Saturday, June 23, 2012

Ikhlaskan ibadah kepada Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Umat Islam hanya bersujud kepada Allah SWT, tidak kepada yang lain. - Gambar hiasan



SAYID Qutub berkata: "Penjelasan yang berikut merupakan cerita penjelasan jin dan mungkin firman Allah SWT dari awal lagi yang menerangkan sujud atau tempat sujud iaitu masjid hanya untuk-Nya sahaja."

Di sanalah ditegakkan tauhid yang bersih dan di sanalah lenyapnya bayang (kebesaran dunia). Seluruh suasana dan perhambaan di sana hanya untuk Allah sahaja.
Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah.(al-Jin: 18)
Maksud perkataan masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah ada empat pendapat:
* Iaitu solat kerana Allah seperti pendapat Ibnu Syajarah.
* Segala anggota yang digunakan untuk sujud kerana Allah SWT seperti pendapat al-Rabi'.
* Semua masjid merupakan rumah Allah untuk didirikan solat seperti pendapat Ibnu Abbas.
* Setiap tempat yang dilakukan solat kerana ia untuk sujud. Justeru, dinamakan masjid.
Ibnu Kathir berkata: "Dahulu, jika orang Yahudi dan Nasrani memasuki gereja dan biara mereka, lalu menyekutukan Allah SWT. Lantas Dia memerintahkan nabi-Nya agar mereka mengesakan-Nya."
Sufian meriwayatkan daripada Khusaif daripada Ikrimah: "Ayat berkenaan turun dengan seluruh masjid."
Sa'id bin Jubair mengatakan ayat ini berkenaan dengan anggota sujud, iaitu semuanya milik Allah SWT sehingga tidak boleh menggunakannya untuk bersujud kepada selain-Nya.
Menurut Qatadah, orang Yahudi dan Nasrani apabila memasuki gereja dan kuil, mereka mempersekutukan Allah SWT dengan sembahan mereka yang lain. Menerusi ayat ini Allah SWT memerintahkan kepada kita agar mengikhlaskan ibadah kepada Allah SWT semata-mata setiap kali kita memasuki masjid.
Al-Hasan berkata: "Masjid-masjid yang dimaksudkan di sini ialah setiap tempat yang menjadi tempat sujud di seluruh bumi, sama ada tempat itu disediakan untuk sujud atau tidak, sebab seluruh bumi adalah masjid bagi umat ini."
Firman Allah SWT: Dan bahawasanya tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembah-Nya (mengerjakan ibadat), hampir saja jin-jin itu desak mendesak mengerumuninya. (al-Jin: 19)
Al-Hasan dan Qatadah berkata: "Sesungguhnya ketika Nabi Muhammad SAW menyampaikan risalah agar menyeru manusia kepada Allah SWT (yang bertentangan dengan orang musyrik dalam bentuk peribadatan mereka kepada berhala-berhala), lalu orang kafir pun bekerjasama dan tolong-menolong untuk memusuhi Nabi Muhammad SAW secara berkumpul atau berpuak-puak."
Muqatil berkata: "Sesungguhnya orang kafir Mekah mengatakan kepada Nabi SAW: "Sesungguhnya kamu telah membawa urusan yang besar dan kamu juga telah memusuhi semua manusia, maka kembalilah kamu daripada yang demikian ini."
Firman Allah SWT: Katakanlah: Sesungguhnya aku hanya menyembah Tuhanku dan aku tidak mempersekutukan sesuatupun dengan-Nya. Katakanlah: Sesungguhnya aku tidak kuasa mendatangkan sesuatu kemudaratan pun kepadamu dan tidak (pula) suatu kemanfaatan. (al-Jin: 20-21)
Ibnu al-Jauzi berkata: "Orang-orang kafir Mekah berkata kepada Nabi SAW sesungguhnya apa yang kamu bawa adalah amat besar kesannya yang tidak pernah didengar sebelumnya. Justeru, kembalilah kepada asal. Lantas turun ayat ini."
Al-Mawardi dalam menafsirkan tidak memiliki mudarat dengan tiga pendapat;
* Azab yang tiada kenikmatan.
* Kematian yang tiada kehidupan.
* Kesesakan yang tiada petunjuk
Al-Maraghi berkata: "Di sini terdapat ancaman besar kepada mereka dan perintah bertawakal kepada Allah SWT kerana hanya Dia sahaja yang mampu memberi balas kebaikan dan keburukan terhadap perbuatan mereka."
Ayat ini juga mengandungi petunjuk bahawa Baginda tidak meninggalkan tugas menyampaikan risalah (tabligh) sekalipun mereka bekerjasama untuk memusuhinya.
Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang mampu melindungi aku daripada-Nya, jika aku tidak menyampaikan risalah-Nya. Kemudian Allah SWT menjelaskan perihal orang yang menderhaka Allah SWT dan Rasul-Nya.
Firman Allah SWT: Katakanlah: Sesungguhnya aku sekali-kali tiada seorang pun dapat melindungiku daripada (azab) Allah dan sekali-kali aku tiada akan memperoleh tempat berlindung selain daripada-Nya. Akan tetapi (aku hanya) menyampaikan (peringatan) daripada Allah dan risalah-Nya. Dan barang siapa yang menderhakai Allah dan rasul-Nya maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sehingga apabila mereka melihat azab yang diancamkan kepada mereka, maka mereka akan mengetahui siapakah yang lebih lemah penolongnya dan lebih sedikit bilangannya. (al-Jin: 22-24)
Berkenaan dengan sebagai penyampai daripada Allah dan risalah-Nya ada tiga pendapat;
* Aku tidak memiliki kemudaratan dan petunjuk kecuali menyampaikan risalah Allah. Inilah pendapat al-Kalbi.
* Tiada seseorang yang dapat menyelamatkanku daripada Allah jika aku tidak menyampaikan risalah-Nya. Inilah pendapat Muqatil.
* Tatkala jin berbai'ah kepada Rasulullah pada malam tersebut yang jumlah mereka melebihi 70,000 dan selesai bai'ah ketika hampir menyingsing fajar. Inilah pendapat Makhul.
Sayid Qutub berkata: "Ini satu amaran dan ancaman terbuka kepada orang-orang yang sampai dakwahnya kepada mereka tetapi menentang dan tidak mengikutinya walaupun diberitahu kepadanya bebanan yang akan ditanggung."
Andainya kaum musyrikin berbangga dengan kekuatan dan bilangan yang ramai dibandingkan dengan kekuatan Nabi SAW dan yang bersama dengan Baginda, maka di akhirat mereka ini akan diseksa dan diazab bagi menjelaskan yang mereka sememangnya sangat lemah dan puak yang telah tewas.
Hamka berkata: "Oleh itu telah dijelaskan oleh Nabi SAW kewajipan dia menghukum bukan mencaci dan memaki hamun. Kewajipan padanya ada dua; Pertama, menyampaikan dan kedua, melaksanakan misi dan visi dengan menunjukkan teladan dan akhlak yang mulia."
Ia semuanya terdapat dalam risalah yang dibawa olehnya dan sifat tersebut merangkumi sidiq, amanah, tabligh, fatanah. Apabila semuanya diaplikasikan, maka mustahil untuk Baginda menjadi pendusta.
Mereka menganggap orang yang beriman lemah dan menghinanya sehingga mereka melihat pelbagai azab yang diancam kepada mereka. Kemudian akan jelas bagi mereka siapakah sebenarnya orang yang lemah itu? Sama ada orang yang beriman mengesakan Allah SWT atau orang musyrik yang tidak mempunyai penolong dan pelindung?
Kesimpulannya, orang musyrik itu tidak mempunyai penolong. Jumlah mereka lebih sedikit jika dibandingkan dengan tentera-tentera Allah SWT.
Semoga Allah menjadikan kita di kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta sentiasa mengikatkan hubungan hablun mina Allah dan hablun mina an-Nas.

Kembali


Kembali

Memantapkan pengertian akidah



DALAM setiap tindakan umat Islam akidah merupakan neraca utama menjadi parameter kepada perbuatan serta aktiviti mereka.
Akidah adalah perkara asas dan utama bagi umat Islam tidak kira bangsa atau rupa. Lebih-lebih lagi mereka yang bergelar Muslim haruslah berpaut pada intipati akidah yang jelas dan mantap.
Daripada sudut istilah akidah bererti simpulan iman, pegangan yang kuat atau keyakinan yang menjadi pegangan yang kuat.
Keyakinan ini tidak akan terserlah kecuali dengan kejayaan seseorang Muslim itu mempercayai al-Quran dan sunnah.
Kepercayaan tidak akan sempurna tanpa pengamalan yang benar (sahih) dan bukan dari cetusan pengamalan yang sesat (dholal).
Iman pula merupakan asas akidah yang menghasilkan syariat Islam. Kemudian daripada asas itu terhasil cabang-cabang yang digelar sebagai syariat (perbuatan) dan akhlak (tingkah laku) manusia itu sendiri.
Pertautan yang kompleks ini menyebabkan akidah perlu dipertahankan oleh umat Islam kerana ia mempunyai kesan yang amat besar dalam kehidupan seharian umat Islam.
Hal yang demikian menjadikan keimanan dan syariat satu perkara yang sangat padu saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Ikatannya antara satu sama lain amat memberikan kesan yang mendalam.
Mereka yang berakidah dengan cara yang tidak benar, akan mengamalkan Islam secara terpesong.
Oleh kerana itu, keimanan haruslah diperhalusi dengan syarat dan ketentuan yang diletakkan hukum syarak.
Seharusnya kita memahami bahawa Islam mempunyai nilai yang sangat tinggi dan berkualiti.
Antara beberapa perkara yang boleh merosakkan akidah menjurus secara langsung kepada kecacatan dalam syariat adalah bentuk keyakinan kepada konsep ketuhanan.
Manusia yang bertamadun wajib meyakini kewujudan tuhan dan berkuasa atas segalanya.
Hal ini dapat mematahkan golongan atheis yang sering merancang bagi menjatuhkan kualiti pegangan umat Islam.
Jelas disini kepercayaan dan keyakinan yang kukuh di benak hati manusia itu sendiri amat dititikberatkan sama sekali.
Kedua, kesilapan manusia dalam menuturkan kata-kata. Perkara ini sering berlaku dalam kehidupan bermasyarakat. Mereka yang sering mengeluarkan kata-kata dan ucapan yang mampu membawa kepada kerosakan akidah, mampu menjerumuskan dirinya ke dalam kesesatan yang tersembunyi (syirik khafi).
Percakapan dan ucapan ini sering dipandang remeh oleh sesetengah golongan masyarakat. Hal ini kerana, mereka yang sering menyamakan urusan dunia dan akhirat, tanpa merujuk kepada asas rujukan agama seperti al-Quran dan sunnah.
Ketiga, akidah juga boleh menjadi rosak dengan pengamalan manusia yang sering berlandaskan adat berbanding syariat.
Perkara ini sering terjadi bagi mereka yang terlalu mementingkan soal adat resam sesetengah kaum, tanpa melihat secara dalam dari lensa agama Islam itu sendiri.
Pengamalan yang membawa kepada kesesatan amatlah ditolak sama sekali, kerana ia bakal menjerumuskan manusia ke dalam kebinasaan.
Tanggungjawab kita sebagai muslim dan mukmin haruslah bercirikan kepada pembangunan akidah. Memelihara konsep akidah itu adalah tugas semua mereka yang bergelar muslim. Hati yang bersih, dan menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama sangat memberi jalur positif pada dunia hari ini.
Seterusnya, jihad melawan hawa nafsu itu perlu diperjuangkan bagi semua masyarakat Islam kini yang hidup dalam keadaan majmuk.
Taqwa pula adalah hadiah kepada mereka yang telah berjaya membawa diri kearah kefahaman akidah yang matang.
Penyelarasan syariat itu sebenarnya memainkan peranan penting bagi meneliti ketaqwaan seseorang itu sendiri.
Allah SWT berfirman dengan bermaksud: Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang ) bertaqwa(Al-Baqarah : 21)
Ayat di atas amat memberi kesan yang positif dalam kehidupan kita. Mempercayai, meyakini dan mengakui bahawa pengukuhan akidah itu ada bagi setiap muslim itu harus direncanakan.
Segala intipati undang-undang yang direka hari ini, bukanlah untuk mengawal kita, bahkan ia sebenarnya melepaskan kita dari seksaan api neraka kelak.
Melihat peri pentingnya memperjuangkan akidah yang bersih ini, umat Islam tidak seharusnya berkompromi dalam isu-isu yang menjejaskan akidah Islam.
Ia merupakan satu elemen jati diri umat Islam yang perlu dipertahankan dalam apa keadaan sekalipun.
Dalam konteks negara pula, Islam merupakan jati diri negara yang tidak boleh dihapuskan berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi merupakan agama bagi Persekutuan.
Ia diperkukuhkan lagi apabila Ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong tatkala menaiki takhta akan bersumpah akan memelihara Islam pada setiap masa.
Secara tersiratnya Perlembagaan Persekutuan ini telah cuba untuk mempertahankan akidah umat Islam agar sentiasa terjamin dan tidak dirobek oleh mana-mana orang perseorangan ataupun badan-badan tertentu.
Mempertahankan akidah adalah tanggungjawab setiap umat Islam. Setiap umat Islam wajib melakukan sesuatu untuk mempertahankan akidah umat Islam.


Kembali



Kembali

Kisah Abu Basyir dan Perjanjian Hudaibiah


PERJANJIAN Hudaibiah sangat memberikan kesan kerana ia turut membawa kepada berlakunya pelbagai peristiwa lain termasuk melibatkan beberapa individu dan kisah mereka sangat memberikan pengajaran.
Ini termasuk kisah kisah Abu Bashir atau nama sebenarnya Utbah bin Usaid bin Jariah yang mana perjanjian Hudaibiah telah menghalangnya daripada mendapatkan perlindungan Rasulullah di Madinah.
Beliau seorang Muslim yang sangat taat pada Islam walaupun terpaksa hidup dalam keadaan yang begitu tertekan kerana menetap di Mekah.
Beliau pernah di penjara dan sudah tentunya diseksa dengan pelbagai seksaan yang teruk.
Tetapi Abu Bashir tetap bertahan, tidak sekali-kal meninggalkan Islam, sehinggalah pada suatu hari beliau mengambil keputusan untuk keluar dari Mekah dan menuju ke Madinah bagi mendapatkan perlindungan daripada Nabi Muhammad.
Beliau tidak lagi sanggup hidup di Mekah kerana di Madinah tentulah dia akan menjadi seorang Muslim yang bebas mengamalkan Islam.
Beliau berjaya melepaskan diri dari cengkaman pihak Quraisy dan terus melarikan diri dengan berjalan kaki tanpa henti merentas padang pasir yang jauh semata-mata untuk mendapatkan perlindungan daripada Rasulullah.
Namun tanpa disedari, Abu Bashir sebenarnya dikejar oleh dua orang kafir Quraisy untuk menangkapnya dan menyumbatnya ke dalam penjara.
Tetapi Abu Bashir akhirnya berjaya melarikan diri dan sebaik sahaja sampai di Madinah beliau terus menemui Rasulullah di masjid.
"Wahai Muhammad, aku datang dan berhijrah kepada kamu dan berikanlah perlindungan kepadaku dari kekejaman si kafir Quraisy.
"Selagi aku tidak meninggalkan Islam mereka akan terus menyeksa aku dan kini aku tidak lagi dapat bertahan dengan seksaan mereka kecuali mendapatkan perlindungan dari mu di sini," kata Abu Bashir.
Tetapi Rasulullah sedar tindakan baginda memberikan perlindungan kepada Abu Bashir bermakna melanggar syarat-syarat dalam Perjanjian Hudaibiah yang tidak membenarkan baginda menerima sesiapa yang melarikan diri dari Mekah malah baginda perlu memulangkan semula.
Tambahan pula, dua orang kafir Quraisy yang mengejar Abu Bashir akhirnya sampai di Madinah. Mereka juga segera menemui baginda dan menyampaikan surat dari pihak penguasa di Mekah yang menuntut supaya Abu Bashir dikembalikan kepada mereka sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian Hudaibiah.
Tentulah sangat berat untuk baginda untuk melepaskan Abu Bashir apatah lagi menyerahkannya kembali kepada pihak kafir Quraisy. Tetapi sebagai seorang yang berpegang kepada janji, baginda terpaksa memujuk Abu Bashir supaya kembali ke Mekah.
"Wahai Abu Bashir, aku sedar betapa besarnya pengorbanan yang telah kau lakukan kerana sanggup berhijrah seorang diri semata-mata melarikan dari pihak Quraisy yang tidak habis-habis menyeksa umat Islam.
"Namun sesungguhnya kami telah memberikan perjanjian kepada kaum Quraisy seperti yang kamu sendiri ketahui. Kerana itu sesungguhnya Allah akan menjadikan kamu yang akan terlepas dari penindasan dan menikmati kebebasan, pada suatu hari nanti.
"Maka pergilah kamu kembali kepada kaum mu di Mekah dan Allah pasti akan bersama kamu," kata baginda.
"Ya Rasulullah, apakah tuan akan mengembalikan saya kepada kaum musyrikin yang selalu memfitnah saya dalam mengerjakan agama saya dan sedangkan saya sanggup ke mari dengan merentas padang pasir sejauh ini seorang diri tanpa henti," ujar Abu Bashir dengan nada kecewa.
"Aku memahami keadaanmu wahai Abu Bashir. Janganlah kamu bimbang pertolongan dan bantuan Allah pasti akan bersama kamu. Percayalah, malah kamu antara yang akan menyambut kami dan kemenangan untuk kita semua kembali bersatu di Mekah," pujuk Rasulullah.
Oleh kerana kata-kata baginda itu umpama sebuah jaminan, akhirnya Abu Bashir pun bersetuju dan mematuhi dan merelakan dirinya dibawa pulang ke Mekah oleh dua wakil pihak Quraisy itu.
Walaupun begitu Abu Bashir tetap mempunyai rancangannya tersendiri untuk melepaskan dirinya dari cengkaman pihak Quraisy dan tidak mahu kembali ke Mekah.
Helah Abu Basyir
Sepanjang jalan, puas beliau puas memikirkan cara untuk melarikan diri. Akhiirnya beliau mengambil kesempatan ketika ketiga-ketiga mereka berhenti di sebuah dusun di Zul Hulaifah.
Sambil-sambil mereka duduk berehat itu, Abu Bashir pun bertanyakan mengenai kehebatan pedang yang dibawa oleh orang Quraisy.
Beliau kononnya tertarik melihatkan pedang-pedang yang dibawa oleh mereka .
"Bolehkah saya melihat dan memegang sendiri pedang kamu itu dan saya ingin merasakan sendiri ketajaman pedang yang kelihatan begitu hebat sekali," pinta Abu Bashir.
Tanpa menyedari niat Abu Basyir yang sebenar, lalu salah seorang dari orang Quraisy itu pun menyerahkan pedang kepadanya.
Abu Bashir pun berpura-pura membelek-belek pedang tersebut sambil memuji-muji akan kehebatannya sehingga kedua-dua musuh yang berada di hadapan mata itu berasa sungguh bangga dan sombong diri.
Apabila melihat mereka begitu leka dan gembira dengan puji-pujian dari Abu Bashir itu, lalu Abu Bashir pun dengan pantas melibaskan pedang tersebut dan menikam sehingga mati salah seorang dari orang Quraisy tersebut.
Apabila dilihat rakannya telah mati, seorang lagi dari orang Quraisy itu segera melarikan diri.
Dia bukannya melarikan diri ke arah Mekah tetapi ke Madinah dan terus mengadap Rasulullah di masjid dan segera memberitahu kejadian Abu Bashir yang berjaya memperdaya mereka dan membunuh rakannya.
"Sahabat Tuan telah membunuh rakan saya, Jika saya tidak melarikan diri ke mari nescaya saya juga mati dibunuhnya," kata orang Quraisy itu.
Lalu dia meminta agar Rasulullah bertanggungjawab dengan apa yang telah dilakukan oleh Abu Basyir dengan memulangkan sendiri Abu Basyir itu ke Mekah dengan diiringi oleh para pengikut Rasulullah.
Namun Rasulullah menolak permintaan orang Quraisy itu dengan mengatakan apa yang berlaku adalah diluar kawalan baginda tetapi mereka sendiri yang cuai menjaga Abu Basyir sehingga terpedaya.
Tidak lama kemudian Abu Basyir pun sampai ke Madinah dengan sebilah pedang yang terhunus lalu menemui Rasulullah.
Lalu beliau berkata: "Wahai Rasulullah, telah sempurna tanggungan tuan kerana tuan telah menyerahkan saya kepada kaum (musyrikin Quraisy) dan saya telah mempertahankan agama saya daripada difitnah atau dipermainkan.
"Kini saya bebas dan saya memohon agar saya dibenarkan untuk tinggal di Madinah untuk berada dalam naungan dan lindungan tuan."
Rasulullah tentu sahaja hendak menerima Abu Basyir tetapi baginda bimbang jika baginda kelak dituduh melanggar perjanjian Hudaibiah.
Oleh itu permintaan Basyir buat kali kedua itu masih tidak dapat diterima oleh baginda.
"Jika begitu lepaskan saya untuk saya tinggal di mana sahaja saya suka kecuali di Madinah mahupun Mekah asalkan saya kini bebas dari cengkaman Quraisy dan dapat mengamalkan Islam dengan aman dan tenteram tanpa sebarang gangguan," kata Abu Basyir.
Baginda merestui permintaan Abu Basyir dan mendoakan agar Basyir memperoleh kehidupan yang beliau idam-idamkan.
Lalu Bashir memilih untuk menetap di sebuah dusun yang bernama Iesh yang terletak di wilayah Zil Marwah berhampiran dengan tepi laut yang lazimnya di lalui oleh para pedagang dari Madinah menuju ke Syam.
Dalam tempoh sekejap sahaja Abu Basyir kemudiannya dapat mengumpulkan umat Islam di desa itu, terutama mereka yang hendak melarikan diri dari cengkaman Quraisy di Mekah tetapi tidak boleh berhijrah ke Madinah ekoran dari Perjanjian Hudaibiah.
Seramai 70 umat Islam menetap bersama-sama dengan Abu Basyir di desa Iesh dan mereka hidup aman tanpa diganggu oleh mana-mana pihak.

Allah sahaja mengetahui segala yang ghaib

                                                                                                     Kembali
Allah sahaja mengetahui segala yang ghaib

ALLAH SWT memerintahkan kepada Rasul-Nya supaya mengatakan kepada manusia bahawa baginda tidak mengetahui bila akan berlakunya hari Kiamat sama ada waktunya sudah hampir atau masih jauh.
Baginda juga tidak mengetahui sedikit pun daripada yang ghaib, kecuali jika baginda diberitahu oleh Allah SWT. Dia sangat mengetahui para Rasul telah menyampaikan risalah Tuhan mereka sama ada secara umum mahupun yang terperinci.
Firman Allah SWT: (Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: Aku tidak mengetahui, apakah azab yang diancamkan kepadamu itu dekat ataukah Tuhanku menjadikan bagi (kedatangan) azab itu masa yang panjang? (Dia adalah Tuhan) yang mengetahui yang ghaib, maka dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada Rasul yang diredai-Nya, maka sesungguhnya dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya. (al-Jin: 25-27)
Al-Mawardi berkata: Perkataan yang mengetahui yang ghaib ada empat pendapat;
* Mengetahui yang rahsia seperti pendapat Ibn Abbas.
* Apa yang kamu tidak nampak yang menjadi ghaib bagimu seperti pendapat al-Hasan.
* Iaitu yang ghaib adalah al-Quran seperti pendapat Ibn Zaid
* Yang ghaib adalah hari Kiamat dan peristiwa yang akan berlaku seperti pendapat Ibn Abi Hatim.
Ibnu Kathir berkata: Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya supaya mengatakan kepada mereka dia tidak mengetahui tentang hari Kiamat, begitu juga waktu ketika mana ia berlaku.
Al-Maraghi berkata: Dia mengetahui apa yang ghaib daripada penglihatan makhluk-Nya sehingga mereka tidak melihatnya. Dan yang demikian ini tidak diketahui oleh seorang pun kecuali para rasul AS yang diredai-Nya. Dia memberitahu kepada mereka apa yang dikehendaki-Nya daripada yang ghaib itu.
Ayat ini menunjukkan perbuatan melakukan ramalan, nujum dan sihir adalah sesuatu yang batil.
Ar-Razi berkata: Ayat yang mulia ini bermaksud, Dia tidak memberitahu kesediaan peristiwa ghaib yang diketahui-Nya tentang kedatangan hari Kiamat. Terdapat beberapa alasan yang menunjukkan perkara itu;
* Para penganut agama dan kepercayaan telah membuktikan kebenaran ilmu takwil dan tafsir mimpi. Orang yang mentafsirkan mimpi itu kadang-kadang memberitakan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang dan pentafsirannya itupun kadang-kadang benar.
* Tukang tilik dari negara Baghdad ini telah dipindahkan oleh Sultan Sinjar Ibnu Malik Shah dari Baghdad ke Khurasan dan telah ditanya tentang sesuatu perkara yang akan datang, lalu dia telah menyebut beberapa perkara yang kemudiannya berlaku bersesuaian dengan pembicaraannya.
* Kita menyaksikan di antara ahli mimpi (perkara itu tidak dikhususkan kepada para wali, tetapi kadang-kadang didapatkan juga oleh tukang-tukang sihir), dan orang yang benar dalam perkhabarannya. Termasuk juga ilmu yang berdasarkan bintang, seringkali sesuai dengan apa yang berlaku. Apabila perkara itu dapat disaksikan dan dialami, maka pendapat yang mendakwa al-Quran menunjukkan yang sebaliknya dapat menimbulkan celaan terhadap al-Quran al-Karim.
Ad-Dahak berkata: Tidak diutus seorang Nabi pun kecuali dia disertai oleh para malaikat yang menjaganya daripada syaitan-syaitan yang menyamar dalam bentuk malaikat. Apabila datang seorang syaitan dalam bentuk malaikat, maka para malaikat mengatakan kepada Nabi, berwaspadalah, ini adalah syaitan dan apabila datang kepada Nabi itu seorang malaikat, maka para malaikat penjaga mengatakan: "Ini adalah utusan Tuhanmu!"
Hamka berkata: Rasul-rasul yang diredai oleh-Nya akan dijagai dan dipelihara daripada sebarang ancaman musuh.
Al-Qasyani berkata: Penjagaan itu di sisi Allah SWT yang selalu menghadap wajah kepadanya sesudah itu ialah Ruhul Qudus dan berbagai Nur (cahaya) Malakut, iaitu alam Malaikat dan Rabbani. Ataupun penjagaan pada anggota tubuh dengan kesungguhan mengerjakan ibadah dan zikrullah, maka ia menjadi perisai dalam menghadapi apa sahaja cabaran dan rintangan dalam menyampaikan dakwah.
Firman Allah SWT: Supaya dia mengetahui, bahawa sesungguhnya rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-risalah Tuhannya, sedang (sebenarnya) ilmu-Nya meliputi apa yang ada pada mereka, dan dia menghitung segala sesuatu satu persatu. (al-Jin: 28)
Ahli tafsir berbeza pendapat mengenai dhamir (kata ganti) yang terdapat dalam firman-Nya, kepada siapa kembalinya? Ada yang berpendapat kata itu kembali kepada Nabi SAW.
Al-Mawardi menyebut lima pendapat;
* Supaya Muhammad mengetahui yang Jibril menyampaikan risalah Allah dan memeliharanya. Inilah pendapat Ibn Jubair.
* Supaya Muhammad mengetahui rasul-rasul sebelumnya telah menyampaikan risalah Allah. Inilah pendapat Qatadah.
* Supaya Muhammad mengetahui siapa yang mendustakan rasul-rasul yang telah menyampaikan perintah Tuhan-Nya. Inilah pendapat Mujahid.
* Supaya jin mengetahui bahawa rasul-rasul telah menyampaikan wahyu Allah dan mereka bukanlah mencuri maklumat seperti pendapat Ibnu Qutaibah.
* Supaya Allah mengetahui yang rasul-rasul-Nya telah menyampaikan risalah daripada-Nya seperti pendapat al-Zajjaj.
Abdul Razaq mengatakan dari Ma'mar daripada Qatadah: Nabi mengetahui para Rasul menyampaikan tugas daripada Allah dan para Malaikat menjaganya.
Ibnu Jauzi dalam kitab Zadul Masir berkata: Allah SWT sentiasa menjaga rasul-rasul-Nya melalui para malaikat agar mereka boleh menyebarkan risalah-Nya serta menjaga wahyu yang diturunkan agar Dia mengetahui mereka telah menyampaikan risalah Tuhan.
Sayid Qutub berkata: Rasul-rasul yang dipilih dan diredai Allah SWT akan dibuka pengetahuan ghaib-Nya iaitu mengenai semua yang berkaitan dengan wahyu yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Serentak itu juga Allah menjaga para rasul-Nya daripada godaan dan bisikan syaitan. Gambaran kawalan dan pengawasan yang sempurna terhadap Rasullullah SAW sangat jelas dalam ayat tersebut. Allah SWT mengetahui semuanya untuk menjelaskan bahawa penyampaian dakwah sudah terlaksana kepada manusia di muka bumi.
Surah ini membincangkan dua perkara utama;
n Menceritakan ungkapan-ungkapan yang keluar daripada kalangan bangsa jin ketika mendengar bacaan al-Quran. Di kalangan jin itu ada yang berkata al-Quran dianggap sebuah kitab yang menunjukkan kepada jalan yang lurus.
Maha Suci Allah SWT daripada mempunyai isteri dan anak, mereka menyangka bahawa tidak ada seorang pun yang mendustakan Allah SWT. Terdapat juga di kalangan manusia yang meminta pertolongan daripada golongan jin untuk menghilangkan kesempitan hidup mereka, para jin mencari berita dari alam atas tetapi mereka dihalang.
Dalam pada itu, para jin tidak mengetahui apa yang berlaku di bumi kerana halangan ini. Di kalangan jin pula ada yang baik dan ada yang jahat. Ada yang Islam dan ada yang kafir menyimpang daripada kebenaran.
n Perintah yang disampaikan kepada Nabi SAW agar disebarkan kepada makhluk. Antara dilarang menyekutukan sesuatu dengan Tuhannya. Baginda juga tidak mampu mendatangkan manfaat atau bahaya.
Baginda juga tidak mampu menghalang seseorang daripada menderhaka kepada Allah SWT, andainya orang tersebut ingin menderhakai-Nya. Baginda juga tidak mengetahui bilakah saat mereka akan diseksa kerana hanya Allah SWT sahaja Yang Mengetahui.
Semoga Allah menempatkan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh, sekali gus melayakkan kita untuk menghuni syurga-Nya. Amin.

Sunday, June 17, 2012

Semua jenis perniagaan kena zakat



Semua jenis perniagaan sama ada kecil atau besar adalah tertakluk kepada zakat perniagaan. - Gambar hiasan




SAYA hanyalah seorang peniaga nasi lemak di warung kecil di kawasan perumahan saya. Alhamdulillah, rezeki yang saya peroleh semakin meningkat dan perniagaan juga berkembang. Sejak dua tahun lalu, saya sudah mampu menggajikan dua orang pekerja dan saya sendiri mendapat gaji tetap dari warung tersebut. Soalan saya, adakah saya dikenakan zakat pendapatan atau zakat perniagaan ke atas perniagaan tersebut? Jika zakat perniagaan, adakah saya perlu mengambil kira segala kos perniagaan sebelum mengeluarkan zakat perniagaannya? Bagaimana pula dengan pekerja saya, adakah saya wajib memotong zakat pendapatan mereka sebelum memberikan gaji?

Jawapan

Alhamdulillah, semoga niat suci tuan untuk menunaikan zakat mendapat keberkatan daripada Allah SWT, sesuai dengan pesanan daripada Rasulullah SAW: "Peniaga yang jujur lagi amanah akan bersama para nabi, para siddiqin dan para syuhada di akhirat (nanti)." (Riwayat Imam at-Tarmizi dan al-Hakim).
Sesungguhnya, ramai peniaga kecil-kecilan dalam kalangan umat Islam yang terkeliru tentang status zakat ke atas diri mereka. Pertamanya, adakah perniagaan kecil itu juga tertakluk kepada kewajipan zakat? Keduanya, adakah mereka dikenakan zakat perniagaan atau pendapatan? Ketiganya, bagaimanakah mengira atau mentaksir zakat perniagaan mereka yang kecil-kecilan itu?

Jawapan mudahnya, semua perniagaan sama ada kecil atau besar adalah tertakluk kepada zakat perniagaan. Oleh itu, semua peniaga Muslim yang telah mencapai syarat wajib zakat, maka hukumnya adalah wajib mengeluarkan zakat. Diulang semula, lima syarat asas itu ialah Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan haul.
Manakala, tiga syarat tambahan zakat perniagaan ialah mestilah menjual produk yang halal, tidak melakukan urusniaga yang haram (misalnya riba dan menipu) serta sememangnya ia diniatkan sebagai perniagaan. Misalnya, jika memelihara kambing, memang diniatkan untuk diniagakan, maka kena zakat perniagaan dan bukan zakat penternakan.

Merujuk kepada persoalan di atas, adakah tuan dikenakan sama ada zakat pendapatan atau perniagaan sahaja; atau kedua-dua jenis zakat sekali gus? Maka, di sini, pertama sekali harus diketahui bahawa zakat pendapatan dikenakan ke atas pendapatan yang diterima. Manakala, zakat perniagaan dikenakan ke atas harta-harta perniagaan tuan.
Maka, di sini tuan hakikatnya dikenakan dua jenis zakat, pertama zakat ke atas pendapatan bulanan yang tuan terima dan kedua, zakat ke atas harta perniagaan apabila sampai haulnya.

Bagi zakat pendapatan, taksirannya adalah seperti mana yang telah diterangkan sebelum ini, iaitu dengan menolak terlebih dahulu beberapa perbelanjaan ke atas diri sendiri, keluarga dan beberapa item lain. Kemudian, bakinya jika masih ada dikeluarkan zakatnya 2.5 peratus.
Bagi zakat perniagaan, secara mudahnya, tuan hendaklah mengira keuntungan perniagaan yang telah dibuat selama setahun dicampur dengan modal semasa (yakni barangan yang sudah siap untuk dijual), kemudian ditolak dengan hutang perniagaan tuan dengan pihak lain dan ditambah dengan hutang peniaga lain kepada tuan (yang diharapkan mampu dibayar pada tahun semasa), setelah itu dikeluarkan zakatnya 2.5 peratus. Ini asasnya.

Tuan juga hendaklah menolak terlebih dahulu segala macam kos, termasuklah gaji tuan, gaji pekerja, sewaan tapak, kos utiliti dan sebagainya (jika ada).
Berkenaan para pekerja pula, maka tuan tidaklah diwajibkan untuk memotong zakat mereka, kerana ia adalah kewajipan ke atas individu Muslim untuk menekuni dan mematuhi kewajipan zakat mereka sendiri.
Namun, jika tuan mengetahui pekerja tuan sememangnya sudah termasuk kategori wajib dan jika dibiarkan, mereka memang diyakini enggan berzakat, maka kala itu wajarlah tuan melaksanakan arahan wajib pemotongan zakat terus daripada gaji bulanan mereka.

Pun begitu, kaedahnya hendaklah diperhalusi, misalnya diberikan maklumat dan penerangan awal kepada mereka, juga diberikan bukti pembayaran zakat kepada institusi zakat kepada semua pekerja. Tuan juga wajib mengambil kira, adakah pekerja tuan memang benar-benar layak berzakat, ini kerana, hanya yang layak sahaja wajib berzakat.
Tuan boleh merujuk kepada formula pengiraan zakat perniagaan yang lebih terkini seperti mana yang disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor. (sila rujuk       

Kesimpulannya, tuan memang wajib mengeluarkan zakat ke atas perniagaan dan pendapatan tuan. Semoga penjelasan ini dapat membantu tuan dalam usaha mencapai keredaan Allah SWT, dalam setiap urusan dan pekerjaan. Wallahua'lam.







Saturday, June 16, 2012

Kekalnya jasad para Nabi




Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

DI antara salah faham yang berlegar di kalangan umat adalah tanggapan bahawa mereka yang sudah berpindah ke alam barzakh sudah terputus langsung hubungan dengan yang masih hidup.
Sedangkan nas-nas dan huraian ulama seperti yang sedang kita bentangkan menunjukkan sebaliknya, terutamanya bagi mereka yang istimewa kedudukannya di sisi Allah seperti para Anbia dan Syuhada.
Antara bukti keistimewaan mereka ini di alam barzakh adalah kekalnya jasad mereka dan tidak reput seperti mayat manusia biasa. Kekalnya jasad mereka ini adalah tanda bahawa kehidupan roh mereka juga berbeza berbanding dengan roh manusia biasa.
Telah diriwayatkan hadis daripada Aus ibnu Aus RA, beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya, di antara hari yang paling mulia bagi kalian adalah hari Jumaat; pada hari itu diciptakan Adam RA, pada hari itu juga nyawa Adam AS dicabut, hari itu jugalah ditiup sangkakala dan pada hari itu jugalah semua makhluk dimatikan. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari tersebut. Sesungguhnya selawat kalian dibentangkan kepadaku."
Mereka bertanya: "Bagaimanakah selawat kami itu boleh dibentangkan kepadamu, sedangkan kamu telah pun binasa." Maka Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad-jasad para nabi."
Maka ketahuilah bahawa hadis, "Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad-jasad para nabi", diriwayatkan daripada banyak jalan; sepertimana yang telah dikumpulkan oleh al Hafiz al Munziri di dalam bahagian yang khusus.
Beliau berkata di dalam kitab al-Targhib wa al-Tarhib: Bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah dengan sanad yang baik. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban di dalam kitab Sohihnya. Manakala al-Hakim mensohihkannya.
Ibnu Qayyim berkata di dalam Kitabnya al-Ruh yang dinaqalkannya daripada Abi Abdullah al-Qurtubi: "Adalah sohih riwayat daripada Nabi SAW, bahawa bumi tidak memamah jasad-jasad para nabi. Sesungguhnya Nabi SAW telah berhimpun bersama mereka pada malam Israk di Baitulmaqdis dan juga di langit, teristimewanya bersama Nabi Allah Musa AS.
Baginda SAW juga mengkhabarkan dengan sabdanya: "Setiap Muslim (yang telah mati) apabila diucapkan salam kepadanya, maka Allah SWT akan mengembalikan rohnya sehinggalah dia dapat menjawab salam tersebut."
Begitu juga dengan hadis-hadis lain; yang kesimpulannya memutuskan bahawa kewafatan para nabi sebenarnya bermaksud hilangnya mereka daripada pandangan kita, iaitu kita tidak dapat melihat mereka, sekalipun mereka sentiasa wujud dan hidup.
Hal ini adalah sama seperti malaikat; mereka itu hidup dan sentiasa wujud, akan tetapi kita tidak dapat melihat mereka.
Di sini, dinaqalkan perkataan Imam al-Qurtubi yang juga telah diakui oleh Syeikh Muhammad al-Safarini al-Hanbali di dalam syarah Kitab Aqidah Ahli Sunnah sebagaimana nasnya yang berbunyi: Telah berkata Abu Abdullah al-Qurtubi: Telah berkata guru kami Ahmad ibnu Umar al Qurtubi, pengarang Kitab al-Mufhim fi Syarh Muslim: Apa yang dapat menghilangkan kerumitan ini ialah kematian itu bukanlah bermaksud betul-betul tiada, akan tetapi ia bermaksud perpindahan dari suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lain. Hal ini dibuktikan berdasarkan keadaan para syuhada selepas mati dan dibunuh, mereka itu hidup dengan gembira dan diberikan rezeki di sisi Tuhan mereka.
Ini adalah sifat-sifat orang-orang yang hidup di dunia. Sekiranya hal ini berlaku kepada syuhada, maka para nabi adalah lebih berhak dan lebih utama untuk mendapat keistimewaan ini. Imam al-Qurtubi ada menyebut, bahawa jasad-jasad para nabi tidak akan hancur ditelan zaman.
Al-Imam al Hujjah Abu Bakar ibnu al Husin al-Baihaqi telah mengarang sebuah risalah khusus mengenai tajuk ini. Di dalamnya, beliau telah menghimpunkan sejumlah daripada hadis-hadis yang menunjukkan hidupnya para nabi di alam barzakh dan kekalnya jasad-jasad mereka.
Begitu juga al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti. Beliau telah mengarang sebuah risalah khusus berkenaan tajuk ini.
'Hidupnya' para Nabi di alam barzakh dengan cara yang tersendiri baik dari segi roh dan jasad seperti yang kita bahaskan menunjukkan bahawa wajarlah kita melayan mereka dengan cara yang tersendiri juga.
Wajarlah menziarahi kubur mereka dikira sebagai suatu yang digalakkan seperti menziarahi mereka ketika masih hidup. Adalah salah jika perbuatan menziarahi kubur dan menghormati orang-orang soleh yang telah meninggal dunia dianggap serong dan sesat.






Mia yang aktif

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MIA leka bermain anak patung baby alive.

KETIKA ini, kalau ditanya siapa pelakon kanak-kanak yang paling digemari, pasti nama Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 7, yang menjadi sebutan.
Wajahnya yang comel itu membuatkan mata penonton tidak lepas pandang setiap kali Mia muncul beraksi di layar kaca atau filem.
Gelagatnya yang bersahaja apabila berlakon memperlihatkan Mia sebagai seorang berbakat dan lebih matang dari usia sebenarnya.
Namun sewaktu S3 berpeluang berkunjung ke rumahnya di Kota Damansara, Selangor baru-baru ini, Mia yang saya lihat sama sahaja seperti kanak-kanak lain.
Semua benda hendak ditunjuk pada saya dan jurufoto. Nasib baik papanya, Muhammad Ridhuan Muhammad Salleh menghalang kerana dalam tempoh terbatas itu, Mia perlu ke sekolah pada pukul 12.45 tengah hari.
Mia merupakan pelajar tahun satu sesi petang, kelas satu Ikhlas, Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Kota Damansara.
“Kalau tidak ditegur, mengadap tv saja kerjanya. Selalunya sebelum dia tengok tv, saya akan pastikan dia siapkan kerja sekolah terlebih dahulu.
“Sebelum itu saya akan mengajar Mia baca Muqaddam. Pagi-pagi rumah kami memang sunyi sebab kakak dan abangnya, Adriana Izzati, 11 dan Muhammad Danish Iman, 8, sekolah sesi pagi. Adiknya, Amani Iman, 2 pula saya hantar rumah pengasuh," cerita Muhammad Ridhuan.
Mia yang sempat bertanya pada saya barang apa yang perlu dibawa ke sekolah untuk pembelajaran berkata, dia suka mata pelajaran sains kerana banyak aktiviti.
Sambil menunjukkan anak patungnya baby alive yang boleh makan dan minum, kemudian membuang air besar dan air kecil itu, Mia bercerita di sekolah dia berkawan baik dengan Alisya Dania dan Aliana.
“Mia dah tengok jadual waktu ke belum. Buku yang perlu dibawa sudah dimasuk ke dalam beg belum?" tanya papanya pada Mia yang leka bermain anak patung itu.
“Sudah papa. Auntie nak tengok tak buku Matematik Mia," katanya lantas berlari ke meja untuk mengeluarkan kerja sekolahnya itu.
Biarpun Mia sibuk sebagai pelakon sejak usia lima tahun namun dia tidak pernah ketinggalan dalam pelajaran.
Sebagai pengurus, Muhammad Ridhuan berkata, dia hanya akan menerima tawaran berlakon untuk Mia pada hujung minggu atau cuti sekolah sahaja.
“Sekarang ini memang saya memilih sikit untuk Mia. Perlu selektif untuk menjaga namanya. Kalau ikutkan, semua dia nak berlakon. Semua orang ingat saya yang paksa Mia berlakon, sebenarnya semua atas kehendak Mia.
“Bila Mia nak berlakon sangat, saya beri syarat supaya buat betul-betul. Saya perlu bertegas kerana sejak dia aktif berlakon, saya perlu berhenti kerja untuk menjaganya," katanya terus terang.
Kelas agama
Mia yang dihantar dan diambil ke sekolah oleh papanya tidak berkesempatan mengikuti kelas agama seperti rakan-rakan lain. Namun Muhammad Ridhuan tidak pernah mengabaikan ilmu agama terhadap anak-anak.
Katanya, setiap Rabu, pukul 8 hingga 9.30 malam, Mia dan adik-beradik akan belajar tajwid di masjid berhampiran.
“Bukan saya tidak mahu hantar Mia ke kelas agama, takut pelajarannya terganggu kalau sering ponteng untuk berlakon. Jadi saya panggil guru untuk mengajar Iqra di rumah setiap pagi Rabu hingga Jumaat.
“Mia mula belajar Iqra sejak tahun lepas. Kalau ikutkan jadual Mia memang padat tapi saya perlu pantau. Setakat ini, semuanya dalam kawalan," katanya tanpa berselindung.
Ketika sibuk bercerita itu jugalah Muhammad Ridhuan mengarah Mia ke atas untuk menukar baju. Sebaik sahaja Mia selesai mengenakan pakaian sukan untuk ke sekolah, Muhammad Ridhuan tanpa kekok menyikat rambut dan menyapu bedak ke wajah puterinya.
“Kita pergi makan dulu ya kat gerai depan. Selalunya macam inilah, saya akan bawa dia makan di kedai sebelum hantar ke sekolah," ceritanya sambil menuju ke dapur untuk mengambil bekas air untuk Mia bawa ke sekolah.
Mia yang leka memakai kasut di hadapan muka pintu rumah turut menyoal papanya tentang wang sakunya.
Sewaktu kami sampai di gerai nasi ayam, saya lihat Mia seperti kanak-kanak lain culas untuk makan walaupun dia sebenarnya kelaparan.
“Papa cepatlah suapkan Mia makan," pintanya sambil mencuit nasi di pinggan dengan sudu.
Jelas Muhammad Ridhuan, selalunya dia akan makan dahulu sebelum menyuap Mia makan.
“Dia ni kalau bersuap, pantas saja. Cepat Mia, kita sudah tidak ada waktu ni," pujuknya.
“Ala papa tak buat bunyi kapal terbang pun," rengek Mia.
Mahu tak mahu terpaksalah dia melayan karenah Mia sambil menggayakan sudu yang penuh dengan nasi sebagai ‘kapal terbang’ sebelum mendarat ke mulut anaknya.
Sebaik sahaja selesai makan, Muhammad Ridhuan terus menghantar Mia ke sekolah. Sebaik sahaja bersalam dengan papanya, Mia terus berlari ke kawasan sekolah.
Meskipun Mia telah berlakon drama Adamaya, Epilog Syurga Cinta, Tiramisu, Zoo The Series, Begitukah Cinta, Pengorbanan Terakhir dan Cinta Buat Emelda namun sifat kanak-kanaknya tetap menebal.
Mia yang telah berlakon filem Nur Kasih The Movie, Sekali Lagi dan Papa I Love You, bakal muncul dalam filem Lagenda Budak Setan 3 tidak lama lagi.
Lain-lain komersial lakonan Mia adalah produk susu kanak-kanak, Astro Beyond, pelembut pakaian Softlan, Bank Islam dan syarikat telekomunikasi seperti Celcom dan TM.





Hormati sesama ulama

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD


PENULIS terpanggil menulis berkaitan isu yang timbul di mana terdapat suara-suara yang keluar secara siaran langsung memperkecil golongan al-Quran.
Perkara itu mendapat perhatian Imam Besar Masjid Negara yang memberi ulasan melalui unit penyiaran masjid itu.
Suka saya membuat sorotan kepada penghormatan antara ulama pada zaman terdahulu. Umum mengetahui hadis-hadis yang berkaitan kelebihan membaca al-Quran seperti hadis riwayat Othman Ibnu Affan ra., Sebaik-baik di kalangan kamu ialah yang belajar al-Quran dan mengajarnya.
Begitu juga hadis yang menerangkan tentang kelebihan ulama yang faham atau faqehdalam urusan agama seperti hadis riwayat Muawiyah ra., Sesiapa yang Allah SWT hendakkan kepadanya kebaikan difahamkannya urusan agama.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Orang yang paling baik bacaan Quran di kalangan kamu ialah Ubai Ibnu Kaab, yang paling alim faraid ialah Zaid ibnu Thabit, yang paling alim berkaitan halal dan haram ialah Muaz Ibnu Jabal dan yang paling arif tentang Qada' ialah Ali Ibnu Abi Talib."
Para sahabat ra. hidup dalam suasana harmoni dengan sikap menghormati keilmuan setiap orang yang mereka peroleh daripada Rasulullah SAW. Sikap yang baik ini berterusan pada generasi selepasnya.
Contoh ketinggian akhlak sesama mereka pernah berlaku Zaid Ibnu Thabit ra. yang terkenal dengan kealimannya dan penulis al-Quran menunggang unta dan Abdullah Ibnu Abbas memegang tali tunggangannya itu.
Zaid mengarahkan agar Abdullah melepaskan tali tunggangannya tetapi Abdullah menjawab beginilah ajaran Rasulullah untuk menghormati ulama.
Lalu Zaid mendapatkan Abdullah dan mencium tangannya sambil berkata, beginilah kami diajar menghormati keluarga Rasulullah SAW.
Sejarah membuktikan bagaimana Imam Malik ra. pengasas Mazhab Maliki mempelajari al-Quran dengan gurunya yang terkenal iaitu Imam Nafie' yang merupakan salah seorang Tujuh Qurra.
Apabila diajukan kepada Imam Malik soalan berkaitan al-Quran dan wajah bacaannya, beliau dengan rendah diri mengarahkan soalan tersebut perlu dirujuk kepada Imam Nafie' yang arif permasalahan tersebut. Indahnya sifat hormat Imam Malik kepada golongan al-Quran.
Pengasas mazhab feqh pertama Imam Abu Hanifah yang meninggal 150 hijrah, hidup di Kufah sezaman dengan seorang tokoh Qurra yang terkenal iaitu Imam Hamzah.
Imam Hamzah pernah menyatakan tidak aku baca satu huruf al-Quran melainkan berdalilkan kepada athar.
Kealiman Imam Hamzah dalam ilmu Quran dan faraid menarik perhatian Imam Abu Hanifah sehingga beliau menyatakan kepada Imam Hamzah, "Kami tidak sekali-kali mempertikai kamu tentang dua perkara; al-Quran dan faraid." Satu penghormatan yang tinggi daripada seorang tokoh feqh kepada tokoh Quran.
Pernah berlaku satu peristiwa kepada Syeikh Rif'at legenda Quran di Mesir yang mempunyai daya tarikan bacaan Quran dan boleh mempengaruhi orang ramai dengan seni tarannumnya, di mana pembesar suara diperkenal pada zamannya iaitu zaman 20-an.
Oleh kerana pertama kali melihat alat pembesar suara, beliau tidak mahu membaca al-Quran di hadapan alat tersebut kecuali dengan fatwa daripada Syeikh al-Azhar.
Lalu Syeikh Azhar memberi penerangan tentang fungsi alat tersebut yang tiada kena mengena dengan agama, barulah Syeikh Rif'at membaca al-Quran.
Indahnya penghormatan ulama feqh dan ulama Quran yang telah ditunjukkan oleh golongan salaf.
Justeru, tidak perlu mencari kekurangan seseorang kerana manusia dicipta dengan banyak kekurangan. Begitu juga, jangan mencari kesalahan atau memperlekeh seseorang.
Imam Besar Masjid Negara mengulas isu ini dengan menyebut hadis Rasulullah SAW: "Barangsiapa dikurniakan al-Quran kemudian melihat yang lain lebih utama, sesungguhnya dia telah memperkecilkan apa yang diagungkan Allah."


Bertaubat jalan orang muttaqin

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

SETIAP manusia biasa melakukan dosa. Remaja juga tidak terlepas melakukan dosa, sama ada dosa besar atau kecil. Memang kejadian manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan khilaf, sama ada disedari atau tidak.
Manusia secara fitrahnya mempunyai sikap terburu-buru serta gopoh sebagaimana firman Allah dalam surah al-Israa' ayat 11.
Di peringkat remaja, cabaran menempuh persekitaran dan emosi sentiasa menjadi mainan seharian remaja. Sikap remaja yang belum matang dalam mendepani cabaran dan permasalahan boleh menyebabkan remaja ada kalanya terlalai dan tersilap memilih arah.
Kelupaan menyebabkan remaja melanggar perintah Allah, dan kelalaian menyebabkan remaja terjebak dalam perbuatan yang melampaui batas.
Justeru, remaja perlu selalu diperingatkan dengan nasihat yang baik. Nasihat serta bimbingan yang baik memang amat perlu sebagai panduan hidup remaja agar tidak sesat jalan.
Sebab itulah para Nabi dan Rasul diutuskan kepada umat manusia.
Melakukan dosa berulang-ulang boleh menggelapkan hati. Hati yang gelap dan kotor tanpa cuba dibersihkan akan menyebabkan hati bakal mati.
Lalu jika hati menjadi kotor, sifat malu, rasa berpahala dan rasa berdosa tidak wujud dalam diri remaja. Bila sifat-sifat ini hilang, maka remaja tidak akan segan silu melakukan dosa.
Persoalannya, mengapa remaja melakukan dosa? Banyak puncanya, antaranya kerana remaja tidak memiliki kesedaran rohaniah yang meyakini bahawa Allah itu Maha Mengetahui serta Maha Melihat.
Percaya kewujudan Allah tanpa ilmu kadangkala tidak menimbulkan keinsafan serta keyakinan teguh bahawa setiap amalan dicatat dan dilihat. Perasaan ragu-ragu dalam bertuhan menyebabkan pelanggaran terhadap hukum Allah senang berlaku.
Faktor lain juga mungkin berpunca daripada kurangnya ilmu-ilmu yang berguna dan bermanfaat yang dititipkan kepada remaja. Perubahan zaman yang pantas kadangkala menyebabkan remaja tidak diberi didikan yang betul dan sesuai dengan zamannya.
Cabaran-cabaran seperti peningkatan taraf hidup, pendidikan, ekonomi serta sosial memaksa remaja untuk pantas menyesuaikan diri dengan sebaik-baik mungkin. Ada remaja yang tidak dapat menyesuaikan diri, lalu senang terjebak dengan impak negatif.
Didikan agama sememangnya menjadi keutamaan sepanjang zaman agar menjadi manusia yang faham tentang dosa, pahala serta nilai.
Pada masa sama, remaja juga perlu dilengkapkan dengan asas-asas dan ilmu-ilmu penting mengenai cabaran semasa agar remaja tidak hanya mengikut peredaran zaman dan hanyut dibawa arus.
Seterusnya, ketiadaan contoh atau qudwah yang baik menjadi sumber remaja terjebak melakukan dosa. Walaupun setiap orang bertanggungjawab atas pilihannya sendiri, ketiadaan contoh yang baik menyebabkan kelompangan fitrah untuk diteladani dan diikuti.
Dorongan berseronok-seronok menyebabkan artis-artis, selebriti serta personaliti popular yang tidak Islamik lebih menjadi idola remaja berbanding ilmuan, ulama serta cendekiawan.
Oleh itu, ibu bapa, guru-guru serta masyarakat boleh menjadi rakan pembimbing serta contoh yang baik kepada remaja.
Remaja Islam harus insaf bahawa kumpulan mereka ini sedang dijadikan sasaran oleh musuh-musuh umat Islam, khususnya para pendakwah yang menguasai media cetak dan elektronik.
Apabila hiburan, muzik, festival dan bahan-bahan lucah dalam Internet menjadi ketagihan, para remaja mula alpa tentang tanggungjawab kepada Allah dan akhirnya mudah terjebak dalam perangkap dosa.
Namun, fitrah manusia sememangnya inginkan kebaikan dan kesempurnaan dalam hidup. Tetapi apabila dosa dan salah mula bertimbun dalam diri, remaja ada kalanya tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan.
Ada remaja yang terus menerus melakukan dosa, dengan harapan dapat berhibur di masa muda dan menebus kembali di masa tua. Ada yang bingung menyatakan tidak mungkin dosa-dosa akan diampunkan kerana ia terlalu banyak. Ada yang ingin kembali ke pangkal jalan tetapi tidak tahu bagaimana caranya.

Orang yang berselimut

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SAYID Qutub berkata: "Menurut satu riwayat turunnya surah ini ialah pemimpin Quraisy berkumpul di Darun Nadwah (Dewan Persidangan) merancangkan langkah jahat menentang Rasulullah SAW dan dakwah yang dibawa kepada mereka.
Apabila berita ini sampai kepada Baginda, beliau berdukacita lalu berselimut dan tidur dalam keadaan runsing. Ketika itulah Jibril a.s. datang membawa wahyu kepada Baginda.
Surah ini mengikut pendapat al-Hasan, Ikrimah, Ata', Jabir, Ibn Abbas dan Qatadah termasuk dalam surah Makiyyah.
Firman Allah SWT: Hai orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya). (al-Muzammi: 1-2)
Al-Mawardi menyebut tiga pendapat:
* Yang berselimut dengan kenabian. Inilah pendapat Ikrimah.
* Dengan Quran. Inilah pendapat Ibn Abbas.
* Dengan pakaiannya. Inilah pendapat Qatadah.
Berkenaan dengan Bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya) ada dua pendapat:
* Kecuali sedikit daripada bilangan malam yang kamu tidak bangunnya.
* Kecuali sedikit daripada masa pada setiap malam yang kamu tidak bangunnya.
Al-Maraghi berkata: "Wahai Nabi yang berselimut dengan kain, bersiap sedialah untuk bersembahyang, kerjakanlah solat malam selain sedikit masa yang digunakan untuk berehat."
Firman Allah SWT: (Iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua itu dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan. (al-Muzammil: 3-4)
Al-Maraghi berkata: "Baginda diperintah agar mengerjakan sembahyang pada sebahagian malam, atau lebih sedikit atau kurang sedikit daripada sebahagian malam itu. Tanpa ada halangan baginya untuk memilih salah satu daripadanya. Selepas Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya bangun pada waktu malam untuk solat, Dia memerintahkan Baginda membaca al-Quran secara tartil."
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. (al-Muzammil: 5)
Al-Hasan Ibn Fadl berkata: "Perkara yang berat lagi sukar hanya dapat dipikul dan dihadapi oleh hati yang dihiasi dengan taufik dan tauhid."
Ibnu Zaid berkata: "Demi Allah! al-Quran itu adalah berat tetapi ia diberkati pada hari Kiamat nanti akan ia akan memberatkan timbangan."
Firman Allah SWT: Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. (al-Muzammil: 6)
Disebut nasyaa jika seseorang bangun pada waktu malam hari. Diriwayatkan daripada Mujahid iaitu waktunya setelah Isyak.
Abi Mujliz, Qatadah, Salim, Abu Hazim dan Muhammad bin al-Munkadir berkata: "Tujuannya nasyiatul lail bermaksud malam. Dan setiap saat pada malam disebutnasyiah. Ia bermaksud bangun malam lebih sesuai antara hati dan lisan. Bacaan al-Quran ketika itu lebih memberikan kesan yang lebih mendalam."
Ada enam takwilan berkenaan ayat ini:
* Qiamullail mengikut lughah habasyah. Inilah pendapat Ibn Mas'ud.
* Antara Maghrib dan Isyak. Inilah pendapat Anas bin Malik.
* Selepas Isyak. Inilah pendapat al-Hasan dan Mujahid.
* Beberapa waktu malam kerana begitu cergas untuk beribadat. Ini pendapat Ibnu Qutaibah.
* Permulaan malam. Ini pendapat Ata' dan Ikrimah.
* Semua malam dipanggil nasyiah kerana ia wujud selepas siang seperti pendapat Ibnu Abbas.
Al-Maraghi berkata: "Ibadah malam qiamullail akan meninggalkan kesan yang lebih kuat dan berlakunya kesatuan hati dengan lidah. Justeru, dengan mengerjakannya lebih menumpukan fikiran untuk meneruskan bacaan dan memahaminya kerana pada waktu malam pasti memberi ketenangan kepada hati berbanding dengan waktu siang."
Hamka berkata: "Abdullah bin Mas'ud memberi peringatan jika membaca al-Quran jangan tergesa-tergesa, terburu-buru, bahkan dibaca dengan perlahan tanpa perlu mendendangkan syair. Sekiranya bertemu dengan sesuatu keajaibannya dan hikmah maka berhenti sejenak dan renungkanlah untuk iktibar."
Oleh itu, terdapat kaitan antara solat tengah malam dan membaca Quran secara tartil dan ia banyak dilakukan oleh Nabi SAW ketika bulan Ramadan serta solat terawih. Ini lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT dan perbuatan yang diredai-Nya.



Tidak tunaikan solat hidup tiada makna







Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelaku gugur keimanannya. - Gambar hiasan



SETIAP daripada kita pastinya bercita-cita untuk memperbaiki ilmu agama, tidak terkecuali saya. Tetapi Ustaz masalah yang saya hadapi ialah kesedaran dan tahap keimanan itu kadang-kadang ada pasang surutnya. Ini berpunca daripada pelbagai sebab seperti penat, sibuk dan lain-lain.
Pada masa yang sama, timbul rasa bersalah bila tidak melakukan apa yang dituntut itu. Contoh paling mudah, solat lima waktu.

Jawapan
Kita harus ingat bahawa talian hayat di antara hamba Dan Pencipta ialah solat. Melalui solatlah seseorang hamba dapat berhubung terus dengan Allah SWT. Hari ini tidak mudah bagi seseorang untuk bertemu dengan orang besar, berjawatan, berpangkat dan berkuasa. Dalam Islam, Allah SWT melalui Rasul-Nya telah menyediakan rangkaian talian berhubung terus dengan Allah SWT.
Tanpa solat hidup kita selaku orang Islam tidak bermakna, biar sehebat manapun kita di sisi manusia, kita tetap kerugian di hadapan Allah SWT. Solat itu penghubung antara kita dan Allah. Solat itu penenang, solat itu cahaya, solat itu penghapus duka dan solat juga penawar penyakit rohani.
Jangan abaikan solat biar apa sahaja keadaannya, di mana sahaja kita berada. Bumi Allah SWT terbentang untuk itu.
Rasulullah SAW pernah ditanya apa itu Islam, lantas baginda menjawab: Islam itu dibina atas lima perkara, syahadah bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa pada bulan Ramadan dan haji ke Baitullah. (riwayat Imam al-Bukhari)
Tidak seperti ibadat lain, kewajipan solat diwahyukan terus kepada Rasulullah SAW pada malam berlakunya peristiwa Israk Mikraj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril sebagaimana dijelaskan oleh Malik bin Anas: Pada malam Israk difardukan kepada Nabi SAW solat sebanyak 50 kali, kemudian dikurangkan hingga lima kali (sehari) kemudian diseru (oleh Allah), Wahai Muhammad! Sesungguhnya ketetapan-Ku tidak akan diubah. Dan bagimu dengan solat lima kali (sehari) akan mendapatkan pahala sebanyak solat 50 kali. (riwayat Imam al-Tirmidzi)
Ini menunjukkan keagungan dan keistimewaan ibadat solat melebihi ibadat lain. Solat juga adalah tiang asas bagi agama Islam dan jika tiang itu runtuh maka runtuhlah segala-galanya berkaitan agama.
Begitulah tingginya martabat ibadat solat di sisi Islam. Tidak menghairankan jika perkara yang mula dihisab pada hari akhirat nanti adalah solat. Jika seseorang itu tidak bersolat, maka sia-sialah segala amal ibadatnya yang lain.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya yang pertama kali dihisab bagi seseorang hamba di hari kiamat daripada amalnya ialah solatnya, jika solatnya itu adalah baik maka dia termasuk dalam orang yang bahagia lagi beruntung dan jika amal solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung. (riwayat Imam al-Tirmidzi)
Oleh itu, umat Islam perlu memberi perhatian tinggi terhadap kesempurnaan ibadat solat kerana implikasinya terhadap diri kita begitu besar.
Namun, sayang seribu kali sayang, masih ramai kalangan umat Islam melalaikan solat.
Ulama berbeza pendapat mengenai hukum mereka yang meninggalkan solat secara sengaja. Golongan pertama berpendapat meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai tanpa mengingkari akan kewajipannya, maka mereka tergolong dalam golongan yang fasik (melakukan dosa besar) tetapi tidak terkeluar daripada Islam. (rujuk al-Nisaa: 116)
Golongan kedua berpendapat mereka yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai, baik dia mengakui kewajipan solat atau tidak, semua mereka ini termasuk dalam golongan kafir dan terkeluar daripada Islam. Mereka ini hendaklah bertaubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah semula.
Ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang sahih secara jelas menunjukkan ibadat solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelaku gugur keimanannya. (rujuk al-Qalam: 35-43)
Allah SWT memulakan ayat di atas dengan menyanggah mereka yang menyamakan taraf kehambaan seseorang yang taat kepada perintah-Nya dengan mereka yang ingkar.
Kemudian Allah menggambarkan keadaan huru-hara di alam akhirat dan Allah memerintahkan hamba-Nya sujud menyembah-Nya.
Namun, bagi mereka yang dulunya di dunia tidak bersujud (bersolat) kepada Allah secara sengaja tanpa uzur, mereka tidak mampu untuk bersujud kepada-Nya berserta orang Islam lain.
Ini menunjukkan mereka itu termasuk golongan orang kafir dan munafik yang mana ketika semua umat Islam bersujud kepada Allah, mereka enggan kerana tidak mampu.
Andai kata mereka termasuk di kalangan orang Islam, tentu mereka mampu bersujud kepada-Nya di alam akhirat kelak. Beginilah hinanya mereka yang tidak mengerjakan solat ketika kehidupan di dunia ini.


ISI KANDUNGAN


ISI KANDUNGAN



@ ISU SEMASA



                      Ismail Sabri dilantik PM ke-9


                  
                

                 
        



@ ISU

             

                    #COVID-19


              #Artis Bantu Semasa Covid-19

          # 1MDB

           # IBADAH 
          # UMUM
          # DA'I GLOBAL 
          # GLOBAL

             # SAUDARA BARU ISLAM 

 

             # KOME TANYA UKE JAWAB




@  SEJARAH ISLAM



@ PERKEMBANGAN ISLAM

       # ISLAM DI CHINA