Saturday, April 11, 2020

Raja Permaisuri sumbangkan 150 katil untuk Hospital Sg Buloh, HKL



Malaysiakini

Raja Permaisuri sumbangkan 150 katil untuk Hospital Sg Buloh, HKL
Diterbitkan 
Dikemaskini Hari ini 9:33 am

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenaan menyumbangkan 100 katil untuk kegunaan Hospital Sungai Buloh dan 50 katil lagi untuk Hospital Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook beliau mengucapkan setinggi-setinggi penghargaan ke atas baginda tuanku.
"Merafak sembah, menjunjung kasih mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang telah berkenan menyumbangkan 100 katil kepada Hospital Sungai Buloh dan 50 katil kepada Hospital Kuala Lumpur.
"Kementerian Kesihatan menjunjung kasih mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di atas sumbangan tersebut.
"Sesungguhnya ia pencetus dorongan semangat yang lebih jitu buat petugas kesihatan agar terus berjuang dalam usaha menyelamatkan negara," katanya.
Sementara itu, Noor Hisham turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas kurniaan 42 ventilator untuk kegunaan hospital di seluruh Johor.
Sumbangan baginda semalam disampaikan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu.
"KKM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas perkenan baginda Tuanku," kata Noor Hisham.


AS atasi Itali dengan angka kematian lebih 20,000



Malaysiakini

AS atasi Itali dengan angka kematian lebih 20,000


Diterbitkan 
Dikemaskini Hari ini 11:39 am

Amerika Syarikat mengatasi Itali pada hari Sabtu sebagai negara yang mencatatkan jumlah kematian akibat Covid-19 tertinggi, dengan mencatatkan lebih 20,000 kematian sejak wabak itu bermula, lapor Reuters.
Presiden Donald Trump berkata beliau berharap negara itu yang kini mencatatkan lebih setengah juta jangkitan, kembali kepada keadaan normal.
Amerika Syarikat menyaksikan jumlah kematian tertinggi setakat ini dengan kira-kira 2,000 kematian sehari yang dilaporkan selama empat hari berturut-turut terutamanya di New York.
New York kini masih mencari cara terbaik untuk mengurangkan kadar kematian dalam statistik rasminya.
Pakar kesihatan awam memberi amaran jumlah kematian di AS boleh mencapai 200,000 pada musim panas jika perintah berkurung yang menyebabkan perniagaan ditutup dan kebanyakan orang tinggal di rumah, ditarik semula selepas 30 hari.
Kebanyakan sekatan termasuk penutupan sekolah dan perintah penutupan perniagaan yang tidak penting terletak di bawah bidang kuasa gabenor negeri dan bukan presiden.
Bagaimanapun, Trump mengatakan dia mahu keadaan kembali normal secepat mungkin dan langkah diambil bagi membendung penyebaran Covid-19.
Negara itu dilihat lambat mengenakan sekatan, terutama di California. 
Di New York, dua pegawai tertinggi dari Demokrat dilihat tidak bersetuju antara satu sama lain atas bidang kuasa dan terminologi yang digunakan dalam melaksanakan langkah-langkah tertentu.
Pada pagi Sabtu, Datuk Bandar Bill de Blasio mengumumkan bahawa sekolah awam di New York tidak akan dibuka semula pada 20 April dengan mengatakan ia adalah "perkara yang betul untuk dilakukan."
Bagaimanapun, Gabenor New York Andrew Cuomo dalam sidang medianya menolak keputusan itu sebagai "pendapat", dan mengatakan beliau akan membuat keputusan sendiri mengenai penutupan sekolah, lapor Reuters.

https://www.malaysiakini.com/news/520168
























Bagaimana Muhyiddin perkukuh kuasa melalui lantikan GLC



Malaysiakini


Bagaimana Muhyiddin perkukuh kuasa melalui lantikan GLC
Diterbitkan 
Dikemaskini 11 Apr 2020, 9:12 pm

ULASAN | Telah lebih sebulan sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kuasa, namun skala serta skop perubahan di kalangan pengarah dan pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) cukup membingungkan.
Kadar perubahan pantas lebih mengejutkan memandangkan lantikan ini dibuat PN yang diketuai oleh perdana menteri dan menteri-menteri kanan yang sebelum ini berada dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Satu dimensi teras dunia GLC yang luas di Malaysia ialah menteri kabinet mengawasi pelbagai macam syarikat.
Oleh kerana ahli politik yang dilantik untuk jawatan kabinet utama mempunyai pengaruh yang besar terhadap sektor korporat, perlu dijelaskan taklimat sejarah penguasaan GLC baru-baru ini.
Kementerian di dalam perniagaan
Sebelum pilihan raya umum 2018 yang menempa sejarah itu, PH di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, telah berjanji untuk mereformasikan GLC. Ikrar ini penting kerana perdana menteri ketika itu, Najib Razak, dalam tugasannya sebagai menteri kewangan mempunyai kawalan efektif terhadap GLC utama di Malaysia.
Penumpuan kuasa politik dan korporat di tangan menteri perdana menteri yang menjadi menteri kewangan itu didakwa menyumbang kepada penyalahgunaan serius terhadap institusi berasaskan perniagaan, termasuk 1MDB, Tabung Haji dan Mara.
Di bawah pentadbiran Najib, empat kementerian utama mempunyai pengaruh korporat yang besar - Pejabat Perdana Menteri (PMO), Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Usahawan. Apabila PH mengambil alih kuasa, perdana menteri Dr Mahathir ketika itu telah mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
GLC berasaskan bumiputera yang penting telah dipindahkan ke Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, memberi menterinya, pemimpin PKR pada waktu itu, Azmin Ali pengaruh besar ke atas segmen sektor korporat ini.


Mahathir juga memindahkan cabang pelaburan terkemuka Malaysia, Permodalan Nasional Bhd (PNB), daripada Kementerian Kewangan kepada PMO. 
Ini bermakna walaupun perdana menteri tidak lagi dalam masa yang sama berkhidmat sebagai menteri kewangan, namun terdapat trend lama yang dikritik oleh parti pembangkang, iaitu banyak kuasa ekonomi kini terletak di bawah PMO.
Pemimpin utama parti Mahathir, Bersatu, dilantik sebagai menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Usahawan. Rina Harun mengetuai Kementerian Pembangunan Luar Bandar, manakala Mohd Redzuan Yusof mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan. 
Kedua-duanya tidak mempunyai pengalaman berkhidmat dalam kerajaan.
Kuasa beralih kepada PN
Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengawasi badan-badan berkanun yang bertanggungjawab untuk pembangunan kawasan luar bandar di mana ramai bumiputera yang berpendapatan rendah dan miskin terletak. Badan berkanun ini termasuk Mara dan Felcra yang memiliki sebilangan besar GLC.
Pembangunan Kementerian Usahawan mengawasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang merupakan 98.5 peratus daripada sektor korporat. Ini mencadangkan bahawa pengaruh Mahathir - dan Bersatu ke atas korporat Malaysia, agak besar.
Selepas PN mengambil alih kuasa, walaupun Azmin, Rina dan Redzuan, dilantik semula sebagai menteri, namun peralihan penting telah berlaku di kementerian-kementerian ini, seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah.


Perdana menteri baru, Muhyiddin Yassin, membubarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan semua institusi di bawahnya telah digabungkan dengan PMO.
Azmin, walaupun kini menjadi anggota Bersatu, diberi tanggungjawab untuk portfolio yang kurang penting, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti). 
Walau bagaimanapun, Muhyiddin telah melantik Azmin sebagai seorang menteri kanan. Miti tidak mempunyai kawalan terhadap banyak GLC, menunjukkan bahawa pengaruh Azmin terhadap syarikat berkaitan kerajaan juga telah semakin terhakis.


Gambar rajah di bawah menunjukkan hasil pemindahan semua institusi di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kepada PMO. Jelas sekali, Muhyiddin kini mempunyai lebih banyak kawalan terhadap syarikat korporat, berbanding dengan Mahathir. Antara institusi utama di bawah kawalan perdana menteri ialah PNB dan dana kekayaan tunggal Malaysia, Khazanah Nasional.
Dua institusi itu sahaja mempunyai pemilikan dan kawalan ke atas lapan daripada 10 syarikat teratas awam yang tersenarai di bursa saham Malaysia. 
Firma-firma ini termasuk Maybank dan CIMB, bank terkemuka Malaysia, syarikat berasaskan utiliti, Tenaga dan Axiata, konglomerat yang sangat pelbagai, Sime Darby, perusahaan berasaskan minyak dan gas Petronas Chemicals dan Petronas Gas, serta syarikat penjagaan kesihatan yang besar, IHH.


Di Kementerian Kewangan, Muhyiddin melantik Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai menteri, seorang pengurus bank yang bukan anggota mana-mana parti politik. 
Ini, seolah-olah, pelantikan "teknokrat", untuk membantu perdana menteri berurusan dengan kemelesetan ekonomi. Zafrul sendiri menegaskan beliau "bukan seorang ahli politik" dan menyuarakan harapannya untuk menjalankan tugas tanpa campur tangan politik.


Pemimpin Umno terkemuka, Bung Moktar Radin segera menempelak kenyataan Zafrul berkata: "Dia (Zafrul) dia tak sedar pelantikannya atas move (gerakan) politik."
Kementerian Kewangan mengawal institusi berasaskan tabungan yang besar, KWSP, dana pencen sektor awam, KWAP, dan Menteri Kewangan Diperbadankan, syarikat pegangan utama kerajaan, seperti ditunjukkan angka di gambar rajah ini.


Menariknya, walaupun Rina telah menyertai PN, Kementerian Pembangunan Luar Bandar kini dikawal oleh anggota Bersatu yang agak junior, Abdul Latiff Ahmad, bekas Umno dan anggota parlimen Mersing, sebuah kawasan di negeri asal Muhyiddin di Johor.
Abdul Latiff, dikatakan sekutu rapat Muhyiddin, telah menjadi MP sejak tahun 1999. Rina pula mengetuai Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, yang tidak mempunyai GLC penting.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar, bagaimanapun, mengawasi dunia GLC yang luas, seperti yang ditunjukkan oleh gambar rajah di bawah.


Oleh kerana Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengawal badan-badan berkanun dan GLC dengan kehadiran di luar bandar yang luar biasa, kawasan utama di mana Umno telah lama mendapat sokongannya, maka selalunya kementerian ini berada di bawah kawalan seorang pemimpin kanan parti. 
Adalah penting bagi Bersatu untuk mengekalkan kawalan terhadap Kementerian Pembangunan Luar Bandar memandangkan parti ini mempunyai sedikit sokongan di kawasan berkenaan.
Kawalan Kementerian Pembangunan Usahawan diberikan kepada Wan Junaidi Jaafar, seorang ahli politik dari Sarawak dan ahli parti terbesar negeri, PBB. Ini mencadangkan Muhyiddin menanggapi Kementerian Pembangunan Usahawan yang mengawasi dunia perusahaan kecil dan sederhana (SME) sebagai kurang penting.
Institusi kewangan pembangunan utama (IKP) seperti SME Bank dan Bank Rakyat berada di bawah kementerian ini, seperti ditunjukkan gambar rajah di bawah.


Muhyiddin segera menyedari kesilapannya. Hanya seminggu selepas mengumumkan pakej rangsangan pertamanya, Muhyiddin mengemukakan pakej tambahan, mengakui bahawa beliau terpaksa melakukan ini sebagai tindak balas terhadap reaksi serius daripada persatuan niaga berasaskan PKS.
Persatuan SME ini memberi maklum balas kurang baik terhadap pakej rangsangan pertama Muhyiddin, mendakwa tanpa sokongan kerajaan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada firma tersebut akan berhenti beroperasi, menyebabkan kira-kira empat juta orang akan menganggur.
Perubahan dalam GLC
Kawalan korporat yang banyak di bawah PMO dan (pemimpin) Bersatu kini amat mengejutkan dan membimbangkan. Sementara itu, Muhyiddin juga mengambil alih sebagai pengerusi Khazanah yang sangat berpengaruh, sementara Zafrul pula dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Khazanah.
Azmin, yang telah dilantik menjadi ahli lembaga pengarah Khazanah oleh Mahathir, tidak disingkirkan. 
Menjadi amalan biasa, perdana menteri akan berkhidmat sebagai pengerusi Khazanah, dengan menteri kewangan menjadi ahli lembaga pengarah, bagaimanapun tidak pernah berlaku sebelumnya menteri perdagangan dan industri antarabangsa juga duduk dalam lembaga pengarah GLC itu.


Perubahan ahli lembaga pengarah yang lain berlaku, seperti yang ditunjukkan oleh jadual di bawah, walaupun sebilangan orang ini telah berundur daripada jawatan atas kehendak mereka sendiri. 
Perubahan yang berlaku adalah dalam GLC yang berkait rapat dengan kementerian-kementerian utama ini. Peralihan penting yang lain juga turut berlaku.
Di Kementerian Sumber Manusia, di bawah kendalian (Timbalan Presiden) MIC, M Saravanan, seorang anggota parlimen Bersatu, Mohd Fasiah Mohd Fakeh, dituduh akan mengambil alih pengerusi Perkeso, menggantikan Zakri Mohd Khir, seorang profesional dari industri insurans.
Bagaimanapun, pelantikan Mohd Fasiah tidak akan berlaku kerana perundangan berkaitan dengan badan berkanun ini menetapkan bahawa ketua tidak boleh mempunyai fahaman politik.
Pelantikan di institusi lain di bawah kementerian ini diteruskan. Pengerusi baru Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) ialah Nelson Renganathan, seorang anggota MIC, yang menggantikan Noor Farida Mohd Ariffin, seorang peguam dan pemimpin NGO terkemuka.


Tiga perkara penting perlu diberi perhatian mengenai isu-isu yang melibatkan GLC ini.
Pertama, gambar rajah ini tidak dapat menampung jumlah GLC yang dikawal oleh kementerian-kementerian berkenaan. Dan, ini bukan senarai lengkap pengarah yang tidak lagi berkhidmat dengan GLC ini.
Konflik dan perubahan
Jumlah pengarah GLC yang dapat diberikan kepada ahli politik sangat besar, ia jalan utama untuk menenangkan wakil rakyat yang tidak berpuas hati kerana tidak dilantik ke dalam jemaah menteri.
Kedua, bahkan anggota parti dalam gabungan PN malah telah memprotes tata aturan semula kementerian dan pelantikan kabinet ini.
Ketiga, memburukkan masalah Muhyiddin adalah beliau perlu bersaing dengan sikap berpuak di dalam Bersatu yang melemahkan, apalagi ketika pemilihan Bersatu semakin hampir.
Mahathir masih kekal sebagai pengerusi Bersatu, manakala jawatan presiden Bersatu yang dipegang Muhyiddin akan dicabar oleh Mukhriz yang berpengaruh.
Lebih-lebih lagi, Muhyiddin tidak mempunyai sokongan padu Umno, dengan kritikan terbuka terhadap pelantikan jawatan menteri yang dibuat beliau. 
Anggota parlimen Umno, Azalina Othman Said, bekas anggota kanan kabinet, mengadu bahawa anggota parlimen Umno patut diberikan portfolio "lebih penting" dan "kerajaan campuran" tidak boleh "dikuasai oleh mana-mana parti."
Bekas MP Umno, Shahrir Samad juga merungut bahawa "semangat en bloc PN hilang dalam barisan jemaah menteri itu". 
Anggota Parlimen Umno Tajuddin Abdul Rahman mengkritik pelantikan Azmin sebagai menteri kanan, berkata "Umno berasa kurang selesa" dan "bagi saya (pelantikan Azmin sebagai menteri kanan) itu sebagai penerusan agenda Bersatu, dan mungkin lebih daripada itu."


Hanya seorang pemimpin Umno, Ismail Sabri Yaacob, dilantik sebagai menteri kanan dan sebagai menteri pertahanan, sebuah kementerian yang mempunyai sedikit kawalan terhadap GLC. Di bawah pentadbiran Najib, Ismail pernah berkhidmat sebagai menteri pembangunan luar bandar.
Sementara itu, Mahathir telah menyuarakan bagaimana pelantikan menteri dan GLC akan digunakan untuk menjamin pertukaran sokongan wakil rakyat PH untuk mengukuhkan kawalan PN di parlimen.
Mahathir berkata sokongan 114 kerusi padanya sebelum ini semakin kurang kerana “dia (Muhyiddin) sudah ambil orang saya."
Malah, Muhyiddin telah mmbentuk salah satu kabinet terbesar dalam sejarah Malaysia. Sementara itu, pelantikan GLC seluruhnya dijangka akan dibuat pada minggu-minggu akan datang.
Trend mengganggu
Trend sejarah dan perkembangan semasa ini menunjukkan bahawa walaupun Malaysia mempunyai tiga kerajaan yang berbeza sejak 2018, GLC terus digunakan dengan cara yang tidak bertanggungjawab. 
GLC ini, yang dibentuk untuk membetulkan ketidakadilan sosial, sebaliknya menjadi alat politik penting bagi golongan elit yang berkuasa untuk mengukuhkan kuasa.
GLC telah digunakan untuk membantu kepentingan elit penguasa dalam tiga cara: Pertama, untuk menyalurkan konsesi yang dihasilkan oleh kerajaan ke kawasan utama bagi mendapatkan sokongan pilihan raya.
Kedua, dengan membolehkan pelantikan ahli politik ke lembaga GLC untuk mengekalkan sokongan terhadap parti. Ketiga, untuk menawarkan jawatan pengarah yang menguntungkan untuk mengelakkan pemimpin parti melompat, satu perkara yang diutarakan oleh Mahathir menjadi penyebab kejatuhan pemerintahannya.
Memandangkan GLC adalah syarikat utama yang memainkan peranan penting dalam ekonomi, keperluan untuk perubahan besar terhadap sejumlah lembaga pengarah ini perlu dipersoalkan kerana ia akan menimbulkan gangguan.
Walaupun GLC perlu diperlakukan secara produktif untuk menampung ekonomi yang sakit, yang selanjutnya terjejas akibat wabak Covid-19, namun syarikat ini tetap menjadi alat untuk mengekalkan dan memperkukuh kuasa.

TERENCE GOMEZ ialah Profesor Ekonomi Politik di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya.
Artikel ini terjemahan daripada tulisan asal berjudul "How Muhyiddin consolidates power through GLC appointments" dan  tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
























Thursday, April 9, 2020

PKP: Tempoh mungkin dilanjut, rantaian jangkitan belum terputus



Pakar virologi Prof Dr Sazaly Abu Bakar. FOTO/ NSTP/AMIRUDIN SAHIB

Pakar virologi Prof Dr Sazaly Abu Bakar. FOTO/ NSTP/AMIRUDIN SAHIB


PKP: Tempoh mungkin dilanjut, rantaian jangkitan belum terputus


Oleh Ahmad Suhael Adnan


KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sama ada sehingga hujung bulan ini atau pertengahan Mei, kerana rantaian jangkitan COVID-19 masih gagal diputuskan sehingga kini.
Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata walaupun tiada peningkatan ketara kes harian, namun jumlah kumulatif mingguan kes baharu COVID-19 sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, masih menunjukkan peningkatan.


“Untuk melihat sama ada kita berjaya mengekang penularan COVID-19, data mingguan kes baharu wabak ini mesti menunjukkan penurunan.
“Namun sejak minggu pertama pelaksanaan PKP hingga minggu ketiga, jumlahnya masih bertambah, sekali gus menunjukkan keberkesanan PKP tidak seperti yang diharapkan walaupun ia berjaya mengelakkan peningkatan ketara.
“Kita boleh lanjutkan sampai selepas Aidilfitri, tapi jika lanjutan PKP tetap gagal kekang penularan COVID-19, maka ia tak bermakna, malah beri impak negatif pada ekonomi negara. Perkara lain perlu dilakukan di samping lanjutan PKP,” katanya kepada BH, hari ini.
Berdasarkan kes harian yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah kumulatif pada minggu pertama PKP dilaksanakan adalah 951 kes (18 Mac-24 Mac), meningkat kepada 1,142 pada minggu kedua (25 Mac-31 Mac) dan 1,197 pada minggu ketiga (1 April-7 April).
Dr Sazaly berkata, golongan tidak bergejala atau bergejala minimum yang dijangkiti COVID-19, adalah penyumbang kegagalan memutuskan rantaian wabak dalam komuniti kerana mereka tidak tahu sudah dijangkiti, sekali gus tidak membuat pemeriksaan di hospital.
Jelasnya, jumlah kes baharu yang diumumkan setiap hari juga tidak boleh dijadikan sandaran utama bagi menentukan kejayaan PKP kerana ia bukan data terkini, sebaliknya diumum selepas mendapat hasil ujian saringan yang mengambil masa kira-kira seminggu untuk diperoleh.
“Kalau hari ini diumum ada 150 kes baharu, maknanya mereka ini menjalani ujian kira-kira seminggu lalu serta mungkin dijangkiti sebelum itu lagi, dan mereka mungkin sudah menjangkiti beberapa orang lain dalam tempoh itu.
“KKM perlu laksanakan ujian saringan komuniti menyeluruh di zon jingga dan merah, bukan hanya tertumpu pada yang ke hospital, kontak rapat kes positif dan mereka yang diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sahaja,” katanya.
Beliau turut menyarankan KKM meneliti kemungkinan membenarkan individu yang pulih daripada wabak itu untuk kembali bekerja bagi mengurangkan impak ekonomi, kerana mereka sudah memiliki antibodi terhadap COVID-19.
“Malah, jika dibuat ujian saringan komuniti secara menyeluruh, kita juga mungkin akan mengesan individu yang sudah ada antibodi ini dalam badan.
“Ertinya, mereka ini tak tahu pernah dijangkiti COVID-19 kerana tidak bergejala atau bergejala ringan, tapi kemudian sudah sembuh. Mereka ini juga boleh kembali bekerja,” katanya.
Seorang lagi pakar virologi, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, berpandangan kerajaan hanya boleh menghentikan PKP sekiranya berlaku penurunan kes baharu selama satu hingga dua minggu, dan bukan sekadar dalam keadaan mendatar seperti sekarang.
Bagaimanapun, katanya, kaedah PKP dilaksanakan boleh diubahsuai dengan membezakan pelaksanaannya antara zon hijau dengan zon kuning, jingga dan merah.
“Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa individu di sesuatu zon itu tidak boleh bergerak ke zon lain. Mereka (dalam zon hijau dan kuning) mungkin boleh dibenarkan kembali bekerja di dalam zon berkenaan,” katanya.
Dr Lam kekal optimis bahawa PKP berjaya memberi impak positif meskipun tidak mencapai sasaran diharapkan, berdasarkan jumlah kes baharu yang majoritinya di bawah 200, kadar kematian yang kecil serta jumlah kes pulih yang tinggi iaitu lebih 33 peratus.
“Kemasukan pesakit tahap empat dan lima ke unit rawatan rapi (ICU) pula hanya lima peratus, yang menunjukkan kejayaan Malaysia meratakan lengkungan penularan wabak dan tidak membebankan hospital dan fasiliti ICU.

  • Lagi berita mengenai COVID-19





  • Hal peribadi cukup saya yang tahu - Intan Najuwa



    INTAN Najuwa mula dikenali selepas membintangi drama Kekasih Paksa Rela. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

    INTAN Najuwa mula dikenali selepas membintangi drama Kekasih Paksa Rela. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman


    Hal peribadi cukup saya yang tahu - Intan Najuwa

    Oleh Farhana Ab Rahman

    KUALA LUMPUR: Pernah berdepan kegagalan cinta, pelakon Intan Najuwa akur untuk tidak terlalu terbuka berkongsi hal peribadi, terutama berkaitan soal hati di laman sosial.
    Menjadikan pengalaman lalu sebagai iktibar, Intan atau nama penuhnya, Intan Najuwa Abdul Wahid, 22, berkata, dia kini memilih untuk tidak terlalu mendedahkan identiti teman lelakinya kepada umum.



    “Saya tidak mahu lagi kisah peribadi terlalu digembar-gemburkan. Biarlah identiti teman lelaki saya tidak diketahui umum. Lebih baik begini kerana sebelum ini, saya terlalu terbuka dan berkongsi segala-galanya di laman sosial.
    “Saya dan teman lelaki sudah lama mengenali antara satu sama lain. Bermula sebagai kawan, tetapi apabila ada keserasian, kami bersedia untuk membawa hubungan itu ke fasa lebih serius.
    “Kami masih dalam proses mengenali antara satu sama lain. Selebihnya, doakan sahaja yang terbaik buat kami,” kata Intan.
    Pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama, Kekasih Paksa Rela bersama Remy Ishak itu berkata, kegagalan cinta lalu juga membentuknya menjadi semakin positif.
    “Sebelum ini, empat tahun saya bercinta, namun akhirnya saya dan bekas kekasih memilih untuk membawa haluan masing-masing. Kami berpisah bukan kerana orang ketiga.
    “Biarpun kecewa, pengalaman itu banyak mengajar saya memikirkan diri dan perancangan masa depan. Saya semakin fokus membina kerjaya dan tidak mahu minat dalam bidang lakonan tersasar.
    “Tidak mengapa, itu semua cerita lama. Lagipun, sudah setahun ia berlalu. Sekarang, saya mahu memberikan sepenuh perhatian kepada kerjaya dan hal peribadi, cukup saya yang tahu,” katanya.
    Berkongsi perkembangan kerjaya, Intan yang bernaung di bawah pengurusan Paranormal Talents sejak Disember lalu baru selesai menjalani penggambaran telefilem, Cinta Sesungguhnya bersama Fikry Ibrahim.
    “Saya perlukan syarikat pengurusan yang mampu membawa kerjaya saya ke tahap lebih baik. Saya lihat Paranormal Talents mempunyai kelebihan itu, apatah lagi saya perlu menggilap semula nama selepas berehat seketika untuk bersama keluarga.
    “Melihat pencapaian beberapa artis yang bernaung di bawah pengurusan itu, membuatkan saya yakin dengan kredibiliti mereka. Selepas membintangi Kekasih Paksa Rela, saya pulang ke Johor untuk bersama keluarga.
    “Lagipun, ketika itu, ayah kurang sihat. Agak lama juga di kampung, baru saya bersedia untuk kembali aktif berlakon,” kata Intan.