Sunday, January 27, 2013

Ibu bapa diingatkan ambil anak angkat melalui jalan sah


Ibu bapa diingatkan ambil anak angkat melalui jalan sah

KEMAMAN 25 Jan. - Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil mengingatkan pasangan suami isteri yang mahukan anak, tidak cuba mendapatkannya melalui sindiket menjual bayi dan kanak-kanak.
Katanya, tindakan itu boleh menyebabkan mereka didakwa kerana bersubahat dengan sindiket berkenaan dan berdepan kerugian besar selepas banyak wang telah dibelanjakan.
Menurutnya, keghairahan mereka itu tanpa mempedulikan peraturan akan menyebabkan gejala menjual dan membeli bayi serta kanak-kanak terus menular di negara ini.
"Ini perkara serius dan melibatkan keselamatan, jadi semua pihak termasuk suami, isteri, petugas hospital, pihak berkuasa sama-sama bekerjasama dengan polis untuk membanteras sindiket ini.
"Jangan sesekali memberi mereka ruang untuk menjalankan kegiatan ini kerana tiada alasan apa pun untuk kita membenarkan pemerdagangan manusia menjadi trend di negara ini," jelasnya di sini hari ini.
Beliau mengulas kejayaan polis menumpaskan sindiket yang menjalankan kegiatan menjual dan membeli bayi serta kanak-kanak warga asing kepada rakyat Malaysia di Pulau Pinang apabila 33 suspek ditahan di bawah Ops Pintas Sayang baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, pasangan suami isteri yang sedang mencari anak angkat tidak perlu membeli bayi atau kanak-kanak melalui sindiket kerana mereka boleh memohon mendapatkan kanak-kanak berkenaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Hari ini ramai bayi atau kanak-kanak yang ditempatkan di rumah anak yatim yang kita boleh ambil dan jaga, jadi, jangan sesekali membeli dengan sindiket.
"Mereka perlu guna saluran yang betul, jika tidak akan menyusahkan diri sendiri kelak," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130126/dn_09/Ibu-bapa-diingatkan-ambil-anak-angkat-melalui-jalan--sah#ixzz2JA9HzHbE
© Utusan Melayu (M) Bhd 






No comments: