Wednesday, April 8, 2020

COVID-19: Zara lancar kempen RM1 untuk penyelamat



Zara Zya menerima sumbangan bagi Kempen RM1 Untuk Misi Prihatin COVID-19. - Foto Zara Zya


Zara Zya melancarkan Kempen RM1 Untuk Misi Prihatin COVID-19 untuk membantu petugas dan sukarelawan atas kapasiti sebagai ikon projek Zara Prihatin. - Foto Zara Zya


COVID-19: Zara lancar kempen RM1 untuk penyelamat

Oleh Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Atas keprihatinan, aktres, Zara Zya melancarkan Kempen RM1 Untuk Misi Prihatin COVID-19 bagi membantu petugas yang menjadi penyelamat, selain berjuang mengawal jangkitan COVID-19 terus menular.
Pelakon yang mengukir nama menerusi drama Love You Mr Arrogant dan Seadanya Aku itu berbuat demikian atas kapasiti sebagai ikon projek Zara Prihatin #zaraprihatin.


Projek di bawah naungan Pertubuhan Prihatin Tanpa Sempadan dengan kerjasama, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Briged Kesenian APM.
“Doktor, jururawat, petugas dan sukarelawan menjadi wira serta wirawati dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia pada saat seluruh dunia berdepan dengan penularan COVID-19.
“Saya mohon masyarakat menyalurkan sumbangan serendah RM1 bagi membantu menyediakan barang keperluan asas seperti topeng muka, cecair pembasmi kuman dan makanan.
“Kita memerlukan kepakaran dan bantuan mereka pada saat bergelut dalam memastikan COVID-19 terhenti dengan segera,” katanya kepada BH Online.
Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian, Anugerah Skrin TV3 pada 2019 itu mengajak rakan artis untuk menyertai misi ini.
“Saya tak mahu berjuang seorang diri, tetapi nak ajak rakan artis bersatu hati menjayakan misi ini.
“Misi ini dirancang, sejak seminggu lalu. Bantuan perlu dilaksana kerana mereka memerlukan bantuan segera.
“Mereka perlu bahan perlindungan. Dalam masa yang sama, terpaksa bertungkus lumus memastikan COVID-19 terkawal tanpa menghiraukan risiko dan bahaya di depan mata,” katanya.
Zara berharap masyarakat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuat kuasa sejak 18 Mac lalu.
“Jangan mementingkan diri dan fikir keselamatan orang lain. Jika tiada kepentingan keluar rumah, janganlah berbuat demikian.
“Sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman, pakai topeng muka dan mengambil langkah berjaga-jaga.
“Pastikan jarak anda sekurang-kurangnya satu meter bersama individu lain. Teruslah berdoa semoga COVID-19 akan pergi segera,” katanya.
Untuk menyalurkan sumbangan boleh ikuti laman Instagram, @zaraprihatin atau @prihatin4u.

  • Lagi berita mengenai COVID-19






  • No comments: