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 72, tentang janji Allah iaitu azab seksaan yang teramat pedih di akhirat kelak jika membenarkan kalimah suci berkenaan diguna oleh bukan Islam.
Firman tersebut bermaksud: "Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata bahawasanya Allah ialah al-Masih ibni Maryam.
Padahal al-Masih sendiri berkata, wahai Bani Israel, sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu.
"Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim."
Sementara itu, khutbah sama turut menyeru umat Islam di negara ini agar menghayati agama suci tersebut secara menyeluruh berdasarkan Maqasid Syariah demi memastikan kedaulatan Islam kekal terpelihara.
"Di tangan kitalah letaknya tanggungjawab untuk mempertahankan kesucian Islam. Janganlah ada segelintir umat Islam yang hanya pandai berbicara soal Islam tetapi sanggup menggadai maruah dan agama sendiri," jelas khutbah itu.












No comments: