Hati semakin tenang selepas memeluk Islam - Nur Shahfiqah
KEPALA BATAS: Seorang saudara baharu menyifatkan adiknya sebagai pencetus rahmat sehingga menyebabkan hatinya terbuka untuk menerima Islam.
Chan Bee Bee, 43, berkata sebelum ini beliau sangat prejudis dengan Islam walaupun semua adik beradiknya sudah memeluk agama berkenaan kerana mendakwa masih samar mengenai Islam.
Bee Bee yang memeluk Islam sejak empat bulan lalu dan menggunakan nama baharu, Nur Shahfiqah Chan Abdullah berkata, adiknya Nur Fahimah Chan, 36, adalah individu yang banyak membantunya dalam mendekati Islam walaupun sebelum ini beliau pernah menolak pelawaan untuk memeluk agama berkenaan.
"Pertemuan semula saya dengan adik kandung umpama rahmat buat saya, kerana beliau sering memujuk saya untuk memeluk Islam. Namun pada awalnya saya menolak kerana masih tidak dapat mendalami agama berkenaan selain terpengaruh dengan pelbagai tanggapan buruk mengenai Islam sebelum ini.
"Kami empat beradik dibesarkan di rumah anak yatim dan saya dikelilingi oleh rakan Melayu yang beragama Islam dan sejak kecil saya belajar dan mendalami Islam, namun hati saya tidak pernah terbuka untuk memeluk agama berkenaan.
"Namun, inilah dikatakan hidayah dan saya bersyukur kerana dapat memeluk Islam walaupun pada usia 43 tahun," katanya.
Menceritakan mengenai kisah hidupnya, Nur Shahfiqah berkata, mereka empat beradik termasuk dua abang dan seorang adik perempuannya tinggal di rumah anak yatim sejak kecil berikutan kesempitan hidup.
Namun, semua mereka terpisah ketika masih kanak-kanak kerana ditempatkan di rumah anak yatim berlainan dan terputus hubungan dengan semua saudara kandungnya itu sehingga masing-masing memasuki alam pekerjaan.
"Namun, pertemuan semula saya dan adik bongsu kira-kira 15 tahun lalu berjaya menyatukan kembali hubungan kami empat beradik dan ketika itu barulah saya tahu bahawa semua adik beradik saya sudah memeluk Islam dan berkahwin dengan orang Melayu.
"Ketika itu saya masih beragama Buddha dan tidak terlintas langsung untuk bertukar agama walaupun dipujuk oleh Nur Fahimah, kerana saya tidak nampak 'keistimewaan' Islam pada masa berkenaan. Namun Nur Fahimah tidak pernah mengalah beliau terus memujuk saya termasuk menggunakan pendekatan halus dengan bersembahyang ketika berkunjung ke rumah saya," katanya.
Nur Shahfiqah berkata, walaupun beliau beragama Buddha, beliau tidak pernah bersembahyang atau menyimpan tokong di rumahnya kerana mengakui masih mencari-cari agama yang sebenar.
Beliau yang fasih berbahasa Melayu berkata, sebelum ini beliau sudah lama membaca buku mengenai Islam dan agama lain, namun hatinya belum terbuka untuk memeluk agama berkenaan.
"Semuanya bermula secara tiba-tiba dan sukar untuk saya ceritakan bagaimana saya mendapat hidayah untuk memeluk Islam. Ketika itu fikiran saya berserabut dan biasanya saya akan mengunjungi pusat karaoke atau berhibur bersama kawan-kawan untuk menghilangkan tekanan.
"Walaupun sudah berhibur, hati saya masih resah dan sedih tanpa sebab, dan apa yang saya ingat ketika itu saya memandang keindahan langit. Tiba-tiba timbul rasa kagum dan persoalan dalam diri saya siapa pencipta-Nya dan pastinya tuhan yang mencipta itu mempunyai kuasa yang bukan calang-calang," katanya.
Beliau berkata, beliau terus menghubungi Nur Fahimah yang menetap di Kuala Lumpur memaklumkan hasratnya untuk memeluk Islam dan meminta adiknya mengajarnya solat.
"Selepas berpisah dengan suami, saya tinggal bersama dua anak perempuan saya berusia 10 dan 14 tahun selain emak, Wong Sooi Thai, 68, di Bukit Mertajam. Walaupun emak saya beragama Buddha, beliau menerima penghijrahan saya sebagai orang Islam dengan baik.
"Malah, dua anak saya juga berminat untuk memeluk Islam kerana melihat perubahan positif saya dari aspek akhlak dan cara hidup. Saya bersyukur kerana kedua-dua mereka turut mengikut jejak langkah saya memeluk Islam.
"Adik saya gembira dengan berita itu dan berjanji akan berusaha membimbing saya untuk memeluk Islam dan menjadi muslim sejati. Namun, saya jelaskan yang saya tidak mahu perubahan drastik kerana saya masih belajar dan mendalami agama ini" katanya.
Nur Shahfiqah berkata, selepas empat bulan memeluk Islam hatinya semakin tenang dan mengakui bahawa Islam itu indah namun ada segelintir pihak yang membuatkan imej Islam itu sebagai agama yang terlalu rigid dan 'berat'.
Dalam pada itu, Nur Shahfiqah berkata, kehadiran NGO dakwah seperti myIKUT sangat bermakna khususnya kepada saudara baharu yang masih belum faham mengenai Islam secara mendalam.
"Komuniti mualaf ini memerlukan tempat rujukan bukan saja dalam soal agama tetapi pembangunan sosioekonomi dan perlindungan. Justeru, kewujudan NGO seperti myIKUT ini sangat membantu mualaf terutama kepada mereka yang masih baharu untuk menyesuaikan diri dengan Islam.
"Malah, kami juga memerlukan bimbingan kaunseling untuk menghadapi cabaran hidup selepas memeluk Islam terutama penerimaan keluarga, rakan dan masyarakat sekeliling termasuk di kalangan umat Islam sendiri," katanya.
Nur Shahfiqah berkata, beliau bersyukur kerana rakan dan keluarga menerima dirinya walaupun kini beliau sudah beragama Islam selain menjelaskan tidak mahu melakukan perubahan drastik kerana masih menyesuaikan diri dengan Islam.
INFO
- Nur Shahfiqah empat beradik termasuk dua abang dan seorang adik perempuannya tinggal di rumah anak yatim sejak kecil berikutan kesempitan hidup.
- Hatinya semakin tenang selepas empat bulan memeluk Islam.
- Tercetus persoalan siapa pencipta selepas memandang langit.
No comments:
Post a Comment