Teknologi kepintaran buatan (AI) digunakan di Korea untuk mengesan dan mendiagnosis pesakit COVID-19 dengan lebih tepat dan pantas. Gambar hiasan. - Foto AFP/Philip Fong
Teknologi AI, sains data ramal COVID-19
Oleh Prof Madya Dr Shamsul Arrieya Ariffin
SEJAK pandemik COVID-19 yang cukup berbahaya melanda negara ini, rakyat tidak lagi boleh bebas berinteraksi seperti sebelumnya. Tujuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah untuk memutuskan rantai jangkitan wabak.
Semua aktiviti seharian tidak seperti dahulu lagi kerana rakyat perlu menjaga diri mereka untuk mengawal wabak sebelum menjadi lebih parah.
Namun, masih banyak ruang dapat diisi untuk membantu masyarakat menerusi penggunaan teknologi Revolusi Industri (IR) 4.0 untuk mengenalpasti, memantau, meramal dan mendiagnosis sesuatu penyakit termasuk COVID-19.
Antara teknologi IR 4.0 yang dikenal pasti ialah kepintaran buatan (AI) dan sains data yang digunakan di negara seperti China dan Korea Selatan untuk mengenalpasti dan meramal sebaran wabak menerusi sumber maklumat.
Dengan penggunaan AI, maklumat berkaitan COVID-19 dapat dikumpul seperti dari media sosial dan dokumen kerajaan. Simptom dapat dikenalpasti dan diramalkan menerusi analisa dokumen-dokumen sebelum bertambah parah.
Kawasan berpotensi wabak dan berada dalam zon berbahaya dapat dikenal pasti menerusi teknologi AI sebagai langkah berjaga-jaga.
Begitu juga ia dapat mengenal pasti dan mendiagnosis individu yang mendapat jangkitan. Teknologi AI ini sudah diaplikasikan di Korea Selatan hingga dapat dikesan dalam masa yang lebih singkat berbanding menggunakan ujian pengesanan konvensional sedia ada.
Ini kerana ia mampu memproses data dengan tepat dan pantas seperti di stesen pemeriksaan wabak mudah alih berteknologi 5G bagi pemandu kereta.
Sekiranya terdapat pemandu berjaya dikesan positif COVID-19, mereka akan diasingkan dengan pantas untuk rawatan selanjutnya.
Malah, maklumat mengenai pesakit termasuk sejarah perjalanan dua minggu sebelumnya akan dikongsikan bersama menerusi sebaran maklumat kepada telefon bimbit masyarakat sekitar.
Kerajaan Korea Selatan juga mampu memantau pengagihan topeng muka kepada rakyatnya menerusi undang-undang pembelian topeng muka maksimum pada satu-satu masa untuk seorang pembeli.
Sehingga kini, harga topeng muka tidak menunjukkan kenaikan harga sejak sistem pelaksanaan pemantauan sistem dijalankan dengan kawalan ketat kerajaan Korea Selatan.
Di China, teknologi AI dapat digunakan untuk mengenalpasti individu yang mempunyai simptom demam menerusi topi keledar pintar untuk tindakan pengasingan dan jika mereka memerlukan rawatan selanjutnya.
Teknologi AI juga digunakan kerajaan China untuk mengenal pasti risiko terhadap individu berpotensi untuk mendapat wabak menerusi data sejarah perjalanan mereka dan berapa lama mereka berada di kawasan wabak.
Maklumat ini dapat digunakan rakyat supaya mereka dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelakkan daripada mengunjungi kawasan berisiko menerusi maklumat daripada sains data.
Apapun teknologi digunakan, masyarakat sendiri perlu mengambil sikap bertanggung jawab terhadap penjagaan kesihatan diri sendiri dan mematuhi PKP, sekali gus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani pandemik COVID-19 ini.
Sikap seperti bertenang perlu diamalkan setiap masa untuk mengelakkan terjadinya panik supaya keadaan lebih terkawal.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Komputeran Fakulti Seni, Komputeran dan Multimedia Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
No comments:
Post a Comment